Pengurusan Hutang

Apakah Akibat Sekiranya Tidak membayar Hutang?

Kegagalan membayar ansuran pinjaman atau hutang boleh membawa padah. Apabila anda gagal menjelaskan sesuatu pinjaman, institusi kewangan akan mengambil tindakan mahkamah terhadap anda.

Sekiranya pinjaman itu adalah pinjaman kenderaan, institusi kewangan akan menarik balik dan menjualkan kereta tersebut. Jika pinjaman perumahan pula, institusi kewangan akan merampas rumah tersebut dan melelongnya. Seandainya hasil lelongan tidak mencukupi untuk menjelaskan hutang sepenuhnya, institusi kewangan akan mengambil tindakan terhadap anda (dan / atau penjamin, jika ada) untuk menuntut baki hutang.

Bagi pinjaman tanpa cagaran, institusi kewangan mempunyai beberapa pilihan untuk melaksanakan penghakiman yang diperoleh untuk mendapatkan semula hutang mereka. Antara pilihan tersebut ialah perintah rasmi rampasan dan jualan, saman prosiding ‘garnishee’, saman penghutang penghakiman dan petisyen kebankrapan ke atas peminjam (dan / atau penjamin, jika ada). Pada masa ini, petisyen kebankrapan hanya boleh dimulakan sekiranya jumlah hutang terkumpul telah mencecah RM30,000 ke atas.

Sekiranya anda telah diisytiharkan bankrap, terdapat beberapa sekatan dari segi undang-undang yang akan dikenakan. Pada umumnya, anda tidak boleh melakukan perkara berikut:-

  • Memegang apa-apa jawatan awam tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia (KPJIM).
  • Meneruskan sebarang tindakan mahkamah tanpa izin KPJIM.
  • Meninggalkan negara tanpa mendapat perintah mahkamah atau kebenaran KPJIM.
  • Menjadi pengarah syarikat atau menjalankan perniagaan atau terlibat dalam pengurusan syarikat tanpa kebenaran mahkamah atau KPJIM.
  • Melibatkan diri dalam pengurusan syarikat atau menjadi pekerja di syarikat yang dimiliki oleh pasangan atau saudara terdekat dan pasangan mereka.
  • Menjadi ahli jawatankuasa mana-mana badan yang berdaftar.
  • Tidak boleh membuat sebarang pinjaman melebihi RM1,000 tanpa memaklumkan kepada pemiutang tentang status kebankrapan.

Jika anda gagal membuat bayaran ke atas pinjaman, dapatkan nasihat segera. Jangan tunggu sehingga masalah berlarutan dan tidak terkawal. Lebih cepat anda mendapatkan bantuan, semakin mudah anda dapat menyelesaikan masalah anda.

Sumber: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button