PenggunaPengurusan Kewangan

Amalan Pembiayaan Yang Bertanggungjawab

Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan Garis Panduan Amalan Pembiayaan yang Bertanggungjawab. Garis panduan ini bertujuan untuk menggalakkan amalan yang bertanggungjawab kepada pemberi pinjaman dan peminjam. Selain itu, ia juga menggalakkan sektor isi rumah supaya lebih berdaya tahan dan mewujudkan pasaran kredit yang berhemat. Garis panduan ini turut memberi perlindungan yang lebih baik kepada pengguna kewangan.

Skop garis panduan

Garis panduan ini terpakai ke atas pembiayaan yang baru dan pembiayaan tambahan yang ditawarkan kepada pelanggan individu dan pemilik tunggal (iaitu pembiayaan yang dipohon atas nama individu) seperti:-

(i) pembiayaan rumah;

(ii) pembiayaan persendirian termasuk kemudahan overdraf;

(iii) pembiayaan kenderaan;

(iv) kredit dan kad caj; dan

(v) pembiayaan untuk pembelian sekuriti, kecuali untuk pembiayaan saham yang ditadbir di bawah peraturan-peraturan Bursa Malaysia.

Tarikh kuat kuasa garis panduan

Garis panduan ini akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2012. Namun begitu, keperluan yang mengehadkan tempoh matang pembiayaan kenderaan kepada 9 tahun terpakai kepada semua permohonan pembiayaan kenderaan yang diterima mulai 18 November 2011.

Tanggungjawab Peminjam

Sebelum memohon pinjaman baru, peminjam perlu:

  • Mengira jumlah bayaran balik bulanan yang mereka mampu berdasarkan pendapatan, perbelanjaan harian dan keperluan asas (seperti makanan, pakaian, rumah dan bil utiliti, kesihatan dan ubat-ubatan, pengangkutan, pendidikan) dan pembayaran balik hutang yang sedia ada.
  • Mengambil kira kenaikan kadar faedah atau sebarang perubahan pada masa hadapan yang mungkin menjejaskan pendapatan atau perbelanjaan mereka.
  • Membuat perbandingan tentang kadar pembiayaan, ansuran bulanan, jumlah pembayaran balik dan ciri-ciri produk.
  • Mendapatkan salinan Lembaran Penzahiran Produk atau Product Disclosure Sheet (PDS) yang mengandungi semua maklumat yang berkaitan dengan produk pembiayaan.

Peminjam bertanggungjawab untuk memberikan maklumat yang tepat dan menyediakan dokumendokumen sokongan yang berkaitan untuk membolehkan institusi kewangan menilai kemampuan peminjam untuk membayar balik pinjaman. Peminjam perlu membaca PDS dan perjanjian pinjaman dengan teliti serta memahami terma-terma dan caj berkaitan serta tanggungjawab peminjam sebelum menandatangani sesuatu perjanjian.

Tanggungjawab Institusi Kewangan

Dalam menilai kemampuan peminjam, institusi kewangan akan mengambil kira nisbah khidmat hutang (debt servicing ratio) untuk menilai sama ada peminjam mampu untuk membayar balik keseluruhan pinjaman sepanjang tempoh pembiayaan. Di samping itu, institusi kewangan akan mengambil kira faktor-faktor lain seperti sejarah pembayaran balik dan skor kredit pelanggan.

Kakitangan atau wakil pemasaran dikehendaki mengambil kira kepentingan dan keadaan peminjam dengan meneliti keperluan dan kedudukan kewangan peminjam bagi memastikan bahawa produk pembiayaan yang ditawarkan adalah sesuai untuk memenuhi keperluan peminjam. Kakitangan atau wakil pemasaran tidak boleh mengganggu, memberi tekanan atau memaksa pengguna untuk menandatangani perjanjian produk pembiayaan.

Untuk maklumat lanjut tentang garis panduan ini, sila hubungi Bank Negara Malaysia:-

BNMLINK (Pusat Perhubungan Pelanggan)
Tel : 1-300-88-5465
Fak : (03)2174 1515
E-mail : bnmtelelink@bnm.gov.my

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 19/November 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button