Pelan Perlindungan

Apa Yang Boleh Membatalkan Jaminan Kereta Anda?

Jaminan ialah satu kontrak antara anda dan syarikat pengeluar kereta. Lazimnya, syarikat akan menyelesaikan apa-apa pembaikan yang berkenaan, dengan syarat anda menjaga kenderaan dengan baik seperti yang tertera dalam jaminan. Namun, jaminan boleh terbatal sekiranya anda tidak mematuhi syarat-syarat yang terkandung dalam kontrak.

Oleh itu, anda perlu mengetahui apakah keadaan yang boleh membatalkan jaminan kereta anda. Anda juga perlu memastikan semua rekod yang berkaitan dengan servis kereta atau jaminan disimpan dengan teliti.

Kebanyakan pengguna percaya bahawa sebarang pengubahsuaian yang dilakukan akan membatalkan jaminan. Terdapat juga segelintir yang mengatakan ia tidak akan membatalkan keseluruhan jaminan kereta anda. Kedua-dua pandangan adalah betul, iaitu terdapat syarikat kereta yang akan membatalkan jaminan kereta anda dengan keseluruhannya dan ada yang tidak berbuat sedemikian. Contohnya, Syarikat A akan membatalkan semua jaminan bagi kereta A jika didapati menukar rim kereta. Manakala, Syarikat B hanya membatalkan jaminan kereta B pada bahagian-bahagian yang tertentu sahaja, seperti penyerap hentak, sistem brek dan bahagian-bahagian lain yang menyebabkan kerosakan tersebut.

Apa Yang Boleh Membatalkan Jaminan Kereta?

  • Penyalahgunaan kenderaan : Istilah ini boleh ditafsirkan dengan cara yang luas. Antaranya menggunakan kenderaan untuk kegiatan perlumbaan / sebarang pertandingan, muatan kenderaan berlebihan atau penggunaan kereta diluar jalan raya (off-roading). Biasanya, sebarang pengendalian luar biasa kenderaan boleh dianggap sebagai penyalahgunaan. Pengeluar kenderaan akan membatalkan keseluruhan jaminan kereta anda untuk pelanggaran ini. Walau bagaimanapun, keputusan ini biasanya atas budi bicara pentadbir jaminan (syarikat yang  mengeluarkan jaminan) kereta tersebut.
  • Bencana alam : Jika kenderaan anda rosak disebabkan oleh kebakaran, banjir, gempa bumi atau bencana alam sekitar yang lain, syarikat insurans yang mengeluarkan jaminan boleh membatalkan jaminan tersebut.
  • Pengabaian jadual penyelenggaraan : Jika anda gagal untuk menghantar kenderaan anda untuk diservis semasa penyelenggaraan yang dijadualkan, syarikat kereta itu tidak bertanggungjawab untuk membaiki apa-apa kerosakan terhadap enjin. Jika kereta anda masih dalam jaminan, elakkan perkara ini daripada berlaku.
  • Penggunaan minyak atau alat yang tidak serasi : Anda hendaklah sentiasa memastikan kereta anda menggunakan barang atau alat ganti yang betul (contoh: minyak enjin, minyak petrol, tayar dan lain-lain) seperti yang dinyatakan dalam manual kereta anda.
  • Mengubah suai bahagian-bahagian kenderaan selepas jualan : Ini merupakan bahagian penting yang pengguna masih samar mengenainya. Sebagai contoh, anda menukar rim kereta yang dijual dipasaran selepas dua minggu anda membeli kereta baharu. Sekiranya berlaku kegagalan terhadap sistem brek dan yang berkaitan dengannya, adakah jaminan anda terbatal sepenuhnya atau separuh daripadanya?

Oleh itu, anda perlu menyemak kandungan dalam jaminan kenderaan anda sebelum anda melakukan pengubahsuaian.

Bagaimana Untuk Elakkan Isu Jaminan Terbatal?

  • Baca terma dan syarat jaminan anda dengan teliti : Anda hendaklah sentiasa membaca cetakan kecil di dalam kontrak jaminan dan memahami had-had atau klausa pengecualiannya, yang sering disertakan bersama-sama dengan manual pemilik kereta. Cari di bahagian “Apakah yang Tidak Dilindungi” atau dalam Bahasa Inggeris dinyatakan sebagai “What is Not Covered”.
  • Selenggara kereta anda secara berkala : Demi menjaga jaminan, anda hendaklah mengikuti jadual penyelenggaraan yang disyorkan oleh pengeluar dan membuat sebarang penyelenggaraan di pusat servis yang sah sahaja.
  • Simpan semua rekod perkhidmatan dan resit : Ini merupakan satu tabiat yang baik untuk menyimpan rekod atau resit jika anda ingin menjual kenderaan anda, tetapi juga sebagai bukti bahawa anda menjaga kenderaan anda serta bukti penyelenggaraan yang dibuat pada kenderaan anda.

Jaminan adalah terbuka kepada tafsiran. Oleh itu, NCCC mencadangkan supaya anda berhati-hati apabila membeli kereta dan membuat sebarang pengubahsuaian. Jika anda ingin membuat pengubahsuaian kepada kenderaan anda, maka anda harus ingat bahawa pengeluar kereta boleh menjadi pengubahsuaian tersebut sebagai penyebab jika berlaku sebarang masalah. Dalam hal ini, anda terpaksa menanggung sendiri kerosakan itu kerana jaminan kereta anda tidak lagi sah.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 79/November 2016

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button