Pelan PerbelanjaanPengurusan Kewangan

Bijak Memilih Produk Kecantikan

Pengguna mudah tertarik pada produk dan perkhidmatan kecantikan tanpa mengkaji terlebih dahulu mengenai risiko yang mungkin terdapat pada produk dan perkhidmatan tersebut. Kesan sampingan yang berpunca daripada produk dan perkhidmatan kecantikan bukanlah suatu perkara yang baru. Kemajuan teknologi juga bukan merupakan suatu faktor pengesahan tahap keselamatan sesuatu produk dan khidmat.

Justeru, NCCC ingin menarik perhatian pengguna tentang risiko-risiko yang mungkin dialami jika perkara ini dipandang ringan. Pengguna harus sedar bahawa tidak semua produk kecantikan yang berada di pasaran telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ada juga dijual tanpa kelulusan dan akhirnya mendatangkan mudarat pada kesihatan pengguna.

Begitu juga dengan perkhidmatan pakar kecantikan. Mereka yang memperkenal diri sebagai pakar kecantikan sebenarnya mungkin tidak seperti yang diperkatakan. Hal ini disebabkan kawal selia KKM tidak merangkumi pakar kecantikan dan tiada pengiktirafan secara khusus dikeluarkan oleh KKM kepada pakar-pakar kecantikan ini. Jadi, jika pengguna mengalami kesan sampingan, mereka tidak boleh membuat aduan kepada KKM, sebaliknya mereka perlu mengambil tindakan mahkamah. Hal ini sudah tentu melibatkan kos guaman yang tinggi.

NCCC memandang serius permasalahan ini dan mengesyorkan pengguna supaya mengambil berat terhadap nasihat-nasihat berikut:

  1. Semak dengan KKM terlebih dahulu tentang produk yang dijual di pasaran dan juga produk yang digunakan/diberikan oleh pusat kecantikan bagi memastikan tahap keselamatan produk tersebut.
  2. Elak daripada melanggan khidmat yang memerlukan perubahan yang besar terhadap keadaan fizikal diri anda.
  3. Dapatkan nasihat doktor yang bertauliah terlebih dahulu untuk mengetahui punca permasalahan diri anda dan sama ada rawatan yang ditawarkan oleh pusat kecantikan selamat untuk anda.
  4. Elak daripada menggunakan produk yang berlainan jenis pada satu-satu masa kerana dikhuatiri tindak balas produk-produk ini tidak sesuai antara satu sama lain. Hal ini boleh memudharatkan kulit anda.
  5. Dapatkan nasihat/khidmat guaman jika anda menjadi mangsa kepada kecuaian pakar kecantikan.
  6. Pilih produk yang benar-benar mendapat kelulusan KKM dan dijamin selamat.

NCCC mengalu-alukan sebarang pertanyaan daripada pengguna di seluruh Malaysia dan nasihat yang diberikan bergantung kepada permasalahan yang anda hadapi.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) di talian 03-78779000 atau myAduan@ nccc.org.my

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 53/September 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Lihat Juga
Close
Back to top button