Pelan PerlindunganPenggunaPerancangan Kewangan

Bagaimana Anda Menginsuranskan Pinjaman Rumah: MRTA atau MLTA?

Terdapat pelbagai pelan insurans yang ditawarkan di pasaran pada hari ini. Anda boleh menginsuranskan pelbagai perkara dari aset fizikal seperti kereta sehingga organ seperti pankreas. Terbaru, anda juga boleh menginsuranskan kucing kesayangan anda. Namun begitu, perkara yang menjadi kebiasaan adalah insurans gadai janji, yang lebih dikenali sebagai insurans pinjaman rumah.

Apakah tujuan anda menginsuranskan pinjaman rumah? Biasanya insurans tersebut akan membayar pinjaman sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal kepada pembeli rumah. Syarikat insurans tidak mempertimbang tuntutan insurans sekiranya anda mengguna alasan hidup anda tidak bernasib baik, diberhentikan kerja atau malas bekerja.

Insurans ini bertujuan untuk melindungi keluarga anda daripada mengalami masalah rumah yang ditarik balik oleh pihak pemberi kredit apabila anda meninggal dunia. Terdapat dua jenis insurans gadai janji, iaitu Insurans Bertempoh Gadai Janji Berkurangan (Mortgage Reducing Term Assurance, MRTA) dan Insurans Bertempoh Gadai Janji Bertahap (Mortgage Level Term Assurance, MLTA).

MRTA vs MLTA

Bagi memulakan perbincangan tentang kedua-dua jenis insurans ini, kami menyediakan carta yang mudah bagi menunjukkan perbezaan di antara kedua-dua jenis insurans tersebut. Walaupun tujuan insurans tersebut adalah sama, namun anda akan dapat melihat perbezaannya.

*Ia merupakan cadangan, anda harus memilih mana-mana insurans yang bersesuaian dengan keperluan anda. Insurans yang dipilih sepatutnya membuatkan anda berasa selesa sekiranya berlaku sebarang musibah atau bencana.

Adakah saya memerlukan insurans gadai janji?

Untuk menjawab soalan ini pasti rumit. Adakah anda memerlukan insurans hayat? Adakah anda memerlukan insurans kemalangan diri? Ramai yang tidak mengendahkan perkara ini, cuma apabila berlaku kejadian seperti hilang upaya kekal atau kematian, maka barulah mereka benar-benar melihat kepentingan mempunyai insurans gadai janji. Apabila anda meninggal, orang yang disayangi perlu meneruskan bayaran pinjaman atau jika keadaan mendesak, terpaksa menjual rumah untuk membayar balik pinjaman. Penyelesaian terbaik adalah membayar pinjaman perumahan tersebut sepenuhnya sebelum meninggal.

Namun begitu, realiti sebenarnya kehidupan tidak seperti yang dirancangkan. Tiada siapa yang tahu apa akan berlaku esok? Insurans adalah bertujuan untuk melindungi anda apabila berlaku sesuatu bencana/musibah. Oleh itu, adalah penting untuk mempunyai perlindungan insurans sebagai jaminan masa depan.

Ejen hartanah sudah tentu akan menggalakkan anda untuk mengambil insurans. Kadangkala, dasar mereka hanya memastikan agar mendapat bayaran tanpa mengambil kira apa yang akan berlaku kepada anda. Namun, apabila diperkenal tentang kelebihan polisi insurans, dan gesaan yang mungkin membuat anda berasa bersalah jika tidak meninggalkan orang yang tersayang dalam keadaan tenang dan selesa, perlu diingat bahawa keputusan mutlak mengenai pembelian insurans adalah terletak di tangan anda.

Adakah perlu membeli insurans gadai janji sebaik sahaja membeli rumah saya?

Jawapan mudahnya ialah tidak perlu. Ejen insurans dan bank boleh menjual polisi insurans secara berasingan sekiranya anda tidak membelinya dalam masa yang sama anda membeli rumah. Tetapi harus diingat, apabila anda mengasingkan pembelian insurans gadai janji:-

  • Anda perlu membayar MRTA secara premium tunggal – adakah anda mampu membayar jumlah tersebut? Kebanyakan pengguna mengambil MRTA ketika membuat permohonan pinjaman perumahan dan premium insurans dimasukkan ke dalam pinjaman untuk membantu anda membayarnya secara bulanan. Sehubungan itu, anda perlu mempunyai wang yang mencukupi di tangan untuk membayar premium insurans tersebut, sekiranya anda memilih untuk membeli insurans secara berasingan.
  • Adakah tidak mempunyai sebarang insurans gadai janji membuatkan anda berasa lemah semangat? Sesetengah individu suka memiliki insurans dan jika tidak mempunyai polisi insurans walaupun dalam tempoh yang singkat, boleh menyebabkan mereka berasa gelisah. Jika anda jenis orang seperti ini, bolehkah anda hanya memiliki pinjaman perumahan, tetapi tidak memiliki insurans gadai janji?

Sekiranya anda telah membuat keputusan, berikut adalah soalan seterusnya – yang mana satukah pilihan anda?

Yang mana lebih baik?

Terdapat dua perbezaan penting di antara MRTA dan MLTA yang perlu diberi perhatian. Pertama, MRTA akan membayar berdasarkan jumlah yang masih terhutang kepada bank dan MLTA akan membayar jumlah sebenar yang dipersetujui dalam polisi tidak kira berapa banyak jumlah yang anda berhutang (biasanya ia lebih tinggi daripada jumlah yang terhutang dan berdasarkan nilai atau harga belian harta tersebut). Perbezaan kedua adalah MRTA hanya memerlukan pembayaran premium secara tunggal manakala MLTA merupakan bayaran berulang secara tahunan.

Dua perkara lagi yang boleh anda pertimbangkan: MLTA baik kerana anda bukan sahaja akan menerima jumlah yang anda perlu bayar balik kepada bank tetapi anda akan menerima jumlah tambahan sebagai nilai tunai. Namun, premium MLTA adalah bayaran secara berulang-ulang menyebabkan anda akan membayar jumlah premium yang lebih tinggi berbanding MRTA. Apabila mengambil kira jumlah pembayaran yang lebih tinggi, adakah jumlah ini memberi nilai kepada wang anda?

Sebaliknya, MRTA baik sekiranya anda hanya mahu melindungi pinjaman perumahan anda. Walaupun nilai insurans gadai janji sangat minimum, namun ia tetap memberi anda perlindungan. MRTA merupakan pembayaran secara premium tunggal dan ia sangat mudah jika anda tidak mempunyai aliran wang tunai yang mencukupi untuk terus membayar premium setiap tahun.

Anda perlu ingat bahawa MRTA tidak boleh dipindah milik – bermakna insurans anda terikat kepada rumah anda di sepanjang tempoh pembiayaan. Sekiranya anda memilih untuk menjual rumah tersebut, anda tidak boleh membawa polisi tersebut untuk melindungi harta seterusnya. Sebaliknya, MLTA membenarkan anda berbuat demikian, kerana polisi tersebut akan mengikut anda (sekiranya anda mahu).

Dalam hal ini, yang mana satu pilihan terbaik adalah terletak di tangan anda. Sekiranya anda mahukan polisi secara minimum dan hanya untuk melindungi rumah anda, MRTA adalah pilihan anda. Tetapi sekiranya anda inginkan sesuatu yang lebih, MLTA akan menjadi pilihan yang lebih baik.

Akhirnya, setiap polisi mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Anda tidak boleh menyatakan yang mana satukah lebih baik. Seperti kebiasaan, setelah memberikan anda maklumat mengenai ciri-ciri dan kelebihan sesuatu produk, pilihan terbaik tetap di tangan anda.

Sumber : Michelle Brohier/Ringgitplus.com/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 51/Julai 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button