Pelan Pelaburan

Berwaspada Dengan Skim Pelaburan Haram

  1. Skim Dagangan Mata Wang Asing Haram

Skim ini melibatkan aktiviti pelaburan dalam mata wang asing dengan tujuan untuk mendapat pulangan yang tinggi daripada pergerakan kadar tukaran mata wang asing. Pelabur lazimnya mudah tertarik dengan pulangan lumayan yang dijanjikan serta kemudahan akses pelaburan yang kini kebanyakannya boleh dilakukan dengan mudah secara dalam talian.

Pelabur diumpan dengan jemputan untuk menghadiri seminar dan bengkel percuma yang menerangkan tentang pulangan lumayan yang bakal mereka perolehi. Pelabur kemudiannya diminta membuka akaun dagangan mata wang asing dengan sesebuah syarikat yang didakwa mempunyai dagangan mata wang lesen yang sah. Setelah mendepositkan sejumlah wang ke dalam akaun tersebut, pelabur akan sentiasa diminta untuk menambahkan pelaburan dengan alasan kekurangan margin pelaburan awal dan untuk mengelakkan kehilangan modal.

Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 jelas menyatakan bahawa adalah menjadi satu kesalahan bagi seseorang untuk membeli atau menjual mata wang asing, atau terlibat atau mempunyai kaitan atau membuat persediaan di dalam sebarang perbuatan membeli atau menjual mata wang asing dengan mana-mana individu atau syarikat yang tidak mendapat kebenaran daripada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menjalankan aktiviti sedemikian.

  1. Skim Pelaburan Internet

Skim ini lebih terkenal kepada generasi celik IT yang tegar menggunakan internet dan media sosial untuk mendapatkan maklumat serta menggunakan kemudahan dalam talian untuk berurusan. Pelaburan ini membayangkan pulangan, faedah atau keuntungan yang besar, kebiasaannya pada kadar yang lebih tinggi daripada yang ditawarkan oleh institusi kewangan berlesen yang lain.

Mereka juga meyakinkan pelabur bahawa risiko pelaburan dalam skim mereka adalah sangat rendah, bahkan sesetengah pengendali skim berani menjanjikan pulangan tanpa sebarang risiko pelaburan. Melalui laman sesawang atau e-mel, pelabur didekati oleh pengendali skim ini dengan tawaran khidmat nasihat kewangan percuma serta pujukan untuk melabur dengan mereka. Namun individu atau syarikat pengendali skim pelaburan ini sebenarnya tidak pernah dilesenkan sebagai penerima deposit dan tidak mendapat kebenaran daripada pihak BNM.

Mereka juga tidak memperoleh lesen atau kelulusan daripada pihak Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk memberi nasihat pelaburan yang berkaitan dengan aktiviti sekuriti atau niaga hadapan, apatah lagi untuk menjalankan aktiviti pengurusan dana di Malaysia.

  1. Pengambilan Deposit Secara Haram

Mereka yang melabur di dalam skim ini turut dijanjikan dengan pulangan yang tinggi, meskipun pengendali skim ini tidak mempunyai kuasa atau kebenaran untuk mengambil deposit daripada mana-mana pihak. BNM tidak pernah mengeluarkan lesen kepada individu atau mana-mana syarikat selain daripada institusi-institusi kewangan untuk menawarkan apa-apa bentuk skim pelaburan dan mengambil deposit daripada orang ramai.

Pengendali skim ini bijak beroperasi dengan meyakinkan pelabur melalui pulangan awal yang diberikan hasil kutipan daripada pelabur-pelabur baharu yang lain. Pelabur kemudiannya dipujuk untuk melabur semula dengan jumlah yang lebih besar untuk menikmati pulangan yang lebih lumayan pada kadar yang tinggi.

Pelabur juga mungkin digalakkan untuk mempromosi dan mengajak rakan-rakan menyertai skim ini. Walau bagaimanapun, tiada jaminan yang pengendali ini mampu untuk terus membayar pulangan seperti yang dijanjikan jika mereka atau anda sendiri gagal mendapatkan pelabur-pelabur baharu.

Akhirnya, skim ini akan gagal dan pelabur menghadapi kerugian apabila pengendali menghilangkan diri bersama-sama wang pelaburan yang terkumpul.

  1. Penipuan Melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS), e-mel dan phishing

Satu lagi trend penipuan pelaburan alaf baharu adalah dengan menggunakan perantaraan SMS dan e-mel untuk menjalankan aktiviti memancing data peribadi atau dikenali sebagai phishing. SMS dihantar secara rawak untuk menawarkan hadiah-hadiah menarik serta ganjaran hebat, sama ada wang tunai atau barangan mewah.

Penerima yang bertuah akan dikehendaki menghubungi mereka semula untuk memberikan butiran lanjut supaya pemberian hadiah-hadiah dapat dilakukan. E-mel yang dihantar pula kononnya mengandungi notis makluman penting daripada pihak bank yang memerlukan pengguna untuk memberikan maklumat peribadi mereka, seperti nombor kad pengenalan, nombor akaun bank serta kata laluan akaun bank. Jika pengguna menjawab e-mel tersebut, maklumat peribadi pengguna akaun akan dapat digunakan oleh pengendali skim untuk mengakses dan memindahkan wang simpanan yang terdapat di dalam akaun bank pengguna.

Meskipun penghantaran SMS dan e-mel ini sering dilakukan tanpa mengambil kira sama ada pengguna tersebut benar-benar mempunyai akaun di bank yang disebutkan, tetapi masih ada mangsa yang terpedaya dengan helah sedemikian.

Berhati-hatilah dengan sebarang tawaran melalui SMS atau e-mel yang anda terima dan pastikan dahulu bahawa sumbernya adalah daripada pihak yang sah. Anda juga dinasihatkan supaya tidak melayari pautan yang mencurigakan, terutamanya apabila melakukan transaksi perbankan atas talian.

Anda dinasihatkan supaya merujuk pada senarai syarikat dan laman sesawang yang tidak diberi kebenaran atau kelulusan di bawah undang-undang dan peraturan berkaitan yang ditadbir oleh BNM menerusi pautan Peringatan Kepada Semua Pengguna BNM. Sila rujuk juga pada Investor Alert dan maklumat mengenai tindakan penguatkuasaan yang dikeluarkan Suruhanjaya Sekuriti.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 94/Februari 2018

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button