Pengguna

Berwaspada Dengan Panggilan Palsu

Berwaspada dengan panggilan palsu daripada mereka yang menyamar sebagai Pegawai Bank Negara Malaysia

Bank Negara Malaysia ingin mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan modus operandi pihak tertentu yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara Malaysia, bank perdagangan atau agensi penguatkuasaan (termasuk Polis dan Lembaga Hasil).

Mereka yang menyamar ini berniat untuk menipu orang ramai supaya memindahkan wang ke akaun pihak ketiga yang tidak dikenali yang kononnya selamat dalam simpanan Bank Negara Malaysia. Aktiviti penipuan ini dilakukan melalui pelbagai cara termasuk panggilan telefon, SMS, e-mel atau bentuk komunikasi yang lain. Modus operandi mereka adalah seperti berikut:

  • Mangsa menerima SMS atau panggilan telefon untuk mengesahkan transaksi kad kredit yang kononnya telah dicaj kepada kad kredit mangsa.
  • Apabila mangsa menelefon nombor telefon yang diberikan dalam SMS, mereka yang menyamar ini akan memperkenalkan diri sebagai ejen sebuah bank perdagangan dan meminta mangsa memberikan nama penuh dan nombor kad pengenalan untuk pengesahan.
  • Selepas pengesahan, mangsa akan diminta untuk mengesahkan sama ada transaksi kadkredit telah dibuat.
  • Apabila mangsa menafikan berlakunya transaksi tersebut, mangsa akan dinasihati supaya membuat laporan kepada ‘Unit Kad Kredit Palsu’ Bank Negara Malaysia, atau ‘jabatan pengurusan kad kredit’ bank-bank perdagangan. Mangsa akan diberikan nombor telefon ‘Unit Kad Kredit Palsu’ tersebut.
  • Apabila mangsa menelefon nombor yang diberikan itu, panggilan itu akan dijawab oleh

seseorang yang mengatakan dia pegawai Bank Negara Malaysia. ‘Pegawai’ ini kemudiannya akan meminta maklumat berhubung dengan akaun perbankan dan kad kredit mangsa.

  • Mangsa akan diarah untuk memindahkan wang di kaunter atau menerusi ATM ke akaun pihak ketiga dengan alasan untuk memastikan wang mangsa disimpan dengan selamat dan untuk tujuan penyiasatan.
  • Mangsa akan diarah supaya tidak memberitahu sesiapa kerana kononnya tindakan ini mungkin akan menjejaskan penyiasatan.

Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada apabila menerima panggilan telefon, SMS atau e-mel yang tidak diundang, dan mereka tidak perlu membalas sebarang panggilan telefon yang tidak diundang itu. Bank Negara Malaysia tidak pernah meminta sesiapa untuk membuat sebarang pindahan wang untuk disimpan dengan selamat.

Bank Negara Malaysia menasihati orang ramai supaya melindungi diri mereka daripada tertipu dan berhati-hati dengan mengambil langkah berikut:

(1) Jangan dedahkan maklumat kewangan peribadi kepada mana-mana pihak.

(2) Jangan membuat pindahan wang ke akaun pihak ketiga yang tidak dikenali.

(3) Selalu berhubung dengan pihak bank perdagangan untuk mengesahkan identiti akaun pihak ketiga yang tidak dikenali supaya dapat mengelak daripada ditipu.

Orang ramai boleh berhubung terus dengan Bank Negara Malaysia di:

BNMTELELINK
(Pusat Perhubungan Khidmat Pelanggan)
Tel : 1-300-88-5465
Fax : 03- 2174 1515
E-mel : bnmtelelink@bnm.gov.my

Untuk menghantar pertanyaan atau aduan melalui SMS, taip BNM TANYA [pertanyaan/aduan anda] dan hantar kepada 15888. Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti penipuan kewangan, sila lawati laman amaran penipuan kewangan di http://fraudalert.bnm.gov.my atau berinteraksi dengan kami melalui facebook di http://facebook.com/bnm.official

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 46/Februari 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button