Pelan PenyimpananPenggunaPerancangan Kewangan

Bagaimana Memohon Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun

Kajian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendapati sebanyak 70 peratus daripada ahlinya telah menghabiskan keseluruhan simpanan mereka dalam tempoh satu hingga sepuluh tahun selepas bersara.Bagi menangani masalah yang membimbangkan ini, KWSP telah memperkenal kaedah bayaran yang lebih fleksibel untuk memberikan lebih pilihan kepada ahli KWSP bagi memastikan simpanan tersebut dapat bertahan untuk jangkamasa yang lebih panjang.

Apakah Pengeluaran Umur 55 Tahun?

Pengeluaran ini membolehkan anda mengeluarkan semua simpanan apabila mencapai umur 55 tahun bagi membantu menyara kehidupan anda semasa bersara.

Berapa banyak boleh saya keluarkan?

Oleh kerana pengeluaran ini merupakan Pengeluaran Umur 55 Tahun, maka anda layak untuk mengeluarkan keseluruhan simpanan KWSP apabila mencapai umur tersebut. Bagaimanapun, KWSP tidak menggalakkan pengeluaran ini, melainkan anda mempunyai sumber pendapatan persaraan yang lain kerana simpanan ini berkemungkinan dihabiskan dalam masa yang singkat.

Jadi apakah pilihan terbaru untuk Pengeluaran Umur 55 Tahun?

Sebaik sahaja mencapai umur 55 tahun, anda boleh memilih untuk mengeluarkan simpanan anda pada bila-bial masa, tertakluk kepada pengeluaran minimum sebanyak RM2,000 setiap 30 hari. Pada masa yang sama, anda boleh memilih untuk mengeluarkan baki

simpanan secara bayaran bulanan. Walau bagaimanapun, sekiranya anda masih ingin mengeluarkan keseluruhan simpanan anda secara sekaligus, anda masih boleh berbuat sedemikian.

Apakah syarat-syarat pengeluaran bayaran bulanan ini?

Bagi pilihan bayaran bulanan, anda boleh mengeluarkan jumlah minimum sebanyak RM250 sebulan untuk tempoh sekurang-kurangnya 12 bulan, dengan syarat anda mempunyai jumlah minimum sebanyak RM3,000 di dalam akaun anda.

Sekiranya jumlah simpanan saya pada umur 55 tahun ialah RM100,000, bolehkah diterangkan cara-cara lain yang boleh saya gunakan untuk mengeluarkan simpanan tersebut?

Selain daripada anda boleh mengeluarkan keseluruhan simpanan secara sekali gus, anda boleh mengeluarkan sebahagian simpanan tertakluk kepada kadar minimum RM2,000 dengan jarak sekurang-kurangnya 30 hari antara pengeluaran ataupun pengeluaran bayaran bulanan. Anda boleh menentukan sendiri jumlah keseluruhan bayaran bulanan, amaun bayaran sebulan tidak kurang daripada RM250 dalam tempoh minimum 12 bulan.

Bagaimanakah saya boleh memohon pengeluaran ini?

Mulai April 2011, pemegang MyKad tidak perlu mengisi borang KWSP 9B (AHL). Ahli hanya perlu mengemukakan salinan asal MyKad, buku atau penyata akaun bank yang aktif.

Anda boleh memohon pengeluaran Umur 55 tahun dalam masa enam bulan sebelum tarikh hari lahir anda yang ke-55. Namun begitu, bayaran hanya akan diproses setelah anda genap mencapai umur 55 tahun.

Bagaimanakan bayaran akan dibuat?

KWSP akan membuat bayaran terus ke dalam akaun simpanan peribadi bank anda pada setiap bulan mengikut jumlah dan bilangan bulan yang dipohon.

Untuk pertanyaan lanjut mengenai cara membuat pengeluaran fleksibel Umur 55 Tahun, sila hubungi pejabat KWSP yang terdekat atau layari www.kwsp.gov.my.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 22/Februari 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button