Pelan PerbelanjaanPengguna

Berhati-Hati Apabila Berurusan Dengan Pajak Gadai

Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) telah menerima banyak aduan daripada orang awam tentang segelintir kedai pajak gadai yang tidak mengikut peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Pemegang Pajak Gadai 1972. Tujuan Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 adalah untuk menyeragamkan undang-undang mengenai pajak gadai dan juga menjaga kepentingan pengguna.

Antara aduan yang sering diterima oleh NCCC ialah barang-barang kemas telah dijual dan dilelong tanpa dimaklumkan terlebih dahulu kepada pengguna yang menggadaikan barang-barang kemas tersebut. Selain itu, walaupun pengguna telah meminta untuk melanjutkan tempoh masa untuk menebus, namun barang kemas tersebut tetap dilelong dengan alasan mereka tidak menerima sebarang notis daripada pengguna.

Terdapat juga situasi beberapa kedai pajak gadai yang tidak berlesen mengenakan kadar faedah setinggi 6%. Mengikut Akta Pemegang Pajak Gadai 1972, kadar faedah yang dibenarkan ialah 2% sebulan atau 24% setahun. Jikalau kadar faedah yang dikenakan melebihi daripada kadar yang ditetapkan, ia merupakan satu kesalahan. Terdapat juga kes peniaga pajak gadai tidak memulangkan baki gadaian selepas lelongan.

Pengguna perlu memahami dan mengetahui hak mereka sebelum menggunakan perkhidmatan pajak gadai. Peringatan yang paling penting kepada pengguna ialah mereka perlu menyimpan resit sebagai bukti. Pengguna mesti memastikan barang kemas, seperti cincin dan kalung perlu ditimbang dan diukur dengan tepat kerana terdapat beberapa kes barang-barang kemas yang ditebus menjadi lebih pendek, seolah-olah barang kemas tersebut telah dipotong. Oleh itu, adalah penting untuk merekodkan berat dan panjang / lebar barang kemas dengan betul untuk mengelakkan insiden tersebut daripada berlaku.

Apabila pengguna ingin melanjutkan tempoh pembayaran, pengguna hendaklah berurusan secara bersemuka dengan kedai pajak gadai tersebut. NCCC juga menerima aduan mengenai permintaan pengguna untuk melanjutkan tempoh tebusan melalui telefon, tetapi permintaan itu tidak direkodkan dan barang tersebut telah dijual. Untuk makluman, setiap lanjutan tempoh yang diminta perlu dikemas kini dan dicatatkan dalam buku rekod.

NCCC ingin menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila berurusan dengan kedai pajak gadai. Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan pajak gadai, pengguna boleh menghubungi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bahagian Pemberi Pinjam Wang & Pemegang Pajak Gadai, melalui Sistem Aduan Bersepadu KPKT di laman sesawang, https://aduan.kpkt.gov.my/aduan atau pengadu boleh hadir sendiri ke Bahagian Pemberi Pinjam Wang dan Pemegang Pajak Gadai (BPWG), Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan atau boleh menghubungi Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional(NCCC) di www.nccc.org.my.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 96/April 2018

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button