Pengurusan HutangPengurusan Kewangan

Apa Yang Menyebabkan Hutang Berlebihan?

Anda dikatakan telah berhutang secara berlebihan jika beban hutang terlaluberat untuk ditanggung. Dalam keadaan ini, mungkin pendapatan anda tidak mencukupi untuk membayar hutang. Anda terpaksa menggunakan tabungandan pelaburan untuk membayar hutang tersebut.

Tamak

Salah satu punca utama yang menyebabkan keadaan hutang berlebihan adalah sifat tamak. Ada orang yang terlalu tamak sehingga mudah terpengaruh dengan skim cepat kaya dan berkesudahan dengan kerugian besar. Lebih teruk lagi, ada pula yang sanggup menggunakan pinjaman, iaitu berhutang dengan bank atau rakan untuk melabur dalam skim penipuan dan terperangkap dalam belenggu hutang yang lebih besar.

Gaya hidup

Ada orang yang hidup mewah dengan membeli barangan mahal padahal mereka tidak mampu. Mereka merasakan bahawa gaya hidup mewah ini penting bagi mengekalkan imej atau status mereka mengikut tanggapan orang lain.

Keadaan tidak diduga

Tidak kurang juga yang terpaksa berhutang disebabkan oleh keadaan yang tidak dapat dielakkan. Mungkin anda telah mengambil langkah sewajarnya untuk meminjam mengikut had kemampuan, tetapi keupayaan membayar balik hutang boleh terjejas jika berlaku sesuatu keadaan yang diluar kawalan anda. Keadaan ini seperti kehilangan pekerjaan, hilang upaya, menghidap penyakit kritikal, kemalangan atau kecemasan yang lain.

Beberapa tanda masalah kewangan

  • Kad kredit
  • Membayar baki minimum sahaja setiap bulan.
  • Baki tertunggak meningkat setiap bulan
  • Menggunakan kad pada had maksimum.
  • Kerap mengambil pendahuluan wang tunai.
  • Tidak membayar atau lewat membuat bayaran.
  • Kad kredit dibatalkan oleh pihak bank.

Pinjaman

  • Kerap kali menggunakan overdraf atau kemudahan pinjaman automatik daripada akaun semasa.
  • Menerima notis bayaran daripada pemiutang kerana tidak membayar hutang.
  • Gagal mendapat pinjaman kerana laporan kredit tidak memuaskan.
  • Meminjam wang daripada keluarga atau kawan untuk membayar hutang.
  • Kerap kali dihubungi oleh pihak pemungut hutang.

Simpanan

  • Menggunakan simpanan pada kadar yang membimbangkan.
  • Mempunyai sedikit ataupun tiada langsung simpanan untuk menangani perbelanjaan kecemasan. Perbelanjaan
  • Hidup semata-mata bergantung pada pendapatan bulanan.
  • Bergantung kepada kerja sampingan, kerja lebih masa, komisen atau bonus untuk membiayai sara hidup.
  • Tidak mengetahui berapa banyak hutang sehinggalah penyata diterima.
  • Kerap kali bertengkar dengan pasangan mengenai wang.

Apakah akibat tidak membayar hutang dengan bank?

Apabila anda gagal menjelaskan sesuatu pinjaman, institusi kewangan akan mengambil tindakan mahkamah terhadap anda.

Sekiranya pinjaman itu adalah pinjaman kereta, institusi kewangan akan menarik balik dan menjualkan kereta tersebut. Jika ia merupakan pinjaman perumahan pula, institusi kewangan akan merampas rumah dan melelongnya. Seandainya hasil lelongan tidak mencukupi untuk menjelaskan hutang sepenuhnya, maka institusi kewangan akan mengambil tindakan undang-undang seperti kebankrapan terhadap anda (dan/atau penjamin, jika ada, untuk menuntut baki hutang).

Bagi pinjaman tanpa cagaran, institusi kewangan mempunyai beberapa pilihan untuk melaksanakan penghakiman yang diperoleh untuk mendapatkan semula hutang mereka. Ini termasuk perintah rasmi rampasan dan jualan, saman prosiding “garnishee”, saman penghutang penghakiman dan petisyen kebankrapan ke atas peminjam (dan/atau penjamin, jika ada). Pada masa ini, petisyen kebankrapan hanya boleh dimulakan sekiranya jumlah hutang terkumpul mencecah RM30,000 ke atas.

Sekiranya anda telah diisytiharkan bankrap, terdapat banyak sekatan dari segi undang-undang yang akan dikenakan. Pada umumnya anda tidak boleh melakukan perkara berikut:

  • Memegang apa-apa jawatan awam tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia (KPJIM).
  • Meneruskan sebarang tindakan mahkamah tanpa izin KPJIM.
  • Meninggalkan negara tanpa perintah mahkamah atau kebenaran KPJIM.
  • Menjadi pengarah syarikat atau menjalankan perniagaan atau terlibat dalam pengurusan syarikat tanpa kebenaran mahkamah atau KPJIM.
  • Melibatkan diri dalam pengurusan syarikat atau menjadi pekerja di syarikat yang dimiliki oleh pasangan atau saudara terdekat dan pasangan mereka.
  • Menjadi ahli jawatankuasa mana-mana badan yang berdaftar.
  • Tidak boleh membuat sebarang pinjaman melebihi RM1,000 tanpa memaklumkan kepada pemiutang tentang status kebankrapan.

Jika anda gagal membuat bayaran ke atas pinjaman, dapatkan nasihat dengan segera. Jangan tunggu sehingga masalah berlarutan dan tidak terkawal. Lebih cepat anda mendapatkan bantuan, semakin mudahlah untuk menyelesaikan masalah anda.

Sumber : AKPK/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 32/Disember 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button