Pelan PelaburanPenggunaPerancangan Kewangan

Berhati-Hati Melabur dalam Skim Kepentingan

Terdapat laporan media tentang sindiket penipuan skim pelaburan beras yang dianjurkan oleh seorang lelaki tempatan di Kuching, Sarawak sejak dua bulan lalu. Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati sebelum menyertai sebarang skim pelaburan yang menjanjikan kadar pulangan yang tinggi dalam tempoh masa yang singkat. Ini bagi mengelakkan mereka daripada ditipu dan mengalami kerugian. Sekiranya pelaburan tersebut bersifat skim

kepentingan, maka mereka perlu memastikan skim tersebut didaftar dan diluluskan oleh SSM. Mereka boleh membuat semakan tentang syarikat yang menganjurkan skim kepentingan yang diluluskan dilaman sesawang SSM atau datang sendiri ke pejabat SSM yang berdekatan.

Apakah Skim Kepentingan?

Skim Kepentingan merupakan satu cara perniagaan di Malaysia. Skim Kepentingan melibatkan pengumpulan wang daripada orang ramai dengan tujuan untuk memperoleh satu kepentingan di dalam skim tersebut.

Kepentingan yang dimaksudkan adalah kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan, keuntungan atau pulangan, bergantung kepada jenis skim kepentingan tersebut.

Penganjur skim kepentingan mestilah mendaftarkan skim tersebut dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebelum ditawarkan kepada orang ramai. Penjualan kepentingan adalah tertakluk di bawah Bahagian 5 Penggal IV Akta Syarikat. Penganjur perlu mematuhi Garis Panduan dan kehendak yang ditetapkan dan dikeluarkan oleh SSM dari semasa ke semasa.

Bagaimana mengetahui skim itu adalah Skim Kepentingan?

Skim yang ditawarkan mestilah mempunyai kriteria seperti berikut:-

  • Anda perlu membuat bayaran kepada syarikat, sama ada secara tunai atau sebagainya untuk menyertai skim.
  • Anda bukan pemegang syer dalam syarikat
  • Anda tidak terlibat dalam pengurusan seharian skim
  • Anda mempunyai kepentingan di dalam perniagaan atau skim tersebut.

DAN mana-mana satu kriteria di bawah:-

  • Anda mempunyai kepentingan dalam keuntungan, aset atau realisasi di dalam mana-mana perniagaan skim di Malaysia atau sebaliknya.
  • Anda diberitahu bahawa anda akan mendapatkan pulangan/keuntungan pembayaran yang telah dibuat.
  • Anda mempunyai hak/kepentingan di dalam harta, termasuk hak untuk menggunakan kemudahan ke atas harta tersebut untuk lebih daripada 12 tahun.
  • Anda berhak untuk menggunakan kemudahan percutian melebihi dua kali dalam tempoh sesuatu skim kongsi masa.

Contoh Skim Kepentingan

  • Tawaran keahlian melebihi 12 bulan bagi Kelab Golf, Kelab Rekreasi dan Kelab Kesihatan.
  • Tawaran untuk menjadi ahli skim kongsi masa.
  • Tawaran untuk melabur dalam skim pertanian dan skim ternakan air tawar bagi tujuan perdagangan. Skim ini juga dikenali sebagai skim kongsi tani atau skim plot penanam.
  • Tawaran untuk melabur dalam binatang ternakan (seperti burung unta, kuda, lintah, cacing, lembu, kambing, ikan sembilang dan burung layanglayang) bagi tujuan perdagangan.
  • Tawaran untuk melabur di dalam perniagaan tertentu yang pelabur tidak terlibat dalam tugasan harian perniagaan.
  • Tawaran untuk membeli tapak perkuburan, balang abu dan tempat penyimpanan balang abu daripada Taman Memorial.
  • Tawaran untuk membeli kepentingan dalam hartanah “greenbelt” yang pembeli menjangkakan keuntungan daripada penjualan tanah hasil usaha syarikat/pihak ketiga untuk mendapatkan kelulusan menukar zon kegunaan tanah. Skim ini dikenali sebagai Skim “Land Banking”.

Senarai semakan untuk Skim Kepentingan

  • Hanya syarikat berhad yang dibenarkan untuk mengendalikan skim kepentingan.
  • Borang permohonan bagi pembelian kepentingan sesuatu skim hendaklah disertakan satu salinan prospektus. Kandungan prospektus akan menerangkan butir-butir lengkap tentang skim yang ditawarkan.
  • Skim mesti mempunyai surat ikatan amanah yang berdaftar dengan SSM. Surat ikatan amanah ini mengikat tanggungjawab penganjur skim terhadap pemegang kepentingan. Salinan surat ikatan amanah boleh didapati di SSM dengan kadar bayaran RM1.00 bagi satu muka surat.
  • Skim mempunyai pihak yang bertindak sebagai pemegang amanah.
  • Pemegang kepentingan diberi masa sekurangkurangnya 10 hari tempoh bertenang untuk menarik balik permohonan, dan bayaran akan dikembalikan kepada pemohon tanpa sebarang denda.
  • Kakitangan jualan mestilah pekerja penganjur skim atau syarikat pemasaran yang dilantik oleh penganjur skim dan diluluskan oleh SSM.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai skim kepentingan, sila hubungi talian Hotline 03-2299 5500 atau melalui e-mel enquiry@ssm.com.my atau mengunjungi laman sesawang www.ssm.com.my.

Sumber : SSM/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 33/Januari 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button