Pelan Perbelanjaan

Beli Belah Dalam Talian Semakin Berkembang di Malaysia

Memang tidak dapat dinafikan bahawa pembelian dalam talian, juga dikenali sebagai E-dagang berkembang pesat di Malaysia. Pembelian dalam talian menjadi pilihan orang ramai kerana ia mudah dan menjimatkan masa. Pengguna tidak perlu lagi beratur di kaunter untuk membuat pembayaran kerana sistem pembayaran dalam talian sangat mudah dan cepat. Pengguna juga tidak perlu melalui kesesakan jalan raya atau mencari parkir di pusat membeli-belah. Dengan hanya satu klik sahaja, pengguna boleh membeli barang dan mempunyai banyak pilihan untuk membeli, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara.

Mengikut data yang diberikan oleh iPay88, sejumlah RM32.8 juta transaksi dalam talian direkodkan pada tahun 2016, berbanding dengan tahun yang sebelumnya yang berjumlah RM14.6 juta. Ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia sangat selesa dan yakin untuk membeli barang dalam talian.

Walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar pada masa ini, ia tidak menghalang rakyat Malaysia daripada membeli belah dalam talian. Jumlah pengguna yang membeli di atas talian menunjukkan peningkatan berdasarkan data yang dikongsi oleh iPay88.

Aduan berkenaan pembelian dalam talian merupakan aduan tertinggi yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) dalam tempoh dua tahun berturut-turut, iaitu pada tahun 2014 dan 2015. Antara jenis aduan yang diterima oleh NCCC adalah barang yang dipesan tidak dihantar, pengguna terdedah kepada isu-isu penipuan, seperti barang yang diiklan dalam talian berbeza daripada realiti dari segi saiz dan warna serta pengguna berasa tertipu dengan iklan yang bertujuan untuk menarik minat pengguna untuk membeli.

Secara keseluruhannya, keyakinan pengguna dalam membeli barang dalam talian semakin meningkat pada masa kini. Tetapi, pengguna juga haruslah berhati-hati dan bijak memilih laman sesawang yang mereka berniat untuk membeli.

Pastikan syarikat tersebut berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan elakkan membeli produk yang diiklankan di laman sesawang yang tidak memberi penerangan yang jelas tentang produk mereka. Selain itu, pengguna juga perlu menyemak dan memeriksa produk yang dibeli sebaik sahaja ia sampai. Jika didapati terdapat masalah dengan produk tersebut, pastikan anda membuat aduan dengan segera.

Sumber: Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button