Pengguna

Apakah Tindakan Anda Apabila Ditipu?

Apa yang berlaku jika anda mendapati barang yang anda beli mengalami kerosakan dan pihak pekedai enggan melayan aduan anda? Adakah anda mempunyai hak? Sebagai pengguna, sudah tentu anda mempunyai hak. Namun anda perlu mengetahui bagaimana anda boleh mengambil tindakan dan menjadi pengguna yang bijak!

Apabila anda membeli sesuatu barangan atau perkhidmatan untuk kegunaan peribadi, pembelian anda adalah dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Oleh itu, sekiranya pihak pekedai enggan melayan aduan anda tentang barang yang rosak, maka anda perlu membuat aduan. Anda boleh membuat aduan kepada persatuan pengguna atau Pusat Pengurusan Aduan Pengguna, yang dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Anda perlu menggunakan hak anda sebagai pengguna / pembeli untuk melindungi diri anda daripada peniaga yang tidak beretika. Oleh itu, anda perlu mengetahui cara dan saluran untuk membuat aduan.

Berikut adalah antara beberapa kes yang anda perlu membuat aduan :

    • Anda dikenakan sesuatu bayaran yang tidak dinyatakan sebelum ini, yang diistilahkan sebagai ‘caj tersembunyi’. Anda sewajarnya dimaklumkan terlebih dahulu berapa banyak yang anda perlu bayar.
    • Barang yang anda beli berkualiti rendah. Sekiranya barang tersebut rosak selepas anda meninggalkan kedai atau tidak menepati jaminan keselamatan yang ditetapkan, ia tidak selamat digunakan.
    • Barang yang harganya terlalu tinggi. Jika anda merasakan harga barang keperluan meningkat secara mendadak (melebihi 30%).
    • Iklan yang mengelirukan. Anda membeli sesuatu barang yang tidak sama seperti yang diiklankan.
    • Produk tiruan. Jika anda mendapati barang yang dibeli adalah barang tiruan. Namun pekedai enggan menggantikan dengan barang yang tulen atau memulangkan semula wang.
    • Anda tidak berpuas hati dengan barang yang anda beli dan anda membuat aduan kepada pekedai. Tetapi pekedai enggan melayani aduan anda.
    • Pekedai meletakkan tanda harga yang mengelirukan, iaitu harga di rak berbeza dengan harga di kaunter bayaran.

Saluran Lain untuk Membuat Aduan

    1. Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM). Anda boleh memfailkan kes tuntutan anda di TTPM, yang mengendalikan kes sehingga RM25,000. Untuk membuat aduan, anda boleh pergi ke pejabat TTPM, atau melalui eTribunal di laman sesawang, https://ttpm.kpdnkk.gov.my.
    2. Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC). NCCC akan membantu anda untuk menyalurkan aduan kepada pihak yang berkaitan. Anda boleh menghubungi NCCC di nccc.org.my
    3. Prosedur Tuntutan Kecil. Jika tuntutan anda tidak melebihi RM5,000, anda juga boleh memfailkan kes di Prosedur Tuntutan Kecil di Mahkamah Majistret.

Langkah-langkah untuk Memenuhi Aduan Pengguna

Apa yang perlu dilakukan sebelum membuat aduan rasmi ;

    • Anda cuba untuk menyelesaikan masalah dengan pihak pekedai terlebih dahulu. Sekiranya anda tidak berpuas hati, barulah anda membuat aduan kepada pihak-pihak yang berkenaan.
    • Pastikan anda menyimpan semua dokumen dan bukti yang berkaitan dengan aduan anda, seperti invois, resit, surat-menyurat, e-mel dan sebagainya.
    • Anda hendaklah menyerahkan aduan anda pada masa yang bersesuaian dan membuat susulan terhadap aduan tersebut
    • Jika pihak pekedai bertindak melampaui batas atau membuat ugutan, jangan berurusan terus dengan mereka. Sebaliknya anda perlu membuat laporan polis.

Sumber: Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 91/November 2017

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button