Pelan Pelaburan

Bufet Pelabur Bijak (Bahagian 1)

Ramai orang bekerja untuk mendapatkan wang sebagai sumber pendapatan. Tetapi, tidak ramai orang yang tahu cara untuk meningkatkan wang yang mereka ada dengan pendapatan tersebut. Salah satu cara untuk meningkatkan pendapatan adalah dengan melaburkan wang anda. Walau bagaimanapun setengah orang berpendapat bahawa pelaburan hanyalah untuk mereka yang berada sahaja. Pandangan ini sebenarnya kurang tepat.

Malah, pelaburan adalah lebih penting lagi bagi mereka yang berpendapatan sederhana. Ini disebabkan mereka mempunyai sumber pendapatan yang terhad dan pelbagai komitmen kewangan. Dalam masa yang sama, mereka ingin mencapai pelbagai matlamat kehidupan. Antara matlamat tersebut ialah membeli rumah, menghantar anak ke universiti dalam masa 10 tahun atau bersara dengan selesa dalam masa 20 tahun akan datang.

Bagi mencapai matlamat anda dalam tempoh masa tertentu, dengan menyimpan wang sahaja mungkin tidak mencukupi atau ia akan mengambil masa yang lama. Oleh itu, anda perlu melabur. Akan tetapi, terdapat banyak pilihan produk pelaburan yang ditawarkan di pasaran, anda mungkin terkeliru dan tidak pasti mana satu yang bersesuaian dengan keperluan anda. Ia seakan-akan seperti anda berdiri di hadapan meja jamuan bufet! Terdapat pelbagai jenis makanan di meja tersebut sehingga anda rambang mata dan keliru mana satu yang anda patut makan dahulu.

Maka, bagi memastikan anda menikmati jamuan bufet yang sedap dan mengenyangkan, atau dalam konteks ini pelaburan yang memberikan pulangan yang diharapkan, anda perlu memantau peluangpeluang yang ditawarkan dengan bijak.

Melalui artikel ini, anda akan dapat mengenal pasti langkah-langkah yang perlu diambil sebelum membuat keputusan pelaburan yang bijak. Teruskan membaca bagi mengikuti ‘resepi-resepi’ pelaburan bijak.

A) Pembuka selera atau pencuci mulut?

Ketika di meja bufet, pasti anda melihat-lihat dahulu pelbagai jenis juadah yang dihidangkan sebelum mula memilih makanan yang diinginkan. Ada pembuka selera, ada pencuci mulut dan berbagai-bagai lagi jenis makanan lain. Begitu juga keadaannya ketika membuat pilihan produk pelaburan. Anda perlu mengetahui dan menilai produk-produk yang ditawarkan sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan

Terdapat pelbagai jenis produk pelaburan di pasaran modal Malaysia. Antara produk pelaburan yang ditawarkan ialah:

Selain itu, terdapat juga pelaburan-pelaburan lain yang tidak berkaitan dengan pasaran modal, seperti simpanan di bank, hartanah, insurans dan koleksi barangan berharga.

Sesuatu keputusan pelaburan seharusnya dibuat setelah anda memahami sepenuhnya produk pelaburan tersebut dan berpuas hati bahawa ia merupakan pelaburan yang paling bersesuaian dengan anda. Ingatlah bahawa pelaburan yang dipilih perlu sesuai dengan kedudukan kewangan, matlamat pelaburan dan bergantung kepada tahap risiko yang mampu diambil oleh seseorang.

B) Bagaimana selera makan anda?

Di jamuan bufet, ada orang yang akan memenuhkan pinggan masing-masing dengan makanan yang unik dan jarang didapati, manakala ada pula yang hanya memilih makanan yang menjadi kebiasaan, seperti nasi, ayam, sayur dan buah-buahan. Mereka ini tidak yang tidak biasa dimakan.

Hal ini sama seperti pelaburan. Seorang pelabur yang bijak seharusnya memilih pelaburan yang bukan sahaja mengikut matlamat dan jumlah modal yang dimiliki, tetapi juga mengikut tahap risiko mereka sendiri.

Anda perlu mengetahui sejauh mana risiko yang mampu ditanggung. Adakah anda seorang pelabur yang berisiko tinggi, sederhana atau rendah? Perkara ini sangat penting kerana ia akan membantu anda menentukan sama ada perlu mengambil pendekatan pelaburan yang agresif, sederhana ataupun konservatif.

Dalam kata lain, jika anda makan mengikut selera sendiri, maka lakukanlah perkara yang sama apabila melabur. Melaburlah mengikut ‘selera’ anda. Buat pertimbangan yang sewajarnya terhadap modal yang diperlukan, risiko yang dihadapi, kemungkinan adanya keuntungan (atau kerugian) dan lain-lain. Sebagai contoh, jika tahap risiko seseorang adalah rendah atau sederhana, mungkin produk berisiko tinggi seperti derivatif tidak wajar dimasukkan dalam portfolio pelaburannya.

C) Di mana anda ingin makan?

Hidangan bufet ditawarkan di pelbagai tempat, termasuklah hotel bertaraf lima bintang, kafe dan restoran. Jadi bagaimana anda membuat pilihan untuk makan di mana? Sudah tentu ada faktor-faktor tertentu yang membantu anda membuat pilihan, bukan?

Apabila membuat pelaburan, anda akan berhadapan dengan dilema pilihan yang sama. Patutkah anda melabur dalam unit amanah atau apakah saham pilihan yang lebih bijak? (Langkah-langkah atau resepi pelaburan bijak seterusnya akan bersambung dalam keluaran Ringgit Disember 2013).

Sumber : www.min.com.my/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 43/November 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button