Pelan Perlindungan

Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Insurans Kenderaan

Apabila membeli kenderaan, kebiasaannya yang menjadi tumpuan adalah model terbaharu, warna yang menarik, ciri keselamatan dan sebagainya. Namun terlalu sedikit yang mengambil tahu tentang insurans kenderaan dan apa yang terkandung di dalam polisi insurans motor tersebut.

Konsep Insurans Motor

Insurans kenderaan berfungsi dengan dasar ‘use it or lose it’. Untuk memanfaatkannya, anda perlu membayar premium setiap tahun untuk melindungi kenderaan anda. Sehubungan itu, sekiranya berlaku sesuatu kemalangan, anda boleh membuat tuntutan insurans ke atas polisi insurans anda.

Tambahan pula, anda akan mendapat Diskaun Tanpa Tuntutan atau lebih dikenali sebagai ‘No Claim Discount’ (NCD). NCD adalah skim ‘ganjaran’ untuk anda sekiranya tiada tuntutan dibuat terhadap polisi anda dalam tempoh 12 bulan sebelum itu. Kadar NCD yang diberikan adalah berbeza mengikut kelas kenderaan yang berlainan. Bagi sebuah kenderaan persendirian, skala NCD antara 25% hingga 55%, untuk motosikal dan kenderaan komersial pula adalah 15% hingga 25% sebagaimana diperuntukkan dalam polisi. Itulah sebabnya kadangkala anda dinasihatkan supaya tidak membuat tuntutan bagi ganti rugi kecil kerana anda akan kehilangan NCD dan perlu membayar premium penuh apabila membuat pembaharuan insurans kenderaan.

Nilai polisi insurans anda adalah berdasarkan nilai yang diinsuranskan atau ‘Insured Declared Value’ (IDV) bagi kenderaan anda. Nilai ini merupakan jumlah maksimum yang diinsuranskan yang boleh dibayar oleh syarikat insurans jika terdapat tuntutan. IDV kenderaan anda adalah lebih kurang sama dengan nilai pasaran kenderaan anda. Oleh itu, apabila anda membeli insurans untuk kereta baru, IDV dikira berdasarkan harga yang disenaraikan di bilik pameran. Walau bagaimanapun, IDV kereta anda tidak tetap. Apabila anda memperbaharui polisi motor anda setiap tahun, IDV anda akan berkurangan kerana kadar susut nilai yang dikenakan ke atas kenderaan anda. Ambil perhatian bahawa aksesori tidak termasuk dalam harga yang disenaraikan dan dikira kadar susut nilai.

Anda tidak digalakkan untuk menginsuranskan kenderaan kurang daripada nilai pasaran sebenar. Namun begitu, anda boleh membayar premium yang lebih rendah dan boleh menuntut ganti rugi yang kurang. Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) menyarankan semua pengguna untuk meminta satu salinan polisi insurans kenderaan anda dari syarikat insurans kerana terdapat ejen insurans yang menetapkan nilai IDV yang rendah pada polisi anda tetapi mengenakan kadar nilai pasaran kepada pengguna.

Jenis Insurans Kenderaan dan Perlindungan

Langkah Berhati-hati

Sekiranya anda terlibat dalam kemalangan, jangan menghantar kenderaan tersebut ke bengkel yang tidak diperakui oleh syarikat insurans atau melalui ejen-ejen yang berkeliaran berhampiran kawasan kemalangan, balai polis atau hospital, yang bertujuan untuk mencari mangsa bagi mengaut keuntungan. Terdapat ejen penunda kenderaan yang mengenakan kadar bayaran yang sangat tinggi. NCCC mengesyorkan agar anda merujuk dengan syarikat insurans anda terlebih dahulu atau menghantar ke bengkel yang anda kenali, tetapi bengkel tersebut mestilah panel kepada syarikat insurans anda.

Anda juga perlu membuat kaji selidik sendiri sebelum membeli insurans untuk mengetahui pelbagai jenis insurans dan pelindungan yang ditawarkan oleh syarikat yang berbeza.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 89/September 2017

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button