Pelan Perlindungan

Apa Yang Harus Dilakukan Selepas Kemalangan Jalan Raya?

Pada tahun 2016, Kementerian Pengangkutan Malaysia mencatat sebanyak 521,466 jumlah kemalangan jalan raya. Manakala jumlah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut ialah 960,569 buah.

Namun begitu, masih ramai pengguna yang terlibat dalam kemalangan tidak tahu apa yang perlu mereka lakukan selepas kejadian itu. Hal ini menyebabkan ramai yang terpedaya dengan ejen-ejen trak tunda dan bengkel kereta. Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) menerima banyak aduan berkenaan penipuan yang dilakukan oleh pihak-pihak berkenaan yang sering berkeliaran di tempat kemalangan, hospital dan juga di balai polis untuk mengaut keuntungan daripada mangsa kemalangan.

NCCC ingin memberi beberapa panduan untuk mengelakkan diri daripada mereka yang ingin mengambil kesempatan ke atas mangsa kemalangan, dan tindakan yang harus dilakukan selepas kemalangan.

Di tempat kemalangan:

  1. Tenangkan diri dan hentikan kenderaan anda
    • Walaupun ia adalah satu kemalangan yang kecil, anda mesti memberhentikan kenderaan anda. Kegagalan anda berbuat sedemikian merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. Anda harus bertenang dan jangan bertindak di luar batas undang-undang. Pastikan anda memeriksa diri anda dan penumpang anda sekiranya mempunyai sebarang kecederaan.
    • Jika boleh, pandu kereta ke bahagian tepi jalan untuk mengelakkan kesesakan akibat kemalangan tersebut, jika kereta anda masih boleh bergerak.
  2. Hubungi pihak polis
    • Ini merupakan keperluan undang-undang untuk membuat tuntutan insurans. Selain itu, ia juga sebagai rekod rasmi kemalangan itu sendiri.
  3. Hubungi ambulans jika ada sebarang kecederaan.
  4. Ambil gambar
    • Ambil beberapa gambar tempat kemalangan serta kenderaan yang terlibat. Begitu juga gambar kecederaan anda selepas kemalangan.
  5. Kumpul maklumat
    • Semua pemandu yang terlibat perlu bertukar nama, alamat, nombor telefon, nombor pendaftaran kenderaan (tahun, model dan warna) dan butir-butir syarikat insurans.

Anda mungkin akan didekati oleh individu-individu tertentu untuk memberi perkhidmatan trak tunda, membaiki kereta anda di bengkel tertentu atau memberi perkhidmatan insurans. Dalam apa jua keadaan, anda perlu menolak tawaran individu tersebut. Hal ini disebabkan kenderaan anda mempunyai polisi insurans sendiri. Anda perlu mendapat maklumat daripada syarikat insurans anda terlebih dahulu tentang perkara seperti:

  • Sama ada syarikat insurans anda menawarkan perkhidmatan trak tunda secara percuma.
  • Jika tidak, buatlah perbandingan harga trak tunda yang ditawarkan oleh syarikat insurans anda dengan individu yang menawarkan perkhidmatan yang sama.
  • Bengkel yang tersenarai adalah panel bengkel insurans anda supaya proses menuntut perlindungan insurans berjalan dengan lancar. Jika anda mempunyai bengkel kenalan atau bengkel yang sering anda kunjungi, berbincang dengan pihak syarikat insurans anda supaya anda boleh menghantar kereta anda ke bengkel tersebut.

Paling penting, anda perlu membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam dari waktu kemalangan di balai polis terdekat. Dalam laporan anda, anda mesti menerangkan tempat berlaku kemalangan dan bagaimana kemalangan itu berlaku.

Seringkali juga terdapat individu-individu yang berkeliaran di balai polis untuk menawar perkhidmatan membaiki kereta anda. Jangan mudah terpengaruh dengan tawaran mereka. Sila semak dengan pihak syarikat insurans terlebih dahulu dan jangan benarkan sesiapa menunda kereta anda.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 102/Oktober 2018

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button