Pelan Pendapatan

Apa Itu Permainan Wang, Skim Ponzi dan Skim Cepat Kaya?

Permainan wang, skim ponzi atau skim cepat kaya ialah kegiatan mengumpul dan menggandakan wang dalam bentuk pemberian bonus atau komisen.

Bonus atau komisen itu datang daripada penambahan atau pengrekrutan ahli baharu. Ia bukan berdasarkan kepada penjualan produk atau servis.

Walaupun ada penjualan produk pada skim-skim permainan wang tertentu, hal ini hanyalah sebagai helah sahaja, manakala pendapatan utama ahli pada hakikatnya adalah daripada kutipan yuran atau pembayaran lesen ahli baharu.

Permainan wang juga sering dikenali sebagai skim cepat kaya, skim piramid atau skim ganda wang.

Antara contoh dan ciri-ciri utama skim cepat kaya adalah:

  1. Untuk menyertai, anda dikehendaki membayar yuran atau lesen yang agak mahal (lesen perniagaan adalah berbeza kerana dibayar kepada pihak ketiga seperti pihak berkuasa tempatan, kerajaan atau badan pengawal selia).
  2. Setelah menyertai, anda mempunyai hak untuk menjual sesuatu (mungkin berupa produk dagangan atau servis, tapi itu hanyalah helah).
  3. Setelah menyertai, anda berhak untuk merekrut orang yang akan bertindak sama seperti anda (mencari orang lain untuk direkrut, dan begitulah seterusnya).
  4. Pulangan dibayar kerana anda merekrut ramai orang, bukan kerana jualan produk atau perkhidmatan kepada bukan ahli.

Penganjur permainan wang ini sentiasa kreatif dan cuba sedaya-upaya untuk menggambarkan seolah-olah permainan wang ini sebagai satu skim yang tidak menyalahi undang-undang, halal dan sebagai satu peluang keemasan yang tak patut dilepaskan begitu saja.

Antara format dan ciri-ciri permainan wang yang biasa dianjurkan adalah “anda memberi duit untuk keahlian atau lesen, kemudian anda pula menyuruh peserta-peserta lain memasukkan wang seperti anda (anda sebagai upline atau sponsor). Anda akan menyuruh mereka mengulangi proses ini sampai peringkat yang maksimum.

Anda diberikan jaminan bahawa wang yang anda ‘laburkan’ akan diperoleh semula setelah peserta berada di bawah anda, dan setelah itu anda akan kaya raya seperti upline anda.

Hindari Permainan Wang

Bagaimana untuk mengelak daripada terjebak dengan permainan wang?

Bersikap kritikal dan waspada terhadap semua tawaran perniagaan atau pelaburan yang menjanjikan keuntungan-keuntungan tidak masuk akal.

Bukan senang nak kaya. Kalau ada orang kata, “Nak kaya senang saja, labur saja duit pada skim saya. Nanti duit anda akan berganda” – lari jauh-jauh daripada orang seperti ini.

Fahami ciri-ciri permainan wang, seperti yang disenaraikan untuk mengelakkan daripada terkeliru dengan helah dan kreativiti penganjur skim yang sentiasa mencari idea baharu.

Untuk memudahkan anda menapis dan menepis skim-skim ini, cuba Tanya soalan-soalan ini sebelum terjebak:

  1. Adakah produk (atau perkhidmatan) sebenar yang dijual kepada orang ramai? Adakah produk ini sudah dikenali ramai, benar-benar berbaloi atau sekadar helah?
  2. Adakah sumber pulangan yang diterima datang dari jualan barang (atau perkhidmatan) ataupun sebenarnya daripada keahlian baharu?
  3. Adakah pelaburan ini mempunyai sijil patuh syariah (iaitu sudah mempunyai panel penasihat syariah rasmi bertauliah dan mengikut garis panduan JAKIM dan sudah mengeluarkan pernyataan rasmi patuh syariah)? Perniagaan yang patuh syariah bermaksud sudah dipantau daripada terlibat dengan riba dan penipuan. Jadi perniagaan ini boleh disertai tanpa ragu-ragu.
  4. Jika aktiviti merekrut dihentikan hari ini, adakah akan berlaku kesukaran untuk membayar pulangan kepada ahli seperti yang dijanjikan?

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 83/Mac 2017

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button