Pelan Pelaburan

Bagaimana Memilih Saham Yang Menguntungkan?

Satu-satunya sebab anda melabur dalam pasaran saham adalah untuk mendapat pulangan yang lumayan. Walau bagaimanapun, jika anda perhatikan lebih daripada 1,000 kaunter yang terdapat di Bursa Malaysia, tugas memilih kaunter yang sesuai bukanlah mudah. Anda mungkin sudah mendapatkan nasihat mengenai cara-cara melabur dan memilih saham dengan bijak, tetapi perlu diingat bahawa walau apapun nasihat yang diperoleh, nasihat-nasihat tersebut tidak boleh menjamin pulangan yang baik.

Apa yang boleh disenaraikan di sini hanyalah beberapa ciri-ciri penting yang perlu diberi perhatian dalam memilih saham syarikat yang berpotensi. Maka, anda perlu melengkapkan diri dengan maklumat-maklumat kewangan yang relevan sebelum menganalisis asas syarikat-syarikat tersebut.

Memahami Perniagaan Sesebuah Syarikat

Salah satu faktor yang mempengaruh kejayaan sesuatu pelaburan ialah keupayaan untuk memahami perniagaan syarikat itu. Oleh itu, sebelum melihat aspek pengiraan dan sebagainya, anda perlu melihat dan memerhatikan produk-produk dan perkhidmatan yang anda gunakan setiap hari atau yang anda lihat dalam surat khabar atau mana-mana sumber maklumat yang lain. Syarikat manakah yang mengeluarkan produk atau perkhidmatan yang paling anda suka? Apakah produk-produk yang memudahkan kehidupan orang ramai dan mempunyai nilai tambah berbanding produk yang lain?

Syarikat-syarikat yang menjadi jawapan kepada persoalan di atas mempunyai peluang cerah untuk berjaya. Jika orang lain masih belum perasan mengenai syarikat tersebut, maka anda mempunyai peluang yang tinggi untuk mengaut keuntungan apabila membeli sahamnya.

Pastikan anda membuat kajian-kajian lain sebelum melabur dalam syarikat tersebut. Matlamat utama di sini ialah anda perlu sentiasa mencari syarikat atau industri yang anda biasa dengannya ataupun mudah untuk difahami. Jika sukar bagi anda menerangkan perniagaan syarikat itu, maka elakkan daripada melabur dalam syarikat yang terbabit.

Menganalisis Sesebuah Syarikat

Sekiranya anda mampu memahami apa yang telah diperkatakan tadi, anda kini sudah bersedia untuk beralih kepada perkara yang dipanggil analisis fundamental. Terdapat beberapa petunjuk dalam kewangan sesebuah syarikat yang mampu memberikan anda gambaran tentang prestasi syarikat tersebut.

a) Nisbah Harga Perolehan

Sebagai permulaan, maklumat yang perlu diperhatikan ialah nisbah harga perolehan sesebuah syarikat. Syarikat yang mempunyai nisbah harga perolehan yang lebih rendah berbanding dengan pasaran keseluruhan ataupun purata industrinya menggambarkan bahawa saham syarikat tersebut masih terkurang nilai.

Oleh itu, sekiranya purata industri pada tahap 15x nisbah harga perolehan, anda boleh mengabaikan syarikat-syarikat yang nisbah harga perolehan mereka melebihi 15. Hal ini disebabkan harga saham syarikat-syarikat tersebut sudahpun berada pada tahap yang sama ataupun lebih tinggi daripada nilai pasaran dan boleh dikatakan mahal.

b) Permodalan Pasaran

Faktor-faktor yang seterusnya ialah permodalan pasaran, rekod prestasi jualan dan perolehan serta kadar hasil dividen saham tersebut. Tentukan sama ada anda ingin melabur dalam syarikat bermodal besar atau kecil. Lazimnya, syarikat-syarikat besar dikatakan lebih berkemampuan untuk mengatasi saingan sengit dan dapat menikmati ekonomi ikut bidangan (economies of scale). Syarikat-syarikat kecil pula mempunyai kelebihan yang tidak dimiliki syarikat-syarikat besar, contohnya mereka boleh menyesuaikan diri dengan perubahan dalam pasaran dan mempunyai kos tidak langsung (overhead) yang lebih rendah.

c) Rekod Prestasi

Anda juga perlu merujuk kepada rekod prestasi syarikat yang konsisten. Sekiranya sesebuah syarikat itu mampu menjana tahap jualan dan perolehan yang baik serta mengalami peningkatan dalam bahagian pasaran, kecuali untuk satu atau dua suku yang disebabkan oleh keadaan keseluruhan pasaran, maka syarikat tersebut boleh dikatakan sebagai syarikat yang baik dan berpotensi.

d) Dividen

Selain daripada faktor-faktor di atas, anda juga perlu merujuk kepada kadar bayaran dividen sekiranya anda berminat dalam saham pendapatan. Pastikan kadar hasil dividen melebihi tahap inflasi untuk mengelakkan daripada perlunya naik nilai harga yang lebih tinggi untuk memastikan wang yang telah dilaburkan dalam saham-saham anda terus meningkat dari segi nilai sebenar.

e) Pihak Pengurusan

Faktor yang terakhir untuk dipertimbang ialah pihak pengurusan sesuatu syarikat. Pastikan anda membaca seksyen analisis pihak pengurusan dalam laporan tahunan syarikat untuk memahami bagaimana syarikat terbabit diuruskan, apa yang dianggap sebagai risiko, dan langkah-langkah yang diambil untuk mencegah risiko-risiko tersebut. Pihak pengurusan yang baik akan sentiasa menjadikan nilai pemegang saham yang maksimum sebagai matlamat utama dan akan menunjukkan sikap yang penuh integriti dalam menguruskan syarikat. Syarikat yang diuruskan oleh pengurusan yang berkualiti tinggi akan mempamerkan prestasi yang baik, walaupun dalam suasana perniagaan yang amat sukar.

Dengan mengambil kira faktor yang telah dibincangkan, senarai syarikat untuk anda pilih telah menjadi lebih sedikit. Dengarlah suara hati anda dalam memilih syarikat yang anda rasakan mempunyai potensi untuk maju. Selamat berjaya!

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 61/Mei 2015

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button