BeritaPelan Pelaburan

Beli emas sebagai pelaburan dan perhiasan diri

Bernama

Kuala Lumpur: Orang ramai beratur panjang dan bersesak-sesak di hadapan kedai emas di seluruh negara sejak kebelakangan ini, bukan lagi satu fenomena pelik atau luar biasa.

Kaum Adam dan Hawa, tidak kira usia turut serta dalam ‘kemeriahan’ mendapatkan logam bernilai tinggi yang diidamkan itu ibarat serampang dua mata iaitu sebagai pelaburan dan perhiasan diri.

Tinjauan Bernama di ibu kota baru-baru ini mendapati orang ramai berpusu-pusu ke kedai emas tidak kira dalam pusat beli-belah atau kedai emas persendirian untuk berbelanja terutama menjelang sambutan Aidilfitri.

Norsiah Ahmad, 38, ketika ditemui di hadapan kedai emas di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Keramat berkata dia mahu membeli barangan kemas untuk anak dan ibunya, menggunakan wang simpanan selama beberapa tahun bekerja sebagai peniaga pasar malam.

“Saya fikir beli emas bukan saja untuk dipakai, boleh simpan dan masih bernilai. Tidak rugi beli sebab boleh jadi pelaburan untuk masa depan,” katanya.

Pekerja swasta, Khairul Azmi, 42, yang turut beratur bersama ahli keluarga di hadapan sebuah kedai emas terkemuka dalam kompleks beli-belah berkata selain membeli barangan kemas untuk dipakai, dia juga membeli syiling emas 999 bagi tujuan penyimpanan.

“Sebelum ini, saya ada beli syiling emas dan semasa keadaan kecemasan atau terdesak, saya dapat menolak (menjual kembali) emas itu untuk mendapatkan wang dengan mudah.

“Saya rasa ini lebih selamat kalau wang itu dilaburkan dalam bentuk emas, kita boleh nampak wang yang dibelanjakan itu sudah tentunya emas daripada beli benda lain susah dijual dan akan menyusut nilai,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Kewangan di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Adilah Azhari berpandangan trend peningkatan pembelian emas berpunca daripada sentimen emas adalah aset pelaburan jangka panjang yang mudah digadaikan dengan nilai stabil ketika keperluan mendesak akibat ekonomi tidak menentu.

“Pembelian emas sebagai pelaburan adalah bijak sekiranya pelabur juga memiliki aset cair seperti wang simpanan yang boleh digunakan ketika darurat.

“Banyak kajian telah menunjukkan bahawa emas adalah instrumen yang menjadi pilihan pelabur di kala kegawatan ekonomi kerana dikira sebagai aset selamat dan kalis inflasi,” katanya menambah harga emas menunjukkan peningkatan stabil sejak 2018 bagaimanapun, harga emas melonjak mendadak sekitar 2020 ekoran pandemik Covid-19,” katanya.

Selain itu, beliau berpendapat kepelbagaian aset dalam portfolio pelaburan juga penting memandangkan risiko setiap aset adalah berbeza dan akan mempengaruhi pulangan pelaburan.

Sumber: Bernama

Artikel Berkaitan

Back to top button