Pelan PerlindunganPenggunaPerancangan Kewangan

Apakah Itu Insurans Deposit?

Insurans deposit ialah sistem yang dilaksanakan oleh Kerajaan bagi melindungi penyimpan daripada kehilangan wang deposit yang disimpan di bank ahli sekiranya sesebuah bank mengalami kegagalan. Di Malaysia, sistem insurans deposit berkuat kuasa pada September 2005 dan ditadbir oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM). Semua bank perdagangan berlesen dan bank-bank Islam berlesen merupakan bank-bank ahli PIDM.

Sebagai komponen penting jaringan keselamatan kewangan yang efektif, sistem insurans deposit memantapkan perlindungan pengguna dengan menyediakan perlindungan eksplisit kepada para penyimpan. Sekiranya berlaku kegagalan bank ahli, anda tidak perlu membuat sebarang tuntutan. PIDM akan membuat pengumuman mengenai pembayaran balik wang deposit yang dilindungi berdasarkan rekod daripada bank ahli.

Manfaat kepada penyimpan

  • PIDM melindungi wang deposit bank anda dan akan membayar balik dengan segera deposit yang dilindungi sekiranya berlaku kegagalan bank ahli.
  • Perlindungan ini disediakan oleh PIDM secara automatik dan tidak memerlukan sebarang permohonan.
  • Para penyimpan tidak dikenakan bayaran bagi perlindungan ini.

PIDM menyumbang kepada kestabilan system kewangan dengan melaksanakan intervensi dan resolusi kegagalan terhadap bank ahli yang mengalami kegagalan dan membuat pembayaran balik dengan segera wang deposit yang dilindungi kepada penyimpan.

Insurans deposit diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai sebuah bentuk perlindungan pengguna yang penting dan telah dilaksanakan di lebih daripada 100 buah negara di seluruh dunia.

Perlindungan

Semua jenis penyimpan, sama ada individu atau entiti perniagaan, dilindungi. Had perlindungan maksimum ialah RM250,000 bagi setiap penyimpan di setiap bank ahli. Had RM250,000 ini termasuk amaun principal deposit dan juga faedah / pulangan. Di bawah had RM250,000, 99% penyimpan dilindungi sepenuhnya. Sistem insurans deposit di Malaysia menyediakan perlindungan berasingan bagi deposit konvensional dan Islam.

Deposit layak untuk mendapat perlindungan

  • Akaun semasa dan akaun simpanan
  • Deposit tetap
  • Akaun bersama dan akaun amanah
  • Deposit mata wang asing

Deposit yang TIDAK layak untuk mendapat perlindungan

  • Deposit yang tidak boleh dibayar di Malaysia
  • Deposit pasaran wang
  • Instrumen deposit boleh niaga dan deposit pembawa lain
  • Perjanjian pembelian semula
  • Unit amanah

Bank ahli sepatutnya memaklumkan kepada penyimpan sama ada sesuatu produk deposit layak atau tidak layak mendapat perlindungan insurans deposit sebelum anda menyimpan wang di bank tersebut. Semua produk deposit yang layak mendapat perlindungan insurans deposit disenaraikan dalam satu daftar senarai yang boleh didapati di bank ahli.

Keperluan ini adalah sejajar dengan Peraturan Peruntukan Maklumat Insurans Deposit 2011 bagi memastikan bank-bank ahli menyediakan maklumat yang tepat, relevan dan terkini mengenai perlindungan insurans deposit dan skop perlindungan.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perlindungan insurans deposit, sila hubungi talian maklumat bebas tol PIDM 1-800-88-1266 atau layari laman web PIDM di www.pidm.gov.my.

Sumber : PIDM/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 14/Jun 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button