Pelan Perbelanjaan

Bijak Berbelanja Menjelang Musim Perayaan

Setiap kali tiba musim perayaan, ramai yang merungut dan runsing kerana tidak dapat mengawal perbelanjaan. Biasanya ramai yang terpaksa menangguhkan bayaran ansuran bulanan, seperti ansuran kereta, kad kredit dan bayaran pinjaman rumah. Lebih merunsingkan lagi, ada yang sanggup membuat pinjaman daripada ‘Ah long’ untuk memenuhi kelengkapan rumah dan membuat persediaan untuk menyambut hari perayaan. Perkara seperti ini tidak akan berlaku sekiranya anda membuat persediaan lebih awal.

Berikut adalah tip untuk pekerja muda mengawal perbelanjaan pada musim perayaan:

Di bazar Ramadan

  • Peruntukkan bajet yang sama semasa berbelanja di bazar Ramadan. Sebagai contoh, setiap hari anda berbelanja sebanyak RM20 untuk membeli sarapan dan makanan tengah hari. Oleh itu, anda juga perlu peruntukkan sebanyak RM20 atau kurang apabila membeli juadah di bazar Ramadan.
  • Anda boleh juga mendisiplinkan diri dengan hanya berbelanja RM10 hingga RM15 apabila berkunjung di bazar Ramadan.
  • Sebaik-baiknya, sediakan sendiri makanan berbuka puasa kerana ia lebih menyihatkan dan menjimatkan belanja harian.

Baju raya, peralatan dan perabot

  • Anda boleh menambah aksesori seperti labuci / manik pada baju Melayu atau baju kurung raya tahun-tahun lepas supaya ia kelihatan seperti baharu dan menarik.
  • Ubah susunan perabot ruang tamu anda atau menambah aksesori, seperti bunga gambar hiasan dan mengguna semula barangan yang sedia.
  • Lap dan cuci semua peralatan perabot rumah atau cat semula diruangan yang tertentu untuk kelihatan seperti suasana baharu.

Biskut raya

  • Menyediakan sendiri juadah dan biskut raya tentu menyeronokkan. Anda tidak perlu menghabiskan wang untuk membeli biskut raya. Anda boleh berkongsi atau bertukar-tukar dalam menyediakan biskut raya bersama-sama rakan anda.
  • Kadangkala peniaga menawarkan jualan lelong biskut raya pada hari terakhir bulan Ramadan. Jika anda berpeluang, ambil peluang dengan sebaiknya.

Duit raya

  • Pemberian duit raya adalah satu tradisi, dan pada masa yang sama dijadikan amalan sedekah kepada kanak-kanak. Anda boleh menyediakan bajet duit raya dengan menyimpan sebahagian daripada pendapatan bulanan anda dalam tempoh 6 bulan lebih awal.

Menyelenggara kereta

  • Kenderaan anda perlu diselenggara untuk memastikan anda selamat pulang ke kampung halaman. Selenggarakan kereta anda sebulan atau dua bulan lebih awal. Ini bagi memastikan agar kenderaan anda tidak mengalami kerosakan dan kejadian yang tidak diingini pada musim perayaan.

Juadah raya atau rumah terbuka

  • Semasa menyediakan juadah raya atau rumah terbuka, anda perlulah bijak merancang dan membuat anggaran jumlah tetamu yang bakal berkunjung ke rumah. Rancang menu utama dan menu-menu sampingan seperti pencuci mulut dan sebagainya. Hal ini dapat mengelak berlakunya pembaziran makanan.
  • Sebagai tetamu pula, ambil makanan secara berhemah kerana anda mungkin akan pergi ke beberapa rumah terbuka lagi selepas itu.

Kesimpulannya, anda perlu bijak merancang perbelanjaan pada musim perayaan. Cuba mengelak daripada membeli pada saat-saat akhir kerana anda akan terbeban dengan kos dan jumlah yang agak besar. Sediakan pelan yang bersesuaian untuk diri anda dan keluarga supaya sambutan perayaan tahun ini dapat diraikan dengan hati yang gembira dan ceria.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 73/Mei 2017

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button