Pengguna

Berhati-hati dengan Skim Perkongsian Masa

Tawaran untuk menikmati pelbagai jenis kemudahan atau percutian pasti akan menarik perhatian para pengguna pada masa kini. Kini perkhidmatan skim perkongsian masa semakin banyak diperkenal kepada para pengguna, yang membolehkan mereka yang melanggan perkhidmatan ini akan mendapat ganjaran dari segi percutian atau kemudahan lain, serta keistimewaan seperti yang ditawarkan syarikat yang menganjurkan skim ini. Pengguna hanya perlu melanggan skim perkongsian masa ini daripada syarikat penganjur dengan membayar sejumlah bayaran dalam tempoh masa yang dipersetujui untuk menikmati pelbagai jenis kemudahan yang ditawarkan.

Walaupun tawaran kemudahan yang disediakan nampak menarik, namun realitinya tidak semua yang ditawarkan itu sama seperti yang dijanjikan. Terdapat juga aduan yang diterima oleh NCCC, iaitu penganjur skim perkongsian masa membuat representasi palsu dan menjanjikan pelbagai tawaran. Namun, apabila diminta, kemudahan-kemudahan yang dijanjikan tidak dapat digunakan. Begitu juga, kemudahan tersebut tidak selesa seperti yang digambarkan. Pengguna akan lebih dihimpit dengan masalah jika bayaran langganan dibuat menerusi kad kredit. Ini kerana, kadangkala pelbagai jenis bayaran tersembunyi dikenakan ke atas pengguna dan cas langganan masih lagi berjalan walaupun mereka sudah menamatkan langganan tersebut. Kesannya, pengguna akan dibebani masalah hutang tanpa pengetahuan mereka sendiri.

Adalah lebih bijak jika pengguna memastikan terlebih dahulu bahawa syarikat penganjur skim tersebut mempunyai sejarah perniagaan yang baik dan tiada rekod aduan berkaitan dengan perkhidmatan yang disediakan. Terma dan syarat yang terkandung dalam perjanjian perlu diteliti sebelum ditandatangani. Mengikut Seksyen 38 (1) Akta Kontrak 1950, pihak–pihak yang telah diikat di dalam kontrak yang dipersetujui mestilah melaksanakan tanggungjawab seperti yang telah dipersetujui dalam kontrak. Manakala, Seksyen 53 Akta Perlindungan Pengguna 1999 pula memperuntukkan bahawa setiap perkhidmatan yang dibekalkan kepada pengguna mestilah dijalankan dengan teliti dan kemahiran munasabah.

Kesimpulannya, setiap terma dan syarat yang dipersetujui dalam perjanjian skim perkongsian masa mestilah dipatuhi dan dilaksanakan dengan baik oleh syarikat penganjur tanpa menindas hak pengguna.

Tip Pengguna

  • Pastikan setiap tawaran yang dijanjikan oleh syarikat penganjur skim adalah munasabah dan boleh diperoleh.
  • Baca dan pastikan setiap syarat di dalam perjanjian adalah seimbang dan tidak berat sebelah.
  • Untuk mengelakkan daripada tertipu, anda boleh membuat semakan tentang kedudukan syarikat penganjur dan maklum balas tentang perkhidmatan yang ditawarkan untuk mendapatkan kepastian.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) di talian 03-7877 9000 atau myAduan@nccc.org.my.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 35/Mac 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button