Pelan PenyimpananPengurusan Kewangan

Apa Yang Anda Boleh Lakukan Dengan Bonus Tahunan

Apabila tiba musim hujung tahun, ramai yang akan menerima bonus tahunan daripada syarikat atau majikan masing-masing. Namun, terdapat individu yang gagal mengurus bonus tersebut dengan baik.

Berikut adalah beberapa cadangan dan perkara yang anda boleh lakukan dengan bonus tahunan anda.

Selesaikan hutang

Perkara pertama anda perlu lakukan apabila mempunyai lebihan wang adalah menyelesaikan hutang anda; sama ada hutang dengan pihak bank, hutang PTPTN, hutang kedai atau individu. Hidup anda lebih tenang apabila tidak terbeban dengan hutang.

Bagi hutang yang melibatkan pelaburan, anda tidak perlu usik atau kurangkan hutang tersebut jika pinjaman atau pembiayaan tersebut masih menguntungkan.

Tambah pelaburan jangka masa panjang

Selepas berjaya menyelesaikan beberapa hutang, anda boleh mula merancang untuk memulakan pelaburan atau menambah pelaburan anda. Untuk pelaburan jangka masa panjang, fokus pada dana persaraan dan dana pendidikan anak-anak.

Semakin banyak anda laburkan untuk dana persaraan, semakin cepat anda boleh bersara. Dengan menggunakan bonus tahunan anda setiap tahun, dana persaraan anda lebih terjamin.

Tambah simpanan kecemasan

Jika sebelum ini, anda hanya menyimpan tiga bulan gaji sebagai simpanan kecemasan, kini anda boleh meningkatkan simpanan tersebut sehingga enam bulan. Semakin berusia, semakin banyak masalah yang bakal / mungkin anda hadapi. Oleh itu, simpanan kecemasan ini boleh dijadikan sebagai satu dana yang akan membantu anda ketika anda memerlukan.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, anda juga perlu bersedia dengan segala kemungkinan yang boleh berlaku seperti kehilangan pekerjaan.

Tambah tabung untuk pembelian mahal

Tabung untuk pembelian mahal bermaksud satu tabung yang bakal digunakan untuk perbelanjaan yang besar, terutama ketika musim perayaan dan musim awal persekolahan. Ketika itu, banyak perbelanjaan yang akan digunakan.

Tabung ini penting bagi mengelakkan masalah wang gaji dihabiskan untuk perbelanjaan besar tersebut.

Tambah ilmu

Selain menambah pelaburan dan simpanan, anda juga perlu meningkatkan lagi ilmu pengurusan kewangan dan pelaburan. Anda boleh menyertai pelbagai seminar atau beli buku rujukan di kedai buku.

Buku rujukan tersebut juga boleh digunakan sebagai panduan untuk mengurangkan cukai pendapatan anda. Lebih banyak ilmu yang anda belajar, semakin banyak idea pengurusan kewangan dan pelaburan yang anda boleh lakukan.

Tingkatkan pelan perlindungan insurans / takaful anda

Ini juga merupakan masa terbaik untuk anda mengambil pelan perlindungan insurans / takaful atau menyemak semula pelan yang anda sedia ada. Jika sebelum ini jumlah pampasan yang anda ambil hanya RM100,000, anda boleh menambah jumlah tersebut ke satu jumlah yang lebih besar sesuai dengan diri anda.

Selain pampasan, semak juga manfaat kad perubatan anda sama ada masih sesuai atau tidak dengan keadaan semasa. Anda juga boleh menggunakan bonus tersebut untuk menyambung bayaran caruman bagi memudahkan
anda membuat caruman setiap bulan.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 104/Disember 2018

 

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button