Pengurusan KewanganPerancangan Kewangan

Bulan Literasi Kewangan Oktober 2020 Bijak Wang Pilihan Saya

Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) telah melancarkan Bulan Literasi Kewangan (Financial Literacy Month, FLM 2020), dengan tema “Bijak Wang Pilihan Saya”. Majlis pelancaran peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia turut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan II, YB Dato’ Dr. Mah Hang Soon pada 6 Oktober 2020 di Putrajaya.

FEN dianggotai oleh lapan agensi dan diterajui bersama Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Ahli-ahli lain adalah Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit serta Permodalan Nasional Berhad.

Pelbagai inisiatif dan program oleh ahli-ahli FEN akan diadakan sepanjang FLM 2020 sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Selaras dengan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019 – 2023, objektif FLM 2020 adalah untuk memberi maklumat, mendidik dan menyokong rakyat Malaysia dalam memantapkan pengurusan kewangan. Ini termasuk melengkapkan individu dengan instrumen dan pengetahuan untuk mencapai matlamat kewangan, menguruskan hutang dan melindungi diri mereka daripada penipuan kewangan.

Berdasarkan Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan dari Sudut Permintaan 2018, 1 daripada 3 rakyat Malaysia mempunyai tahap keyakinan yang rendah dalam pengetahuan dan perancangan kewangan mereka, 52% rakyat Malaysia berasa sukar untuk menyediakan RM1,000 sekiranya berlaku kecemasan dan hampir separuh rakyat Malaysia tidak yakin bahawa mereka mempunyai simpanan yang mencukupi untuk persaraan.

Memandangkan rakyat Malaysia juga menghadapi cabaran kewangan akibat pandemik COVID-19, FLM 2020 menyediakan lebih 100 program bertujuan untuk memperkasakan individu dalam membuat keputusan kewangan yang bijak dengan instrumen dan pengetahuan yang tepat.

FOMCA berpendapat pelancaran FLM 2020 ini adalah bertepatan dengan keadaan sekarang berikutan ramai pengguna yang terkesan kewangan mereka akibat daripada pandemik Covid-19. FOMCA berharap para pengguna dapat mengambil peluang yang ada untuk mengikuti program-program yang telah diatur dan diadakan sepanjang FLM 2020.

Program-program ini merangkumi pengenalan kepada alat-alat kewangan kendiri, ceramah pendidikan kewangan, webinar, kuiz, pertandingan, perbincangan dan pameran secara maya. Program-program tersebut terbuka kepada orang ramai sepanjang Oktober 2020. Bersempena FLM 2020, FOMCA juga turut mengadakan aktiviti pendidikan kewangan bersasar bertujuan untuk memberi pendidikan kewangan khusus kepada golongan muda yang baru mula untuk bekerja supaya mereka lebih mengetahui cara-cara untuk menguruskan kewangan mereka dan lebih memahami persediaan untuk persaraan mereka.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai program yang dijalankan sepanjang FLM 2020, serta rakaman sebahagian daripada program terbabit dengan melayari https://www.fenetwork.my/.

Sumber: https://www.fenetwork.my/Edisi 114/Okt 2020

Artikel Berkaitan

Back to top button