PenggunaPengurusan KewanganPerancangan Kewangan

Capai Kejayaan Kewangan Dengan Formula S.E.B.E.L.A.S

SSimpan untuk diri (dan keluarga) anda dahulu!

Jika dahulu, anda kerap memperuntukkan gaji bulanan untuk membayar bil, hutang, membeli barang dan sebagainya terlebih dahulu, mulai sekarang, berikan keutamaan kepada menyimpan wang untuk diri sendiri dahulu. Tidak kira dalam jumlah yang kecil atau besar, pastikan anda menyimpan dan melaburkan duit untuk diri (dan keluarga) secara konsisten. Anda boleh bermula dengan RM50 sebulan (lebih banyak lebih bagus), kemudian tambahkan jumlah simpanan anda pada tahun-tahun berikutnya.

E – Elak pembaziran (Economise)

Bezakan antara barangan keperluan dan kehendak. Sebagai contoh, anda tidak perlu membeli barangan bayi yang berjenama mahal jika jenama yang sederhana atau murah mampu memenuhi keperluan si comel. Tambahan pula, kebanyakan pasar raya besar sekarang menyediakan “house brand” yang berkualiti tinggi pada harga yang amat berpatutan.

B – Bajet

Buat bajet, tulis dan patuhinya! Sesetengah ibu bapa gemar membuat bajet secara kasar atau “dalam kepala” sahaja, terutamanya semasa hendak membeli barang. Ini merupakan cara yang tidak berapa tepat. Sebaik-baiknya, tulis apa yang ingin dibelanjakan dan lebih penting lagi, patuhi bajet yang telah dibuat tersebut. Anda perlu berdisiplin dalam berbelanja dan membuat bajet adalah langkah yang sangat penting. Jika tidak membuat bajet, besar kemungkinan anda akan mengalami kesukaran menguruskan kewangan sendiri dan keluarga.

E – Elak emosi semasa membuat keputusan berkaitan kewangan

Perkara ini tidak dapat dinafikan, terutamanya apabila anda mempunyai wang lebihan (contohnya, mendapat bonus). Bermacammacam perkara yang akan terlintas dalam fikiran anda, seperti menukar kereta baru, perabot baru, bercuti dan sebagainya. Sekiranya anda mendapat wang lebih, pastikan anda menyimpan sebahagian daripadanya dan selebihnya digunakan untuk melangsaikan hutang sedia ada. Inilah masa terbaik untuk anda melangsaikan segala hutang kad kredit anda sekali gus. Jangan berlengah lagi dan bayar segala hutang-piutang yang ada. Percaya atau tidak, hidup anda akan menjadi tenang jika anda sudah melangsaikan hutang.

L – Libatkan si kecil

Sering kali, ibu bapa tersalah anggap bahawa anak kecil tidak mampu memahami konsep kewangan. Tanggapan ini tidak tepat kerana sedar atau tidak, biasanya si kecil memang suka meniru cara dan kelakuan ibu bapa mereka. Oleh itu, libatkanlah anak-anak dalam hal-hal kewangan anda. Salah satu cara mudah yang boleh dilakukan ialah dengan membawa anak-anak ketika menjalankan transaksi kewangan. Contohnya, bawa anak-anak bersama apabila anda pergi ke bank. Dengan cara ini, anda dapat membentuk tabiat menabung dan menyimpan daripada usia muda lagi.

A – Awasi skim pelaburan tidak sah

Mungkin anda sudah tahu yang melabur adalah cara terbaik untuk mengembangkan wang sedia ada. Melaburlah dengan pihak-pihak yang berlesen dan berwaspada dengan pelbagai skim cepat kaya atau skim pelaburan tidak sah yang terdapat di pasaran. Sekiranya sesuatu syarikat menawarkan untung berlipat kali ganda dan mendakwa tiada risiko yang terlibat jika anda melabur dengan mereka, mungkin itu adalah syarikat yang tidak sah. Pastikan anda memeriksa sama ada sesebuah syarikat itu berlesen ataupun tidak dengan menghubungi pihak berkuasa yang berkenaan. Ingat, dapatkan sebanyak mungkin maklumat sebelum menyerahkan wang titik peluh anda kepada mana-mana pihak.

S – Sediakan dana kecemasan

Dana kecemasan merujuk kepada sejumlah wang yang anda peruntukkan untuk digunakan sekiranya berlaku apa-apa musibah/kemalangan yang tidak diingini. Biasanya, anda dinasihatkan untuk mempunyai dana kecemasan sebanyak tiga hingga enam bulan perbelanjaan bulanan anda. Dengan wujudnya dana kecemasan, anda akan berupaya mengharungi segala masalah berkaitan kewangan dengan tenang dan terkawal. Dana kecemasan yang mencukupi juga akan memastikan cara hidup anda tidak terganggu sewaktu menghadapi masalah kewangan.

Kesimpulan

Kejayaan dalam pengurusan kewangan bergantung kepada usaha anda! Jika anda memerlukan sedikit inspirasi, lihatlah pasangan yang tersayang, dan jika masih belum mendapat ilham, lihatlah muka si comel anda. Lakukanlah yang terbaik untuk diri, pasangan dan keluarga demi mencapai kejayaan dalam pengurusan kewangan anda.

Artikel perancangan kewangan dan pelaburan ini merupakan salah satu usaha berterusan SIDC dalam melahirkan pelabur yang arif dan berpengetahuan dalam pasaran modal. Selain itu, SIDC turut meningkatkan tahap kesedaran mengenai pelaburan bijak dan pengurusan kewangan melalui seminar dan bengkel pendidikan pelabur yang disasarkan untuk pelbagai lapisan masyarakat, seperti pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi, ibu bapa, wanita dan pekerja kolar putih dan biru. Untuk maklumat lanjut, layari www.min.com.my, hubungi 03-62048889 atau lawati Facebook kami di www.facebook.com/BMWSIDC.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 26/Jun 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button