Pengguna

Bil Utiliti bagi Rumah yang Disewakan

Pelaburan dalam sektor hartanah lazimnya memberikan pulangan yang lumayan kepada pemilik hartanah tersebut. Jadi tidak hairanlah apabila ramai pemilik rumah yang menjual rumah mereka pada harga yang lebih tinggi atau menyewakan rumah mereka kepada pihak lain bagi mendapatkan pulangan wang. Namun begitu, terdapat juga pemilik rumah yang terpaksa menanggung kerugian apabila mereka menyewakan rumah kepada orang lain.

Pemilik rumah dinasihatkan supaya memilih penyewa dengan teliti bagi mengelakkan permasalahan yang mungkin dihadapi pada masa hadapan. Ini disebabkan banyak aduan yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) tentang pengguna yang menyewakan rumah kepada pihak ketiga, yang berkaitan dengan tunggakan bil utiliti, iaitu bil air dan elektrik yang mencecah ribuan ringgit yang tidak dijelaskan oleh penyewa.

Apabila pemilik rumah mendapati bahawa bil utiliti sudah lama tertunggak, kesalahan diletakkan kepada pihak pembekal perkhidmatan kerana tidak memotong bekalan dengan secepat mungkin. Namun begitu, tidak sewajarnya bagi pengguna untuk meletakkan kesalahan seratus peratus ke atas pembekal perkhidmatan. Pengguna juga perlu mengambil langkah awal bagi mengelakkan kejadian ini berlaku.

Pengguna juga dinasihatkan supaya sentiasa memantau rekod bil utiliti bagi rumah yang disewakan untuk memastikan bahawa penyewa membayar bilbil tanpa sebarang kegagalan. Untuk memantau bil elektrik, pengguna boleh memohon supaya salinan bil semasa dihantar kepada alamat kediaman mereka, selain bil asal dihantar ke rumah yang disewakan. Pengguna juga dinasihatkan supaya memanfaat kemudahan yang disediakan oleh pihak pembekal perkhidmatan, seperti kemudahan aplikasi telefon pintar, contohnya “myTNB”.

Selain itu, pengguna boleh membuat semakan melalui laman sesawang pembekal perkhidmatan. Pengguna perlu mendaftar akaun atas nama terlebih dahulu dan boleh melakukan semakan pada bila-bila masa sahaja. Tidak lupa juga, semakan melalui panggilan kepada khidmat bantuan pelanggan boleh dijadikan salah satu saluran semakan.

Akta berkaitan air dan elektrik membenarkan pembekal perkhidmatan untuk memotong bekalan jika terdapat tunggakan. Namun akta ini tidak mewajibkan mereka untuk memotong bekalan jika terdapat tunggakan. Maka agak sukar untuk pengguna menegaskan bahawa tunggakan yang tinggi tidak perlu dibayar berdasarkan tanggapan bahawa pembekal perkhidmatan telah cuai kerana tidak memotong bekalan apabila tunggakan telah berlaku. Harus diingatkan bahawa akta hanya memperuntukkan bahawa pembekal perkhidmatan mempunyai hak untuk memotong bekalan dengan syarat notis diberikan terlebih dahulu.

Kesimpulannya, pengguna harus lebih berhati-hati dan peka dengan hak dan tanggungjawab mereka. Jika terdapat sebarang tunggakan, maka pemilik rumah perlu meminta supaya penyewa menjelaskan tunggakan tersebut dengan segera. Jika penyewa berdegil, pemilik rumah boleh meminta pembekal perkhidmatan untuk memotong bekalan ke premis tersebut.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) di talian 03-7877 9000 atau myAduan@nccc.org.my.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 47/Mac 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button