PenggunaPengurusan Kewangan

Cabaran Menjadi Pengguna Bijak

Senario dunia masa ini semakin sukar dan amat mencabar. Masalah kenaikan harga barang dan jenayah semakin berleluasa merupakan sebahagian daripada cabaran yang sedang dihadapi kini. Krisis ekonomi sememangnya akan memberikan impak kepada pengguna di Malaysia.

Pengguna perlu memahami senario dunia yang baharu ini. Dalam konteks ini, sikap suka menyalahkan orang lain dan suka mengadu bukanlah cara yang efektif. Kaedah yang lebih sesuai ialah anda perlulah bertanggungjawab dan belajar untuk menyesuaikan diri kepada perubahan-perubahan ini.

Sebagai pengguna yang berhemat, minda anda perlu fokus kepada tugasan seharian dalam pengurusan kewangan dan penggunaan. Tugasan ini amat penting kerana ia akan menjauhkan anda daripada pembaziran yang keterlaluan dan kemusnahan alam sekitar serta bertanggungjawab dalam pengurusan kewangan dan amalan penggunaan lestari.

Penggunaan berhemat adalah mengenai sikap lebih berwaspada kepada kepercayaan dan perwatakan yang mempengaruh corak perbelanjaan dan penggunaan. Sebagai pengguna bijak, adakah anda membeli berdasarkan keperluan sebenar? Atau:

  • Ingin menunjuk-nunjuk
  • Bersaing dengan jiran untuk menunjukkan bahawa “anda juga mampu”
  • Mengikut imej dalam iklan yang menunjukkan bahawa “anda juga boleh menjadi segalagalanya”
  • Menggunakan sesuatu produk kerana anda selalu menggunakannya.
  • Menggunakan barangan yang mahal kerana di katakan berkualiti tinggi.

Penggunaan berhemat sebenarnya mencabar kepercayaan dan tabiat yang suka membazir dan melakukan kerosakan kepada alam sekitar. Langkah pertama untuk menjadi pengguna berhemat ialah berpegang teguh kepada prinsip-prinsip berikut:-

  • Pengguna berhemat sedar tentang pendapatan dan perbelanjaannya.
  • Pengguna berhemat dapat membezakan antara keperluan dan kehendaknya.
  • Pengguna berhemat memberi perhatian kepada keperluan sekarang dan masa hadapan.
  • Pengguna berhemat berbelanja mengikut keperluannya sahaja.
  • Pengguna berhemat terbuka kepada idea ke arah penggunaan lestari.
  • Pengguna berhemat menghormati semua kehidupan dan proses alam semula jadi.
  • Pengguna berhemat mencari identiti sendiri bukannya berdasarkan kepada apa yang dimilikinya.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 45/Januari 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button