Pelan PelaburanPerancangan Kewangan

Anda Jenis Pelabur Yang Mana satu?

Sekiranya anda pernah melabur, sikap anda apabila melabur banyak mempengaruhi cara anda memilih, melabur dan memantau sesuatu pelaburan yang dibuat. Pernahkah terlintas dalam hati anda untuk mengetahui anda tergolong dalam kategori pelabur yang mana satu? Terdapat beberapa kategori pelabur untuk dikongsi bersama, dan juga nasihat yang boleh dipertimbangkan untuk membantu memperkukuh kedudukan anda sebagai pelabur.

Pelabur Baru

Kategori ini merangkumi mereka yang baru kali pertama melabur dan kurang berpengalaman dalam hal-ehwal pelaburan. Mereka menyedari bahawa untuk mencapai matlamat kewangan, mereka perlu menabung dan melabur. Ada kalanya, dalam keghairahan mereka membuat pelaburan, mereka mendapatkan panduan daripada sumber

maklumat atau orang yang salah. Justeru mereka boleh melakukan kesilapan, yang sepatutnya boleh dielakkan, atau lebih buruk lagi, menjadi mangsa skim pelaburan tidak sah, seperti pelaburan Internet dan sebagainya.

Nasihat Untuk Anda:

Pelajari selok-belok pelaburan daripada orang yang betul, misalnya daripada mereka yang berlesen. Berhati-hati terhadap peluang pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi tanpa mempunyai apaapa risiko. Jika anda mempunyai sebarang keraguan terhadap produk pelaburan yang ditawarkan, dapatkan maklumat yang lebih terperinci, yang boleh didapati daripada prospektus atau laporan tahunan sesuatu produk pelaburan tersebut. Semak status syarikat tersebut dengan pihak berkenaan, seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan sebagainya, untuk memastikan syarikat tersebut mempunyai lesen untuk menawarkan produk pelaburan kepada orang ramai. Jangan bertindak terburu-buru dan mendengar khabar angin sahaja. Sebaliknya, ambil masa untuk belajar mengenai cara-cara melabur dengan bijak.

Pelabur Berwaspada

Mereka yang tergolong dalam kategori ini akan mengelakkan diri daripada melabur dalam pelaburan yang berisiko tinggi. Selalunya mereka akan berfikir panjang sebelum melabur dan mengambil masa untuk memahami sesuatu produk pelaburan tertentu. Biasanya, pelabur begini tidak mengharapkan pulangan yang tinggi dan akan melabur dalam produk pelaburan yang stabil atau menjamin pulangan serta memelihara modal pelaburan mereka.

Nasihat Untuk Anda:

Kaji dengan teliti produk pelaburan yang menjanjikan pulangan terjamin. Baca semua maklumat yang terkandung dalam prospektus. Jangan menganggap pelaburan dengan ‘pulangan terjamin’ atau ‘modal terpelihara’ tidak mempunyai risiko. Pada masa yang sama, berhati-hati dengan peluang pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan tanpa sebarang risiko. Dikhuatiri ia adalah skim penipuan.

Kaki Judi

Pelabur yang termasuk dalam kategori ini pada dasarnya merupakan mereka yang gemar mengambil risiko tinggi. Umumnya, mereka bersedia untuk mengalami kerugian dalam pelaburan. Mereka mudah tertarik kepada ‘ramalan panas’ dan khabar angin pasaran. Mereka memilih pelaburan tambah nilai modal dan cuba membuat keuntungan seberapa cepat yang boleh. Selalunya, mereka membuat keputusan pelaburan berdasarkan naluri atau ‘perasaan’ dan bukannya maklumat yang betul. Oleh sebab itu, ada kalanya sukar bagi mereka untuk mengelakkan diri daripada terjebak dalam pelaburan yang salah atau tidak sesuai dengan matlamat kewangan kerana mereka berpandukan kepada naluri semata-mata.

Nasihat Untuk Anda:

Apabila melabur, pelabur berhak mengambil risiko, tidak kira berapa besar risiko tersebut. Tetapi pelabur mesti menyedari kesan risiko tersebut. Bergantung kepada naluri bukanlah cara yang baik untuk membuat keputusan pelaburan. Ingatlah, walau betapa banyak pun khabar angin dan ramalan yang diterima, ia tidak boleh menggantikan fakta dan angka dalam membuat keputusan pelaburan.

Pelabur Pasif

Pelabur yang pasif biasanya percaya bahawa setelah mereka membuat sesuatu pelaburan, ejen atau remisier adalah orang yang bertanggungjawab untuk menjaga pelaburan tersebut atau mereka beranggapan bahawa pelaburan tersebut akan terkawal dengan sendirinya. Pelabur sebegini selalunya jarang atau tidak pernah langsung memantau pelaburan mereka. Mereka juga tidak membaca dokumen berkaitan pelaburan yang dihantar kepada mereka, umpamanya penyata kewangan, laporan tahunan atau nota kontrak. Mereka terus-menerus tidak peduli walaupun terdapat masalah atau perkembangan terkini yang mungkin memberi kesan kepada pelaburan mereka.

Nasihat Untuk Anda:

Sebagai pelabur, anda mesti mengambil berat tentang pelaburan anda dan jangan membiarkan ia tidak dipantau. Jangan menganggap semuanya akan berjalan lancar setiap masa. Pemantauan yang kerap membolehkan anda mengkaji semula pelaburan anda, terutamanya jika pelaburan itu tidak lagi memenuhi objektif kewangan anda.

Pelabur Bijak

Pelabur ini melabur berdasarkan maklumat dan bukannya emosi. Mereka menggunakan maklumat daripada pelbagai sumber yang boleh dipercayai untuk memantau pelaburan mereka dengan teliti. Mereka mendapatkan nasihat daripada perunding kewangan yang berlesen dan membuat keputusan pelaburan hanya setelah menimbangkan kebaikan dan

keburukannya. Mereka berusaha untuk memahami ganjaran dan risiko sesuatu produk pelaburan itu dan tidak akan membiarkan pelaburan mereka tidak dipantau. Pelabur bijak seperti ini bersedia untuk menukar strategi pelaburan jika ia sudah tidak konsisten dengan matlamat dan objektif kewangan mereka.

Nasihat Untuk Anda:

Teruskanlah tabiat pelaburan yang baik ini! Jika anda fikir anda tidak termasuk dalam kategori pelabur ini dan amat sukar untuk menjadi pelabur bijak, jangan lemah semangat. Sebenarnya ia lebih mudah daripada apa yang anda sangka dan hanya memerlukan semangat dan usaha untuk belajar. Ambil langkah pertama anda dengan membaca laman sesawang Pelabur Malaysia (www.min.com.my) untuk mempelajari selok belok pelaburan bijak.

Sumber : www.min.com.my/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 46/Februari 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button