Pelan Pelaburan

Amanah Pelaburan Hartanah (REITs)

Apa itu Amanah Pelaburan Hartanah?

Amanah Pelaburan Hartanah atau Real Estate Investment Trusts (REITs) ialah dana pelaburan yang mengurus sejumlah hartanah komersial atau pelbagai aset bernilai, yang sahamnya pula diniagakan di pasaran saham.

Ia bermaksud pengurus dana akan menggunakan wang yang diperolehi daripada pelabur untuk membeli pelbagai hartanah bernilai tinggi. Kemudian, hartanah tersebut akan disewakan kepada penyewa.

Kutipan sewa selepas ditolak kos operasi akan digunakan sebagai bayaran kepada pelabur REITs dalam bentuk dividen. Keuntungan sewa sebanyak 90% ini akan dibayar sebagai dividen kepada pelabur REITs.

Kenapa Perlu Melabur Dalam REITs

Terdapat beberapa sebab kenapa pelabur patut memilih REITs sebagai salah satu alternatif pelaburan.

Harga REITs relatifnya adalah stabil, iaitu tidak naik atau turun dengan cepat walaupun ekonomi mengalami krisis ataupun sedang berkembang.

Hal ini disebabkan hartanah di bawah REITs adalah hartanah bernilai tinggi dan berkualiti. Harga hartanah sukar mengalami kejatuhan atau kenaikan secara mendadak. Sentiasa kekal stabil sama seperti harga sewa.

Oleh itu, REITs sepatutnya menjadi pilihan para pelabur yang bimbangkan situasi pasaran saham yang cepat naik dan turun.

Sebab kedua adalah kerana REITs menawarkan kadar dividen yang tinggi sekitar 7% hingga 15% setahun, yang dibayar biasanya antara 2 ataupun 4 kali setahun. Sesetengah REITs menawarkan dividen yang lebih tinggi daripada Amanah Saham Bumiputra (ASB) atau manamana saham amanah (unit trust).

Sesetengah saham amanah tidak mampu membayar dividen semasa ekonomi di dalam krisis, namun pembayaran dividen oleh REITs kekal stabil walaupun ketika ekonomi mengalami krisis.

Pada masa yang sama, REITs juga menawarkan keuntungan modal dari segi kenaikan modal yang dilaburkan. Sekiranya ekonomi berkembang, harga REITs boleh meningkat pada harga yang lebih tinggi daripada harga belian.

Jika pelabur membeli REITs pada harga RM1.50, tibatiba harga jatuh kepada RM1.30 ketika krisis ekonomi. Namun begitu, para pelabur masih dapat menikmati kadar dividen sekitar 7% hingga 15% setahun. Ini tidak berlaku pada pelabur di dalam unit amanah.

Bagaimana Membeli REITs?

Membeli ataupun melabur dalam REITs yang diniagakan di Bursa Saham adalah sama dengan membeli saham-saham lain di pasaran. Ini bermakna, pelabur perlu membuka akaun Sistem Pendeposit Berpusat (CDS) dengan mana-mana broker saham, seperti Maybank Investment, OSK investment, ECM Libra dan sebagainya. Kemudian pelabur perlu memiliki akaun urus niaga untuk membeli saham tersebut.

Risiko Melabur dalam REITs

Risiko melabur di dalam REITs sebenarnya agak minimum. Walaupun begitu, terdapat beberapa REITs yang mempunyai risiko yang agak tinggi. Sebagai contoh, REITs yang digunakan untuk membeli hartanah, seperti ruang pejabat, gudang dan hotel lebih berisiko jika berbanding dengan REITs yang membeli hartanah seperti hospital dan tanah perladangan.

Risiko lain ialah kerajaan Malaysia telah menaikkan cukai kepada pendapatan REITs daripada 10% kepada 15% pada tahun 2012, sedangkan 10% pun sudah dikira paling mahal di dunia. Negara-negara lain seperti Singapura, Jepun dan banyak negara lagi tidak mengenakan sebarang cukai ke atas dividen REITs. Walaupun begitu, 15% cukai ke atas dividen REITs adalah rendah berbanding cukai korporat yang dikenakan jika seseorang pelabur membeli saham dan memperolehi dividen.

Namun, ramai pelabur asing tidak berminat membeli REITs di Malaysia disebabkan cukai tersebut. Bagi mereka melabur di negara lain adalah lebih baik berbanding Malaysia dalam sektor REITs.

Menilai REITs

Secara kesimpulannya, REITs dinilai bergantung kepada hartanah yang dimiliki, peratusan sewaan premis tersebut, kadar dividen, pengurusan hartanah dan nilai aset bersih.

Biasanya harga REITs tidak banyak berbeza dengan nilai aset bersih sesuatu REITs.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 89/September 2017

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button