PenggunaPengurusan Kewangan

Apa Yang Diambil Kira Oleh Institusi Kewangan Semasa Pemohonan Pinjaman?

Apabila anda memohon kad kredit, pinjaman peribadi atau pinjaman-pinjaman lain, institusi kewangan akanmenilai sama ada anda mempunyai risiko kredit yang baik ataupun tidak. Sewaktu membuat penilaian risiko kredit, institusi kewangan tersebut akan mengambil kira keupayaan peminjam untuk memenuhi kewajipan pembayaran balik. Penilaian risiko juga akan menentukan kadar faedah dan kos-kos lain untuk pinjaman tersebut.

Keupayaan untuk mendapatkan kelulusan pinjaman biasanya bergantung kepada faktor asas seperti berikut:-

3 faktor asas

  • Tujuan pinjaman

Pemberi pinjaman ingin mengetahui apa tujuan sebenar suatu pinjaman bagi menilai risiko yang terlibat. Jenis pinjaman akan dipadankan dengan tujuan pinjaman. Jika anda membeli rumah, maka pinjaman perumahan akan ditawarkan. Pinjaman sewa beli akan diberikan untuk pembelian kereta. Jika tujuan pinjaman adalah untuk sesuatu yang tidak produktif atau berunsur spekulasi, mungkin anda akan ditawarkan pinjaman peribadi atau overdraf. Tujuan pinjaman serta jenis pinjaman, sama ada bercagar ataupun tidak,akan menentukan kadar faedah dan tempoh pinjaman anda.

  • Keupayaan membayar balik

Keupayaan anda untuk membayar balik pinjaman adalah penting. Institusi kewangan akan menilai sama ada anda mempunyai sumber kewangan untuk menanggung komitmen kewangan yang baru. Mereka juga akan memastikan anda mempunyai pendapatan yang stabil atau pekerjaan tetap. Kedudukan aliran tunai anda akan dinilai dengan terperinci. Petunjuk utama bagi menilai keupayaan pembayaran anda adalah dengan mengetahui nisbah hutang kepada pendapatan anda.

  • Sejarah pembayaran

Rekod pembayaran hutang terdahulu atau semasa akan dinilai untuk mengetahui perilaku anda sebagai seorang pembayar. Jika anda mempunyai rekod yang tidak memuaskan, maka peluang untuk mendapat pinjaman baru mungkin tipis.

Sumber : AKPK/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 39/Julai 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button