Pengurusan KewanganPerancangan Kewangan

Cabaran Kewangan Rentetan Peningkatan Kos Sara Hidup

Kini, isu kemiskinan juga telah melanda mereka yang tinggal di kawasan bandar. Golongan ini dikenali sebagai isi rumah ‘Miskin Bandar’.

Peningkatan kos sara hidup ekoran daripada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan memberikan kesan ketara kepada perbelanjaan dan simpanan isi rumah. Isu kos sara hidup juga telah menjadi salah satu fokus penting dalam pembentangan Bajet 2017 dan bajet tahun terdahulu. Tumpuan diberikan kepada kumpulan pengguna yang berada dalam kategori B40 (kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah), iaitu isi rumah dengan pendapatan bulanan kurang daripada RM3,855.00 kerana mereka rentan kepada kemiskinan. Suatu masa dahulu, isu kemiskinan dikaitkan dengan mereka yang tinggal di luar bandar. Kini, isu kemiskinan juga telah melanda mereka yang tinggal di kawasan bandar. Golongan ini dikenali sebagai isi rumah “Miskin Bandar”.

Dari segi takrifan, kos sara hidup merupakan sejumlah kos yang perlu ditanggung oleh seseorang individu ataupun sesebuah isi rumah untuk memenuhi keperluan asas, seperti makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal serta keperluan lain untuk kelangsungan (survival) dan keselesaan hidup. Taraf hidup seseorang dikatakan merosot atau berkurangan sekiranya pendapatan yang diterima berada pada kadar yang lebih rendah berbanding dengan kos sara hidup dan sebaliknya. Kadar inflasi semasa yang direkodkan adalah sekitar 3-4%. Kos sara hidup yang tinggi, terutama di kawasan bandar, menjadikan keadaan bertambah kritikal kepada isi rumah yang berpendapatan rendah. Kesukaran menjalani hidup seharian dengan menanggung kos perbelanjaan yang tinggi menjadikan keadaan semakin sukar buat mereka untuk melayari kehidupan seharian.

Peningkatan kos sara hidup ini secara umumnya boleh memberi kesan kepada isi rumah dalam tiga aspek yang utama, iaitu kesan psikologi, ekonomi dan sosial. Kesan psikologi merujuk kepada tekanan emosi atau perasaan. Pendapatan yang diperolehi terpaksa dibelanjakan bagi memenuhi keperluan perbelanjaan semasa yang semakin meningkat dan menyebabkan keadaan ketidakcukupan pendapatan (income inadequacy). Ketidakmampuan menjelaskan hutang menyebabkan mereka berasa tertekan dan mengundang kepada simptom tekanan berkaitan hutang (symptoms debtrelated stress), seperti sukar untuk tidur, hilang selera makan, kurang berat badan, sakit kepala, serangan perasaan bimbang, mudah marah dan mula menjauhkan diri daripada keluarga dan rakan.

Kenaikan kos sara hidup juga memberi kesan kepada ekonomi isi rumah. Peningkatan kos sara hidup yang tidak selari dengan peningkatan pendapatan isi rumah sudah pasti akan mengurangkan pendapatan boleh belanja isi rumah (disposable income). Pendapatan yang diterima sekadar cukup untuk memenuhi keperluan semasa keluarga terutama keperluan asas, yang menyebabkan isi rumah tidak lagi mampu untuk membuat simpanan atau pelaburan.

Kesan ketiga adalah dari aspek sosial. Menampung keperluan perbelanjaan semasa yang tidak mencukupi dengan mencari atau melakukan kerja tambahan merupakan strategi pilihan bagi kebanyakan isi rumah. Malahan ada yang terpaksa melakukan lebih daripada satu pekerjaan. Lantaran kesibukan bekerja, menyebabkan ada dalam kalangan suami-isteri dan ibu bapa tidak mempunyai masa yang berkualiti bersamasama ahli keluarga. Anak-anak merasa mereka terabai dan mula terjebak dengan pelbagai bentuk gejala sosial. Selain itu, hal ini juga turut memberi implikasi ke atas produktiviti seseorang di tempat kerja. Akibat kurang masa rehat menyebabkan mereka tidak dapat memberi sepenuh tumpuan ke atas kerja hakiki.

Sehubungan itu, satu kajian telah dijalankan dalam kalangan isi rumah miskin bandar untuk menilai implikasi peningkatan kos sara hidup ke atas kesejahteraan kewangan mereka. Kajian ini melibatkan seramai 1,009 isi rumah miskin bandar dan pemilihan responden kajian dilakukan menggunakan kaedah persampelan sistematik yang melibatkan 5 buah kawasan perumahan awam dan rakyat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Rajah 1: Kesan Hutang dan Kos Sara Hidup

Rajah 1 menggambarkan sejauh mana kesan hutang dan peningkatan kos sara hidup dalam kalangan isi rumah miskin bandar. Responden ditanya sejauh mana kesan hutang yang dimiliki, termasuk pelbagai jenis dan bentuk hutang, seperti pinjaman peribadi, pinjaman kenderaan, pinjaman perumahan, pinjaman pendidikan dan kad kredit. Dapatan kajian menunjukkan bahawa lebih daripada satu perdua responden atau isi rumah (52.6%) menyatakan bahawa hutang yang dimiliki mereka sekarang adalah membebankan. Seterusnya, responden turut ditanya berkaitan kesan peningkatan kos sara hidup. Hampir dua pertiga responden (59.7%) menyatakan bahawa peningkatan kos sara hidup semasa membebankan mereka. Secara kesimpulan, sebilangan besar responden dalam kajian ini terbeban dengan hutang yang ditanggung dan terkesan dengan peningkatan kos sara hidup semasa. Isi rumah disarankan supaya mengurus hutang mereka dengan baik dan lebih berhemat serta bijak semasa melalukan perbelanjaan semasa.

Rajah 2: Kecukupan Pendapatan

Responden turut ditanya mengenai kecukupan pendapatan yang diterima mereka. Ini dapat digambarkan dalam Rajah 2. Didapati satu pertiga responden atau isi rumah (33%) menyatakan bahawa pendapatan yang diterima adalah tidak mencukupi. Manakala satu perdua responden (51%) pula menyatakan bahawa pendapatan mereka hanya cukup untuk memenuhi keperluan asas sahaja, seperti keperluan makanan, pakaian, perumahan dan perbelajaan harian. Sebilangan kecil sahaja, iaitu 16% menyatakan pendapatan mereka adalah cukup untuk memenuhi keperluan asas dan dapat membuat simpanan. Dapatan ini jelas menunjukkan bahawa pendapatan yang diterima adalah sekadar cukup untuk memenuhi keperluan asas sahaja dan isi rumah sendiri perlu memikirkan kaedah bagaimana pendapatan mereka dapat terus dipertingkatkan.

Rajah 3: Nisbah Aset Berbanding Hutang

Salah satu indikator atau petunjuk untuk melihat status kedudukan kewangan pengguna adalah melalui nisbah kewangan (financial ratio). Responden ditanya mengenai nisbah aset berbanding hutang mereka (asset-to-debt ratio), dan ini digambarkan dalam Rajah 3. Peratusan tertinggi (44%) menunjukkan bahawa responden atau isi rumah memiliki aset (harta) kurang berbanding hutang atau (pinjaman) mereka. Manakala satu pertiga (35%) aset mereka sama dengan hutang yang dimiliki. Satu perlima responden (21%) sahaja yang memiliki jumlah aset melebihi daripada jumlah hutang yang ditanggung. Secara kesimpulan, responden kajian mempunyai jumlah hutang melebihi jumlah aset yang dimiliki dan disarankan agar responden dapat meningkatkan nisbah aset berbanding hutang mereka pada masa hadapan.

Kesimpulan

Daripada dapatan kajian di atas, jelas menunjukkan bahawa majoriti isi rumah miskin bandar menyatakan bahawa mereka terkesan dengan beban hutang yang ditanggung dan peningkatan kos sara hidup membebankan mereka. Majoriti responden bergantung kepada KWSP sebagai simpanan untuk persaraan. Tiga bentuk pinjaman utama ialah sewa beli kenderaan, perumahan dan pinjaman peribadi. Lebih daripada dua pertiga mempunyai kemudahan kenderaan. Walau bagaimanapun, hanya 45.0% responden sahaja yang mempunyai rumah. Lebih daripada satu perdua menyatakan bahawa pendapatan yang diterima hanya cukup untuk memenuhi keperluan asas sahaja. Sebilangan besar responden didapati mempunyai nilai aset yang kurang berbanding dengan jumlah hutang. Majoriti responden mempunyai pelbagai bentuk masalah kewangan, seperti lewat membayar bil, berada dalam keadaan murung disebabkan masalah kewangan, tidak mempunyai perlindungan risiko, tidak mempunyai tunai sekiranya berlaku kecemasan, terpaksa berhutang sebelum mendapat gaji, pinjam wang daripada ceti atau ah long serta pernah diisytiharkan muflis.

Selain itu, responden turut ditanya tentang strategi mereka untuk menghadapi kenaikan kos sara hidup. Empat strategi utama yang dinyatakan oleh responden adalah menyediakan bajet, bekerja lebih masa, membeli barang mengikut keperluan dan berjimat cermat. Responden turut ditanya tentang peranan yang perlu dimainkan oleh pihak kerajaan dalam membantu rakyat menangani isu kenaikan kos sara hidup. Majoriti responden berpandangan bahawa kerajaan perlu menyediakan bantuan kepada rakyat, mengawal dan memantau kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, meneruskan dan meningkatkan pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan menghapuskan perlaksanaan cukai barang dan perkhidmatan. Usaha yang bersepadu dan menyeluruh daripada semua pihak termasuk pengguna, pengeluar, pemasar, peniaga, penguatkuasa dan penggubal polisi perlu digembleng dalam usaha untuk membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah ini dalam memastikan kelangsungan hidup (survival) ketika negara berhadapan dengan isu kenaikan kos sara hidup.

Disediakan oleh:
Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri
Ketua, Jabatan Pengurusan Sumber & Pengajian Pengguna
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 84/April 2017

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button