Pengurusan Kewangan

Berjimat Sebelum Terlambat

Jika tidak bijak membelanjakan wang, sudah pasti ia akan digunakan untuk membeli perkara yang tidak perlu. Seharusnya wang gaji yang diperoleh digunakan sebaik mungkin dan menyimpan sedikit untuk digunakan pada masa kecemasan.

Roslan, 40 tahun (bukan nama sebenar) adalah seorang yang tidak pernah menyimpan sebahagian gajinya. Beliau sentiasa merasa cukup dengan gaji diperoleh setiap bulan. Roslan bahagia bersama-sama isteri dan empat orang anaknya

Roslan seorang bapa dan suami yang bertanggungjawab serta berjawatan tinggi di sebuah firma guaman. Sebagai tempat bergantung kepada keluarganya, Roslan mempunyai pendapatan yang cukup untuk menampung perbelanjaan dan kos hidup keluarganya.

Dua tahun lalu, salah seorang daripada anaknya disahkan menghidap penyakit leukemia. Penyakit tersebut memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Oleh sebab anak Roslan tidak dilindungi insurans, maka Roslan telah membayar bil-bil perubatan anaknya menggunakan kad kredit.

Di sini bermulalah kesilapan Roslan dalam menguruskan kewangan apabila menangguhkan pembayaran ansuran bulanan pinjaman rumahnya untuk membayar bil perubatan anak. Roslan menyedari akibat daripada menangguhkan pembayaran ansuran bulanan pinjaman rumah, tetapi dia tidak mempunyai pilihan.

Pada saat itu, Roslan mula memohon lebih banyak kad kredit dan pinjaman peribadi untuk menampung perbelanjaan tersebut. Keadaan menjadi bertambah teruk apabila ayah mertua Roslan diserang penyakit angin ahmar dan menyebabkan dia juga terpaksa menanggung perbelanjaan ayah mertuanya yang sudah tidak bekerja.

Ini bermakna, di samping menampung keluarga, Roslan terpaksa menanggung perbelanjaan bil-bil perubatan ayah mertuanya. Hari berganti hari dan bulan berganti bulan. Perbelanjaan perubatan penyakit anak Roslan dan bapa mertua semakin meningkat. Hingga pada satu ketika, bayaran ansuran bulanan pinjaman rumahnya tertunggak selama tiga bulan.

Pada suatu hari, Roslan menerima surat amaran daripada bank yang menyatakan dia akan dikenakan tindakan undang-undang jika gagal membayar ansuran pinjaman rumahnya pada masa yang ditetapkan. Sedar akan masalah yang bakal dihadapi, Roslan pergi ke bank tersebut dan berbincang dengan pegawai terbabit akan masalah yang dihadapi olehnya.

Pegawai tersebut mencadangkan Roslan mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Roslan terus datang ke pejabat AKPK dan berjumpa dengan kaunselor AKPK. Kaunselor telah membuat jadual penstrukturan semula pembayaran bulanan pinjaman Roslan kepada bank yang telah dipersetujui. Dengan ini, Roslan mampu untuk membayar balik pinjaman daripada pihak institusi kewangan dan juga menanggung perbelanjaan keluarganya.

Amalkan Pengurusan Kewangan Berhemat Sebagai Budaya Hidup

Sumber: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Lihat Juga
Close
Back to top button