Pelan Pelaburan

Bufet Pelabur Bijak (Bahagian 2)

Langkah-langkah atau resepi pelaburan bijak seterusnya adalah seperti berikut:-

D) Dapatkan maklumat terlebih dahulu

Sebelum membuat tempahan meja untuk menikmati hidangan bufet di sesebuah hotel ataupun restoran, pasti anda bertanya kepada rakan-rakan atau melihat ulasan-ulasan mengenai restoran tersebut terlebih dahulu. Anda semestinya tidak mahu dikecewakan dengan hidangan bufet yang kurang enak.

Begitu juga dengan pelaburan. Sebelum melaburkan wang dalam sesuatu produk pelaburan, pastikan anda telah mendapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenai produk pelaburan tersebut. Baca dan fahami semua maklumat berkaitan dengan pelaburan yang akan dibuat.

Untuk pelaburan saham, jangan lupa untuk menganalisis laporan tahunan, prospektus dan dokumen lain yang berkaitan dengan syarikat yang menawarkan saham tersebut. Berwaspadalah dengan khabar angin dan ‘tip-tip’ pelaburan yang tidak berasas.

Bagi unit amanah pula, amalkan tabiat membaca prospektus dan laporan tahunan dana tersebut. Teliti prestasi dana syarikat berkaitan, profil risiko pelabur dan juga cara pengurusan syarikat tersebut sebelum membuat keputusan.

E) Kawal pemakanan anda!

Biasanya, anda dinasihatkan untuk mengalas perut terlebih dahulu sementara menantikan jamuan buffet yang bakal dihidangkan. Dengan cara ini, sekiranya anda berubah fikiran untuk makan di tempat lain setelah mendapati hidangan bufet yang dinantinantikan tidak seenak yang disangka, anda tidak akan kebuluran sebelum tiba di destinasi yang seterusnya.

Begitu juga, anda dinasihatkan untuk memiliki wang lebihan sebanyak enam hingga sembilan bulan daripada perbelanjaan bulanan sebelum melabur. Ini bagi memastikan anda mempunyai dana yang mencukupi jika berlaku perkara yang tidak diingini atau pelaburan mengalami kerugian.

F) Sabar dalam mencapai matlamat anda

Kebanyakan orang sanggup beratur panjang bagi mendapatkan sesuatu jenis makanan yang diinginkan dalam hidangan sesebuah bufet. Begitu juga dengan pelaburan, anda haruslah sabar dan melabur untuk jangka masa panjang. Kerugian jangka pendek sememangnya merupakan asam garam pelaburan. Namun, jika anda sabar dan terus mengamalkan pelaburan untuk jangka panjang, kerugian tersebut akan ditampung oleh keuntungan yang bakal diperoleh kelak.

G) Cuba pelbagai jenis makanan

Ketika di meja bufet, anda biasanya dinasihatkan untuk mencuba pelbagai jenis makanan yang dihidangkan dan tidak tertumpu kepada satu jenis makanan sahaja. Melalui cara ini, anda akan dapat mengetahui makanan mana yang paling enak dan lazat.

Konsep yang sama perlu diaplikasikan dalam pelaburan. Anda tidak sepatutnya meletakkan semua wang anda dalam satu produk pelaburan sahaja. Pelbagaikan pelaburan anda dalam produk atau sektor yang berlainan. Contohnya, jika anda melabur dalam ekuiti, pelbagaikan pelaburan anda dalam beberapa jenis syarikat dan sektor. Sekiranya anda melabur dalam unit amanah, pelbagaikan jenis dana pelaburan anda.

Ini merupakan cara terbaik untuk mengurangkan risiko anda kerana kerugian yang dialami akibat suatu pelaburan boleh ditampung oleh keuntungan yang diperoleh daripada pelaburan yang lain.

H) Ubah fikiran jika perlu

Ada kalanya, restoran atau hotel yang dikunjungi tidak memuaskan hati anda. Sekiranya ini berlaku, beralihlah ke tempat lain yang dapat memenuhi cita rasa anda.

Dalam hal pelaburan, prinsip ini juga boleh dipakai. Anda tidak sepatutnya takut untuk beralih kepada pelaburan yang lain sekiranya mendapati produk tersebut tidak serasi dengan matlamat pelaburan atau tidak memberi pulangan yang diharapkan. Kaji semula dan selalu pantau pelaburan anda untuk memastikan ia masih relevan dengan matlamat kewangan.

I) Awasi promosi harga murah

Anda pastinya berasa curiga jika ditawarkan promosi bufet yang terlalu murah tetapi mendapat hidangan bertaraf hotel 5 bintang. Besar kemungkinan ada yang tidak kena dengan bufet tersebut.

Begitu juga dengan pelaburan. Terdapat banyak syarikat yang menjanjikan pulangan yang tinggi, tanpa risiko dan memerlukan modal yang rendah. Sebagai pelabur bijak, anda tidak sepatutnya mudah terpedaya dengan janji-janji seperti ini. Ingatlah bahawa lebih tinggi pulangan sesuatu pelaburan, maka lebih tinggi juga risikonya!

Akhir sekali, pelaburan adalah sesuatu yang sepatutnya memberi anda kepuasan sepertimana menikmati sesuatu hidangan bufet yang enak. Sungguhpun demikian, ingatlah bahawa seseorang pelabur bijak akan sentiasa mengamalkan langkahlangkah di atas bagi memastikan diri mereka dapat membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat.

Sumber : www.min.com.my/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 44/Disember 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button