Akta dan PerundanganKad KreditPengurusan HutangPengurusan KewanganPinjamanTip dan Panduan

Apa Itu Muflis?

Muflis adalah satu status individu (yang berhutang) yang diisytiharkan oleh mahkamah atas kriteria yang tertentu. Pengisytiharan muflis ini adalah berikutan arahan mahkamah yang dikenali sebagai Perintah Penghukuman dari Mahkamah Tinggi terhadap individu tersebut.

Kriteria individu diisytiharkan muflis di Malaysia:

  1. Tidak berupaya untuk melangsaikan hutang berjumlah tidak kurang dari RM100,000.
  2. Hutang tidak dapat dibayar dalam tempoh 6 bulan.
  3. Individu tersebut telah bermastautin di Malaysia sekurang-kurangnya selama setahun.

Pengisytiharan muflis juga boleh diisytiharkan tanpa pengetahuan individu tersebut melalui cara berikut:

  1. Dokumen undang-undang dihantar ke alamat lama.
  2. Melalui prosedur penyampaian ganti.
  3. Individu tersebut tidak hadir ke mahkhamah.
  4. Individu tersebut tidak menerima atau tidak membuka dokumen undang-undang yang telah dihantar kepadanya.

Prosedur penyampaian ganti ini bermaksud pengisytiharan muflis telah diserahkan melalui iklan di surat khabar atau melalui papan kenyataan di mahkamah. Individu tersebut mungkin tidak akan mengetahui prosiding muflis yang telah difailkan terhadapnya. Prosedur ini berlaku sekiranya individu tersebut tidak dapat dikesan. Namun, anda boleh menjalankan pemeriksaan muflis untuk periksa status anda di ibu pejabat Jabatan Insolvensi Malaysia Putrajaya bayaran yuran sebanyak RM10.

Dua cara pengisytiharan muflis:

  1. Petisyen Pemiutang : Petisyen muflis akan dikemukakan oleh pemiutang terhadap penghutang berkenaan hutang yang melebihi RM100,000.
  2. Petisyen Penghutang : Seseorang individu itu secara sukarelanya mengisytiharkan dirinya muflis untuk melindungi dirinya daripada tuntutan pemiutang yang dia tidak mampu untuk jelaskan. Tiada jumlah minima untuk mengisytiharkan diri sendiri sebagai muflis. Setelah petisyen dikemukakan, petisyen tidak boleh ditarik balik tanpa kebenaran mahkhamah.

Namun, perlulah kita mengambil serius tentang perkara ini. Muflis bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Kita perlu tahu yang muflis ini merupakan jalan yang terakhir kepada masalah kewangan. Banyak kesan yang kita perlu tahu jika kita diisytiharkan muflis.

Kesan-kesan muflis:

1. Dibawah pengawasan Ketua Pengarah Insolvensi
Setelah diisytiharkan muflis, individu tersebut akan berada dibawah pengawasan Ketua Pengarah Insolvensi (KPI). KPI akan mentadbir semua asset individu tersebut dan mengendalikannya untuk membayar hutang. Jadi setelah muflis, kesemua aset individu akan diletakkan dibawahan pengendalian KPI.

2. Had perjalanan
Individu yang muflis tidak dibenarkan untuk ke luar negara tanpa kebenaran bertulis dari KPI atau sebelum mendapatkan perintah mahkhamah yang membenarkannya keluar dari negara.

3. Kredit terhad
Akaun bank yang sedia ada akan dinyahaktifkan dan individu muflis dilarang daripada melakukan sebarang pengeluaran wang daripada akaun bank yang sedia ada. Selain daripada itu, individu muflis juga tidak dibenarkan untuk membelanjakan lebih dari RM1,000 menggunakan kad kredit atau dapatkan kredit lebih dari RM1,000 dari mana-mana pemiutang.

4. Semua aset dirampas
Selepas diisytiharkan muflis, kesemua aset milik individu muflis akan dikendalikan oleh KPI. Sebagai contoh, rumah dan kereta milik individu muflis tersebut akan diambil dan diuruskan oleh KPI dan digunakan untuk membayar hutang.

5. Had pekerjaan
Individu muflis tidak dibenarkan bekerja dalam profesion tertentu yang mempunyai sekatan yang dikenakan oleh persatuan professional atau pihak berkuasa iaitu Peguam, Juru Ukur, Akauntan dan Doktor. Selain daripada itu, individu muflis juga tidak boleh dilantik sebagai pengarah syarikat. Individu muflis tidak boleh memiliki perniagaan atau menjadi sebahagian daripada pemilik perniagaan. Jadi setelah muflis, individu tersebut tidak boleh melakukan sebarang perniagaan.

Undang-undang muflis terkini di Malaysia:

1. Had minimum muflis dinaikkan
Sebelum ini seseorang individu boleh diisytiharkan muflis jka mempunyai hutang sebanyak RM50,000 atau lebih. Namun, jumlah tersebut telah ditingkatkan kepada RM100,000 bermaksud jika seseorang mempunyai hutang sebanyak tersebut atau lebih sahaja boleh diisytiharkan muflis.

2. Pelepasan automatik
Sebelum ini juga inidividu yang telah diisytiharkan muflis hanya boleh mendapat pelepasan daripada status tersebut setelah melakukan rayuan di Mahkhamah atau setelah diberikan sijil pelepasan dari Ketua Pengarah Insolvensi. Selain itu, pelepasan hanya boleh dipertimbangkan selepas 5 tahun dari tarikh individu tersebut digelar muflis.

Namun kini dibawah perubahan yang telah berkuatkuasa, pelepasan automatik kini diperkenalkan. Ini bermakna individu yang muflis boleh mendapat pelepasan automatik selepas 3 tahun dari tarikh penyerahan penyata hal ehwalnya. Selepas 3 tahun dari tarikh penyerahan kebankrapan, seseorang yang muflis akan secara automatik dilepaskan dengan syarat bahawa penghutang:

  • telah mencapai sasaran untuk sumbangan hutang mereka
  • mengisytiharkan liabiliti mereka kepada Jabatan Insolvensi Malaysia

Selain daripada itu, mulai sekarang pemiutang tidak boleh membantah pelepasan dari status muflis bagi beberapa jenis status muflis seperti yang berikut:

  • penjamin sosial
  • individu muflis yang mempunyai kecacatan seperti yang tertera di Akta Orang Kurang Upaya 2008
  • individu muflis yang telah meninggal
  • individu muflis yang mempunyai penyakit kronik

3. Elak menjadi muflis melalui perkiraan sukarela
Di bawah pindaan undang-undang muflis tersebut juga memberikan individu yang bakal digelar muflis peluang untuk menyelesaikan hutangnya tanpa prosiding muflis diteruskan dibawah perkiraan sukarela di bawah Akta Insolvensi 1967.

Dengan adanya perkiraan sukarela ini, penghutang boleh berunding untuk menyusun semula pembayaran hutang mereka untuk mengelakkan digelarkan muflis. Namun, penghutang perlu mematuhi jumlah bayaran yang telah dipersetujui antara pemiutang dan mereka juga perlu memfailkan penyata slip gaji dan perbelanjaan mereka setiap enam bulan sepanjang tempoh tiga tahun.

4. Pengecualian Penjamin Sosial dari Prosiding Kebankrapan
Malangnya antara sebab rakyat Malaysia digelarkan muflis ialah mereka telah menjadi penjamin. Namun dengan perubahan terbaru ini situasi tersebut tidak akan berlaku lagi. Ini kerana pemiutang tidak boleh memulakan apa-apa tindakan muflis terhadap penjamin sosial seperti:

  • penjamin untuk pinjaman, biasiswa atau geran untuk pelajaran
  • penjamin untuk pinjaman transaksi sewa beli kenderaan untuk kegunaan bukan perniagaan
  • penjamin untuk pinjaman urus niaga pinjaman perumahan untuk kediaman peribadi

Sebab utama rakyat Malaysia diisytihar muflis:

Kebanyakan rakyat Malaysia yang diisytiharkan muflis merupakan dalam lingkungan umur 35-44 tahun (35.25%), sementara 25-34 tahun adalah yang kedua terbanyak (22.52%). Majoriti kes muflis di Malaysia disebabkan oleh pinjaman kenderaan (36%) oleh kerana tunggakan hutang pinjaman kenderaan yang tidak dijelaskan. Selain daripada itu, sebab-sebab lain rakyat Malaysia diisytiharkan muflis ialah daripada tunggakan hutang kepada pinjaman perumahan (26%), pinjaman peribadi (24%) dan pinjaman perniagaan (14%).

Individu juga boleh diisytiharkan muflis sekiranya dia menjadi penjamin kepada orang lain. Pihak bank akan menuntut hutang daripada penghutang terlebih dahulu, namun sekiranya penghutang tidak boleh melangsaikan hutang tersebut pihak bank akan menuntut dari individu yang bertindak menjadi penjamin kepada penghutang.

Di mana untuk dapatkan pertolongan sekiranya anda risau akan diisytiharkan muflis?

1. Dapatkan pertolongan professional percuma
Jika anda berhadapan masalah dalam mengendalikan hutang dan melangsaikan pinjaman, anda boleh dapatkan pertolongan dari Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). AKPK telah ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia untuk menawarkan perkhidmatan secara percuma.

Perkhidmatan yang ditawarkan adalah khidmat kaunseling kewangan dan nasihat, program pengurusan hutang dan juga program pendidikan ilmu kewangan.

2. Bincang dengan pihak pemiutang
Sekiranya anda menghadapi masalah dalam melakukan pembayaran pinjaman, berunding bersama pihah bank anda. Kebanyakan bank bersikap terbuka kepada perundingan dan untuk merunding semula syarat pinjaman. Ini kerana pihak bank juga ingin mengurangkan kecenderungan berlakunya kes pinjaman yang tidak berbayar (non-performing loan).

Jadi apa kata anda berbincang dengan pihak bank dan rumuskan aliran pembayaran balik yang anda mampu dan yang juga dipersetujui pihak bank. Sekiranya anda berhadapan masalah semasa berunding bersama pihak bank anda boleh ke AKPK kerana mereka boleh menjadi pihak tengah melalui program pengurusan hutang yang dikendalikan.

3. Nilai semula aset serta komitmen kewangan anda
Selain daripada mengurangkan perbelanjaan anda, anda patut pertimbangkan untuk menggunakan simpanan anda untuk melangsaikan hutang atau pinjaman. Anda juga patut mempertimbangkan untuk keluarkan wang daripada pelaburan sekiranya ada untuk kurangkan hutang dan pinjaman yang sedia ada kerana ini akan membantu untuk mengelak anda diisytihar muflis.

Jika anda mempunyai berbagai aset, jual aset tersebut dan gunakan wang untuk jelaskan hutang dan pinjaman anda. Lebih baik anda gunakan aset untuk jelaskan hutang daripada diisytiharkan muflis kemudian semua aset anda diambil.

Sumber diolah: Compare Hero, January 26, 2021

Artikel Berkaitan

Lihat Juga
Close
Back to top button