Pengguna

Apa Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Pajak Gadai?

Ramai pengguna beranggapan bahawa pajak gadai merupakan cara yang mudah, selesa dan cepat untuk mendapatkan wang. Ia memang betul jika anda dapat menebus balik barangan yang digadai. Namun begitu, anda perlu berhati-hati agar tidak ditipu oleh pekedai pajak gadai yang tidak jujur.

Definisi:

a) Pemegang Pajak Gadai

Orang yang menjalankan perniagaan mengambil barang-barang sebagai pajak gadai digelar sebagai pemegang pajak gadai. Ini termasuklah orang yang menerima barang seseorang lain sebagai cagaran untuk pembayaran balik wang yang tidak lebih daripada RM5,000 yang telah didahulukan.

Sebagai contoh: A seorang yang mempunyai wang telah meminjamkan RM100 kepada B. Sebagai jaminan untuk pembayaran balik wang itu, B meninggalkan sebentuk cincin emas kepada A. A di sini disifatkan sebagai seseorang yang menjalankan perniagaan mengambil barang pajak gadai. Begitu juga halnya dengan seseorang yang membeli atau menerima barang-barang dan meminjam kepada orang itu sejumlah wang tidak melebihi RM5,000 dengan satu perjanjian atau persetujuan bahawa barang itu boleh dibeli kembali atau ditebus berdasarkan syarat-syarat tertentu.

b) Pemajak Gadai

Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 mendefinisikan pemajak gadai sebagai seorang yang menyerahkan sesuatu barang untuk dipajak gadai kepada seseorang pemegang pajak gadai. Akta ini juga memperuntuk bahawa golongan-golongan tertentu tidak boleh menjadi pemajak gadai, seperti orang yang dalam keadaan mabuk dan golongan di bawah umur 16 tahun. Seorang kanak-kanak, misalnya tidak boleh diminta oleh ibu bapanya membawa barang tertentu untuk digadaikan. Sekatan yang dikenakan ke atas golongan ini adalah berasaskan prinsip am undang-undang bahawa orang ini tidak berkeupayaan untuk melibatkan diri dalam apa-apa transaksi undang-undang.

Berikut adalah panduan asas pengguna mengenai pajak gadai:-

  1. Semak tarikh tamat tempoh gadaian. Anda tidak boleh menuntut barang selepas tamat tempoh gadaian, kecuali kedai pajak gadai bersetuju memanjangkan tempoh berkenaan.
  2. Selepas tamat tempoh, semua barangan yang digadai yang nilainya kurang daripada RM200 akan menjadi kepunyaan kedai pajak gadai berkenaan dan bukan kepunyaan anda lagi. Walau bagaimanapun, pemajak gadai boleh memanjangkan tempoh pajakan dengan membayar faedah kepada kedai pajak gadai sehingga pemajak gadai mampu untuk menebus/menuntut semula barangan tersebut.
  3. Semua barang yang tidak ditebus yang nilainya melebihi RM200 boleh dilelong oleh kedai pajak gadai. Anda berhak mendapatkan baki wang yang tinggal daripada jualan barang berkenaan selepas ditolak semua kos gadaian.
  4. Pemegang pajak gadai perlu menghantar notis berdaftar kepada pemajak gadai mengenai tindakan untuk melelong barangan. Notis ini perlu diterima oleh pemajak gadai tujuh hari sebelum urusan pelelongan.
  5. Pemajak gadai dinasihatkan untuk memberi alamat semasa apabila memajak barangan atau memaklumkan sebarang pertukaran alamat secara bertulis kepada pemegang pajak gadai. Ini adalah penting untuk memastikan notis-notis pemberitahuan pelelongan yang dihantar oleh pemegang pajak gadai sampai kepada pemajak gadai.
  6. Kedai pajak gadai adalah bertanggungjawab atas kehilangan atau kemusnahan akibat kecurian atau kebakaran.
  7. Sentiasa mendapatkan resit setiap kali anda membuat pembayaran.
  8. Jika kedai pajak gadai mengenakan kadar faedah yang terlalu tinggi (lebih 2% sebulan) ke atas sesuatu pinjaman, anda boleh membawa perkara ini kepada pejabat Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaaan Tempatan.
  9. Jika anda kehilangan resit/ tiket gadaian, anda berhak mendapatkan salinannya secara percuma.
  10. Jika anda merasa bahawa gadaian anda berkurangan nilainya atau jika kedai pajak gadai enggan menyerahkan gadaian anda, buatlah aduan kepada majistret. Majistret mempunyai kuasa untuk memerintah kedai pajak gadai untuk membayar gantirugi yang munasabah.
  11. Pastikan kedai pajak gadai yang anda berurusan mempunyai lesen yang sah.
  12. Semak buku catatan kedai pajak gadai untuk memastikan bahawa kandungannya adalah sama dengan surat pajak gadai yang anda terima.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 50/Jun 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button