EkonomiPelan PerbelanjaanPenggunaPengurusan Kewangan

Anda Perlukan RM2,570 Sebulan Untuk Hidup Bermaruah di Lembah Klang

Ekonomi Rakyat

Isu kos sara hidup sentiasa menjadi kebimbangan rakyat Malaysia terutamanya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah. Peningkatan harga barangan disamping kenaikan gaji yang rendah mengakibatkan isu ini terus berlanjutan buat sekian lama.

Persoalannya, berapakah pendapatan yang mencukupi bagi seorang individu bujang untuk hidup dengan bermaruah di kota raya Kuala Lumpur? Banyak perkiraan yang dikongsikan secara anekdotal di Facebook mahupun Twitter namun angka-angka yang timbul sukar untuk digeneralisasikan kepada warga umum.

Pusat Kajian Kesejahteraan Sosial Universiti Malaya dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ada membuat penyelidikan mengenai kos yang perlu dibelanjakan setiap orang bagi mengharungi kehidupan yang bermaruah di Malaysia.

Di Lembah Klang misalnya, individu bujang yang mempunyai sebuah kenderaan memerlukan sekurang-kurangnya RM2,570 sebulan pada tahun 2021 bagi menampung perbelanjaan kehidupan mereka menurut Laporan Belanjawanku.

Anggaran Perbelanjaan Mengikut Kategori Isi Rumah

Bagaimana RM2,570 ini dipetik? Pihak penyelidik mengambil kira beberapa item perbelanjaan isi rumah seperti makanan, perumahan, utiliti, pengangkutan, kesihatan, tabungan dan lain-lain. Beberapa kaedah digunakan oleh pihak penyelidik untuk mendapatkan anggaran perbelanjaan yang diperlukan.

Pihak penyelidik menjalankan perbincangan berkumpulan secara tertumpu selain melakukan bancian harga barangan di pasar raya ataupun pasar basah. Borang soal selidik juga diedarkan bagi mengetahui corak perbelanjaan orang ramai.

Apa yang menarik dengan Laporan Belanjawanku ini, pelbagai anggaran perbelanjaan dikira bagi mencerminkan kos yang diperlukan oleh isi rumah mengikut status isi rumah mereka sendiri sama ada bujang, berpasangan, ataupun mempunyai anak-anak.

Bagi pasangan suami isteri tanpa anak-anak, laporan ini menjangkakan kos yang diperlukan untuk hidup bermaruah di Lembah Klang adalah sekitar RM4,590 sebulan. Manakala bagi pasangan suami isteri dengan seorang anak, isi rumah dijangka memerlukan sekitar RM5,510 sebulan untuk hidup dalam keadaan yang bermaruah.

Kenapa menjalani kehidupan bermaruah sesuatu yang mustahak buat seseorang individu?

Ini kerana seseorang individu itu bukan saja perlu mempunyai kewangan yang cukup untuk membeli barangan asas tetapi juga perlu mempunyai kemampuan untuk terlibat di dalam aktiviti bermasyarakat untuk melalui kehidupan yang sewajarnya.

Situasi ini penting untuk dijelaskan kerana manusia tidak hanya menjalani kehidupan semata-mata bekerja bagi mendapatkan wang untuk menyara kehidupan diri. Kehidupan manusia melangkaui makan minum, kerja dan tidur.

Misalnya, pada hujung minggu, anda mungkin akan keluar melepak bersama rakan-rakan anda sambil menonton bola. Aktiviti ini memerlukan wang. Anda juga mungkin perlu menyimpan sebahagian daripada pendapatan anda bagi mewujudkan tabungan yang boleh digunakan ketika kecemasan.

Item-item yang diambil kira

Tanpa tabungan ini, kemungkinan keadaan mental anda akan berasa tidak tenteram. Jika tayar anda pancit esok pagi atau terpaksa ke klinik kerana demam, anda mungkin akan berhadapan dengan masalah kewangan tanpa simpanan kecemasan yang mencukupi.

Makanya, indikator yang diwujudkan oleh Belanjawanku ini mengambil kira aspek-aspek ini pada kadar yang minimum.

Persoalannya? Berapa ramai rakyat Malaysia yang mempunyai pendapatan melebihi daripada kos perbelanjaan untuk hidup secara bermaruah.

Jika diteliti laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, di Lembah Klang ( Selangor + Kuala Lumpur ) misalnya, gaji penengah dianggarkan hanya sekitar RM2,881 sebulan pada tahun 2020 iaitu 12% lebih tinggi berbanding kos perbelanjaan yang digariskan oleh Laporan Belanjawanku.

Jika kiraan kasar dibuat, boleh dikatakan sekitar 40% pekerja yang makan gaji di sekitar Lembah Klang tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk hidup dalam keadaan yang sewajarnya.

Harga makanan & minyak mentah meningkat

Bukan Sekadar Isu Pendapatan……

Isu pendapatan yang tidak berganjak bukan satu-satunya masalah yang dihadapi oleh rakyat Malaysia. Kini, isu inflasi yang dijangka meningkat naik juga akan menjadi satu lagi cabaran besar buat Malaysia untuk tempoh beberapa bulan yang mendatang sekaligus menghakis kuasa beli pengguna.

Pertubuhan Makanan & Pertanian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu beberapa hari lalu mendedahkan bahawa indeks harga makanan berada di paras tertinggi ketika ini susulan konfilik Ukraine-Rusia. Peningkatan harga makanan yang tinggi ini sudah semestinya akan memberikan bebanan besar buat golongan berpendapatan rendah.

Ini kerana sebahagian besar pendapatan yang diraih mereka digunakan untuk membeli barangan basah.

Inflasi diunjur berlegar sekitar 2.2% hingga 3.2% pada tahun ini

Makanan bukan satu-satunya ancaman inflasi. Isu harga minyak yang melangkaui $100 setong ketika ini juga mungkin bakal menyebabkan Kerajaan menarik kembali subsidi minyak. Berdasarkan sejarah-sejarah lampau, langkah kurang popular seperti ini mungkin dilaksanakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 dilaksanakan.

Belanja freight yang tinggi juga memberi tekanan kos kepada pengeluar di Malaysia.

Bank Negara Malaysia beberapa minggu lalu menyatakan inflasi untuk tahun ini diunjurkan sekitar 2.2% hingga 3.2%, julat anggaran yang lebih tinggi berbanding inflasi 2.5% yang direkodkan pada tahun lalu.

Artikel Berkaitan

Back to top button