Perancangan Kewangan

Anuiti Untuk Perancangan Persaraan

Berapa banyakkah wang yang anda perlukan semasa persaraan?

Pada umumnya, individu yang telah bersara memerlukan lebih kurang 60% daripada gaji terakhirnya untuk mengekalkan taraf hidupnya. Caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh menjadi sumber pendapatan persaraan yang penting tetapi ia mungkin tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan keperluan kehidupan.

Kaji selidik yang dilakukan oleh KWSP menunjukkan bahawa lebih kurang 72% pencarum menghabiskan semua simpanan mereka dalam tempoh tiga tahun dari tarikh pengeluaran selepas bersara. Oleh itu, anda mungkin perlu mempunyai simpanan sampingan selain KWSP. Satu daripada caranya ialah dengan menggunakan anuiti untuk menyediakan pendapatan berterusan sepanjang persaraan anda.

Apakah anuiti dan mengapakah anda memerlukannya?

Anuiti adalah suatu kontrak dimana syarikat insurans telah bersetuju untuk menyediakan seseorang dengan pendapatan yang berterusan untuk sepanjang hayat, sebagai balasan kepada caruman premium yang dibayar sekali gus. Ia memastikan bayaran sekali gus anda itu ditukar menjadi pendapatan untuk seumur hidup. Dengan itu, anuiti dapat meringankan ketidaktentuan dan masalah yang mungkin anda akan hadapi sekiranya anda kehabisan sumber kewangan semasa hayat bersara. Anda juga boleh membeli pelan anuiti yang menjamin pembayaran pendapatan kepada orang yang anda sayangi selepas anda meninggal dunia.

Untuk membeli pelan anuiti, anda boleh membayar premium kepada syarikat insurans sekali gus semasa anda hampir bersara. Sebagai pilihan, anda juga boleh membuat bayaran premium secara berkala sehingga umur persaraan yang anda pilih. Apabila bersara, syarikat insurans akan memberikan bayaran pendapatan bulanan sepanjang hayat anda. Anda boleh membeli anuiti daripada mana-mana syarikat insurans yang menawarkan produk anuiti.

Jenis-jenis anuiti

Jenis pelan anuiti yang biasa ialah:-

Anuiti serta-merta – pembayaran pendapatan bermula dalam tempoh 12 bulan selepas anda membeli anuiti. Ia adalah sesuai untuk mereka yang hampir bersara atau telah bersara. Premiumnya dibayar sekali gus ketika membeli anuiti.

Seperti yang ditunjukkan di Rajah 1, jika anda bersara pada umur 55 tahun dan anda membuat caruman premium sekali gus kepada syarikat insurans, anda akan menerima bayaran pendapatan pertama dalam tempoh 12 bulan selepas membayar premium sekali gus.

Anuiti tertunda – pembayaran pendapatan bermula lebih daripada 12 bulan selepas anda membeli anuiti. Anda boleh membeli anuiti jenis ini pada bila-bila masa sepanjang tempoh anda bekerja. Premium yang boleh dibayar secara sekali gus akan terkumpul dengan syarikat insurans, atau anda boleh membuat siri bayaran berkala sehinggalah persaraan anda.

Contoh: Pada umur 30 tahun, anda boleh membeli satu anuiti tertunda yang memulakan pembayaran pendapatan pada umur 55 tahun. Anda boleh memilih sama ada untuk membayar premium sekali gus pada umur 30 tahun atau membuat bayaran premium setiap tahun sehingga anda mencapai umur 54 tahun. Premium yang dibayar sekali gus pada umur 30 tahun adalah lebih rendah berbanding dengan bayaran yang perlu dibuat sekiranya anda membeli anuiti serta-merta pada umur 54 tahun. Ini kerana premium yang dibayar pada umur 30 tahun akan dilaburkan oleh syarikat insurans dalam tempoh pengumpulan simpanan (rujuk Rajah 2 diatas).

Menyimpan untuk anuiti

Untuk membeli anuiti, anda mungkin perlu mempunyai pengaturan simpanan bagi membolehkan anda membeli anuiti serta-merta menjelang persaraan anda. Sebagai pilihan, jika anda ingin membayar premium yang lebih rendah, anda mungkin perlu pertimbangkan untuk membeli anuiti tertunda. Premium yang anda bayar akan dilaburkan oleh syarikat insurans bagi mengumpul suatu amaun yang diperlukan bagi menyediakan pendapatan persaraan anda.

Ada baiknya jika anda memulakan simpanan seawall mungkin sepanjang tempoh anda bekerja supaya dana yang mencukupi dapat disediakan untuk keperluan apabila anda bersara.

Contohnya, sekiranya anda menyimpan RM30.64 sebulan selama 30 tahun, dengan andaian kadar faedah purata 6% setahun, ia akan menghasilkan nilai terkumpul sebanyak RM 30,000. Dengan jumlah wang tersebut, anda boleh membeli anuiti serta-merta yang memberikan pendapatan sebanyak lebih kurang RM120 sebulan.

Memilih anuiti yang sesuai

Jenis anuiti dan manfaatnya yang diperoleh akan menentukan amaun pendapatan yang akan diterima semasa persaraan. Adalah penting untuk meneliti semua opsyen yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat insurans sebelum anda membeli pelan anuiti yang paling sesuai dengan keperluan anda.

Amaun bayaran pendapatan yang anda akan terima bergantung kepada:-

  • Amaun yang anda bayar untuk membeli anuiti.
  • Umur anda ketika membeli anuiti dan jantina anda.
  • Opsyen manfaat yang anda pilih.

Jenis opsyen manfaat yang biasa bagi pelan anuiti adalah:-

  • Anuiti tetap tanpa tempoh terjamin – membayar pendapatan pada kadar tetap secara teratur sepanjang hayat anda.
  • Anuiti tetap dengan tempoh terjamin – membayar pendapatan pada kadar tetap sepanjang hayat anda, atau sekurang-kurangnya untuk suatu tempoh terjamin. Contohnya: Seseorang membeli anuiti dengan tempoh terjamin 10 tahun. Sekiranya beliau meninggal dunia selepas enam tahun, bayaran anuiti akan diteruskan kepada benefisiarinya untuk tempoh empat tahun selebihnya. Sekiranya pembeli anuiti masih hidup selepas tempoh terjamin 10 tahun, beliau akan terus menerima bayaran pendapatan sepanjang hayatnya.
  • Anuiti meningkat – membayar pendapatan yang meningkat setiap tahun pada kadar yang tetap akan sedikit sebanyak melindungi pendapatan anda daripada inflasi, di sepanjang hayat anda. Pendapatan permulaan bagi anuiti meningkat pada kebiasaannya lebih rendah daripada yang anda terima di bawah anuiti tetap. Namun begitu, anuiti meningkat akan memberikan pendapatan yang lebih baik pada tahun-tahun kemudian dalam tempoh persaraan anda.
  • Anuiti hayat bersama – membayar pendapatan untuk sepanjang hayat anda dan seterusnya kepada pasangan anda sepanjang hayatnya selepas anda meninggal dunia. Walau bagaimanapun, pendapatan yang dibayar kepada pasangan anda mungkin pada amaun yang dikurangkan. Contohnya: anuiti hayat bersama untuk pendapatan persaraan RM1,000 sebulan mungkin diteruskan dengan pembayaran pendapatan yang kurang, iaitu sebanyak RM500 sebulan selepas kematian salah seorang daripada pasangan tersebut.

Sumber : infoinsurans/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 18/Oktober 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button