PenggunaPengurusan Kewangan

Berhemat Menggunakan Pinjaman Pendidikan

Sebahagian besar pelajar yang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi akan memohon pinjaman pendidikan. Sebahagian daripada para pelajar yang memohon pinjaman benar-benar memerlukan pinjaman bagi menjelaskan yuran pengajian, yuran kolej dan menampung kos sara hidup di sepanjang pengajian. Tidak dinafikan juga, segelintir daripada pelajar ini menyalahgunakan pinjaman tersebut untuk memenuhi kehendak mereka semata-mata. Antaranya, membeli telefon bimbit mewah, hiburan, pakaian berjenama dan bersaing dengan rakan masing-masing.

Hal ini perlu dielakkan oleh para pelajar. Anda tidak perlu terikut-ikut dengan trend rakan-rakan anda yang lain. Anda perlu ‘mengukur baju di badan sendiri’.

Berikut adalah beberapa tip menggunakan pinjaman pendidikan secara berhemat.

a) Senaraikan keperluan pengajian anda

Anda perlu menyediakan senarai keperluan pengajian anda. Jika boleh, senaraikan mengikut keutamaan dan letakkan bajet bagi setiap item tersebut. Beli yang perlu sahaja!

b) Utamakan keperluan bukan kehendak

Kemungkinan ada pelajar yang keliru untuk membezakan keperluan dengan kehendak. Ia bergantung kepada faktor dan latar belakang keluarga yang telah membiasakan anda dengan barangan mewah. Contohnya, telefon bimbit adalah merupakan keperluan, namun telefon pintar berharga RM2,000 ke atas merupakan kehendak. Paling penting, berbelanja mengikut kemampuan anda. Ukur baju di badan sendiri!

c) Buat bajet

Anda boleh membuat bajet perbelanjaan pengajian anda selama sebulan. Dengan cara ini, anda dapat menganggarkan kos untuk makanan, kos penyediaan ‘assignment’, kos pengangkutan, kos untuk aktiviti sosial dan kemasyarakatan serta lain-lain lagi. Anda boleh berdisiplin dengan hanya perlu menguruskan wang yang diperuntukkan sahaja. Belanja mengikut bajet!

d) Asingkan wang pinjaman ke dalam akaun bank yang lain

Anda akan menerima sejumlah wang yang banyak bagi setiap semester pengajian di dalam akaun bank. Untuk mengelakkan anda berbelanja secara berlebihan dan mudah mengeluarkan wang, anda boleh mengasingkan sejumlah wang yang besar ke dalam akaun bank yang lain. Contohnya bank yang tidak menyediakan khidmat ATM. Bijak urus wang!

e) Bijak memilih rakan sebaya

Rakan sebaya secara tidak langsung akan mempengaruh corak perbelanjaan anda.

Sekiranya anda bijak memilih rakan sebaya, pengurusan kewangan anda akan tercapai dengan mudah.

Akhir sekali, anda perlu ingat pinjaman pendidikan yang anda nikmati ini adalah untuk sementara. Anda perlu membuat bayaran balik kepada agensi pinjaman, seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), MARA dan sebagainya selepas anda menamatkan pengajian. Kegagalan anda membuat bayaran balik akan menjejaskan nama anda kelak. Bijak Urus Wang, Cerah Masa Hadapan.

Sumber : FOMCA/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 49/Mei 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button