Pelan PenyimpananPengurusan KewanganPerancangan Kewangan

Bina Kekayaan

Buat arahan tetap, pindah 10 peratus gaji secara automatik.

Artikel ini akan membincangkan bagaimana membina kekayaan dan pada masa yang sama, merancang untuk mengatasi apa-apa ketidakpastian.

Menabunglah secara automatik. Pelan tabungan adalah penting dalam perancangan kewangan. Tanpa pelan ini, anda mungkin tidak dapat mencapai matlamat kewangan anda.

Anda disarankan supaya menabung 10 peratus daripada pendapatan pada setiap bulan. Adalah lebih baik jika anda dapat menabung 20 hingga 30 peratus kerana ini dapat meningkatkan lagi simpanan pada masa hadapan.

Ingat, semakin banyak wang ditabung sekarang, semakin mudah untuk mencapai matlamat kewangan anda. Ada beberapa cara untuk menabung pendapatan bulanan terus ke dalam akaun simpanan anda. Antaranya, anda boleh:-

  1. Tulis cek dan masukkan ke dalam akaun simpanan anda setiap bulan.
  2. Pindahkan wang dari akaun semasa ke dalam akaun simpanan anda melalui perbankan internet setiap bulan.

Adalah bagus sekiranya anda dapat melakukan satu daripada perkara yang dinyatakan di atas. Bagaimanapun, selepas beberapa bulan, anda mungkin terlupa untuk berbuat demikian, atau ada alasan untuk membelanjakan wang terbabit daripada menyimpannya dalam akaun simpanan anda.

Tabiat menabung anda akan terjejas, dan sekiranya ini berlaku, mungkin anda sukar meneruskan pelan berkenaan. Jadi bagaimana untuk memastikan anda mengikuti pelan tabungan ini? Mudah saja, adakan tabungan secara automatik.

  1. Beri arahan kepada bank anda untuk memindahkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada gaji bulanan daripada akaun semasa ke dalam akaun simpanan anda setiap bulan.
  2. Buatkan pemindahan wang sebaik sahaja gaji dimasukkan ke dalam akaun semasa anda. Apa yang tidak dapat dilihat atau apa yang tidak ada, anda tidak akan rasa kehilangannya.

Pada masa yang sama, wang dalam akaun simpanan akan bertambah, membawa anda lebih hampir untuk mencapai matlamat kewangan.

Jika kemampuan serta pendapatan anda bertambah hasil kenaikan gaji atau pangkat, beri arahan kepada bank untuk menambahkan jumlah yang dipindahkan ke dalam akaun simpanan anda.

Apabila anda berjaya menyimpan jumlah wang yang dikehendaki, pindahkan wang tersebut ke dalam simpanan tetap atau simpanan-simpanan yang memberi pulangan yang lebih banyak.

Bagaimanapun, teruskan pemindahan wang setiap bulan ke dalam akaun simpanan, dan jangan berhenti, kerana ini mungkin akan menjejaskan tabiat menabung anda.

Wang yang anda tabung secara automatik ini boleh digunakan untuk mencapai matlamat kewangan yang lain.

Sumber : AKPK/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 49/Mei 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button