Pelan PerlindunganPengguna

Banjir – Adakah Kenderaan Anda Dilindungi?

Apabila musim hujan melanda negara ini, timbul kebimbangan dalam kalangan pemilik kenderaan tentang risiko kenderaan mereka ditenggelami air akibat banjir. Walaupun mereka telah mengambil langkah berjaga-jaga, seperti meletak kenderaan di tempat letak kereta yang tinggi, serta mengelak  daripada melalui kawasan yang sering dilanda banjirsemasa hujan lebat, namun risiko kenderaan boleh ditenggelami air banjir masih ada. Oleh itu, anda selalu tertanya-tanya sama ada anda boleh membuat tuntutan insurans bagi kerosakan kenderaan yang diakibatkan oleh banjir.

Secara amnya, polisi insurans/takaful kereta komprehensif memberikan pampasan bagi musibah, seperti kerosakan atau kehilangan kenderaan akibat kemalangan, kebakaran mahupun kecurian. Akan tetapi, kerosakan akibat banjir atau apa juga yang disebabkan banjir adalah dikategorikan sebagai bencana alam. Justeru, kerosakan kenderaan yang diakibatkan olehnya, disenaraikan sebagai risiko yang tidak dilindungi oleh polisi insurans kenderaan.

Antara kerosakan atau kehilangan akibat banjir yang tidak dilindungi ialah:

  • kerosakan terhadap kenderaan yang ditenggelami banjir.
  • kehilangan kenderaan akibat hanyut semasa banjir.
  • kebakaran dan letupan kenderaan akibat dimasuki air banjir.
  • kemalangan terhadap kenderaan dengan objek yang dihanyutkan air banjir seperti batang pokok.

Selain banjir, bencana alam lain yang tidak dilindungi termasuklah:

  • gempa bumi dan akibat daripadanya seperti ombak besar/tsunami,
  • tanah runtuh (dan akibat daripadanya seperti letupan gas atau kebakaran akibat gangguan elektrik berikutan tanah runtuh), dan
  • ribut petir (dan akibat daripadanya seperti kerosakan daripada kenderaan dipanah petir semasa ribut).

Walau bagaimanapun, pemilik kenderaan boleh membeli perlindungan tambahan terhadap kerosakan atau kehilangan akibat banjir dengan membeli perlindungan tambahan semasa membeli polisi insurans kenderaan mereka. Perlindungan ini juga terpakai untuk risiko bencana alam yang lain, seperti gempa bumi, tanah runtuh dan ribut petir.

Perlindungan tambahan ini dikenakan caj premium tambahan sebanyak 0.5% daripada jumlah yang diinsuranskan. Sebagai contoh, sekiranya kenderaan diinsuranskan sebanyak RM50,000, pemilik kenderaan akan dikenakan premium tambahan sebanyak RM250. Pemilik kenderaan juga boleh mengira anggaran jumlah premium untuk perlindungan tambahan bagi banjir dengan menggunakan kalkulator premium yang terdapat di laman sesawang www.insuranceinfo.com.my.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 41/September 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button