Pengguna

Berhati Hati Apabila Menggunakan Agensi Pelancongan

Apabila anda ingin melancong ke luar negara, cara yang paling mudah ialah melantik ejen dari agensi pelancongan. Syarikat agensi pelancongan boleh merancang aktiviti-aktiviti yang menarik, yang boleh dinikmati oleh semua ahli keluarga, di samping dapat menjimatkan masa. Paling penting, ejen pelancongan menjadualkan segala-galanya, termasuk membeli tiket kapal terbang, menguruskan visa dan menyediakan tempat penginapan, termasuk makan dan minum.

Malangnya terdapat banyak aduan penipuan yang melibatkan agensi pelancongan. Ramai pengguna yang sanggup membayar wang yang banyak untuk pakej percutian tetapi tidak mengetahui risiko yang mungkin berlaku.

Kes penipuan yang melibatkan agensi pelancongan kini semakin meningkat setiap tahun. Agensi pelancongan tersebut memberi tawaran yang sangat meyakinkan sehingga menjadikannya sangat sukar untuk dibezakan antara perniagaan sebenar dengan perniagaan yang melibatkan penipuan. Mereka menawarkan perjalanan hebat dengan harga yang sangat rendah untuk menarik mangsa.

Antara aduan yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) berkaitan agensi pelancongan ialah mengambil wang daripada pengguna tetapi tidak menyediakan pakej kerana syarikat tersebut tidak wujud, pembatalan tidak dibenarkan dan syarikat enggan memulangkan wang pengadu sekiranya pengadu membatalkan pakej dan sebagainya.

Contoh aduan yang diterima oleh NCCC ialah tentang seorang pengguna yang ingin melancong ke Paris. Beliau telah membayar sebanyak RM12,000 kepada agensi pelancongan tersebut. Namun beliau tidak menerima maklumat pakej pelancongan daripada agensi. Apabila beliau pergi ke pejabat agensi itu, pejabat agensi telah ditutup. Dalam situasi seperti ini, pengadu hendaklah membuat laporan polis..

Bagi mengelakkan kejadian seperti di atas berlaku, pengguna dikehendaki menyemak terlebih dahulu tentang latar belakang agensi pelancongan itu melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau dengan Kementerian Pelancongan, sama ada agensi pelancongan berkenaan berdaftar ataupun tidak. Senarai Semakan Agensi Pelancongan Berdaftar boleh didapati di portal sesawang rasmi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia di www.motac.gov.my.

Pengguna dikehendaki membuat aduan secepat mungkin terhadap sebarang salah laku oleh agensi pelancongan di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Sekiranya aduan itu didapati benar, pembatalan lesen dan amaran keras akan dikenakan kepada syarikat pelancongan tersebut supaya mereka tidak mengulangi kesalahan itu, selaras dengan Akta Industri Pelancongan 1992.

Sumber: Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button