Pelan Perbelanjaan

Aliran Wang Tunai bagi Keluarga Besar

Memang menjadi tanggungjawab setiap ketua keluarga untuk memastikan aliran wang tunai keluarga sentiasa berada dalam keadaan lebihan atau surplus. Hal ini dapat dilihat sekiranya wang masuk pada setiap bulan dapat digunakan untuk membayar semua perbelanjaan keluarga dan sekiranya anda mempunyai simpanan, maka keadaan ini dikatakan anda mempunyai lebihan wang. Sebaliknya, jika wang keluar melebihi wang masuk, keadaan ini bertukar menjadi defisit.

Seringkali menjadi kelaziman apabila seseorang itu terperangkap dalam kitaran kewangan. Akhir bulan, apabila mendapat gaji, wang itu digunakan untuk perbelanjaan dan sebelum akhir bulan, gaji habis digunakan, tanpa berbaki. Jika ditanya, “Ke mana wang anda?” mungkin ramai yang tidak tahu. Sedar-sedar gaji sudah habis. Ada juga yang bertanya sendiri, “Ke mana saya belanjakan gaji saya?”

Sistem Sampul

Hajah Rohani, seorang penulis buku berkaitan pengurusan kewangan peribadi, telah berkongsikan kejayaan sepasang usahawan muda di Pontian, Johor dalam mengendalikan kewangan keluarga mereka. Si isteri menggunakan sistem sampul surat dengan meletakkan wangnya dalam sebuah dompet berbentuk fail. Saiznya lebih besar sedikit daripada dompet wanita biasa dan mempunyai poket berasingan untuk diisikan wang. Keluarga ini berjaya membuat perancangan kewangan walaupun mempunyai keluarga yang besar.

Bagi keluarga yang mempunyai ramai anak, pemantauan terhadap penggunaan wang sangat penting. Maka menggunakan sistem sampul ini boleh dijadikan sebagai contoh. Sediakan wang secukupnya bagi setiap perbelanjaan yang akan dibuat pada setiap bulan. Secara ringkas, bagi mereka yang berkeluarga besar, mereka perlu meneliti perbelanjaan seperti di bawah:-

  • Rumah
  • Dapur
  • Anak
  • Kelengkapan diri
  • Pakaian
  • Kenderaan
  • Kesihatan
  • Takaful
  • Bahan bacaan
  • Hiburan
  • Zakat
  • Hutang
  • Lain-lain

Bagi perbelanjaan anak-anak, perkara berikut perlu diambil kira:

  • Yuran sekolah / IPTA
  • Duit poket / elaun pelajar
  • Bas sekolah / minyak motokar
  • Pakaian sekolah, kasut, stoking, baju dan seluar sukan dan seragam persatuan
  • Tuisyen
  • Peralatan sekolah / IPTA
  • Sewa rumah – pelajar IPTA
  • Peruntukan minyak kereta dan tol – lawatan anak berasrama
  • Belian makanan untuk anak berasrama / IPTA

Kenal Pasti Perbelanjaan

Sekiranya anda berjaya merekodkan semua perbelanjaan bulanan secara terperinci, barulah penjimatan boleh dirancang apabila sudah mengenal pasti di mana wang telah dibelanjakan. Perbelanjaan dapur adalah satu ruang untuk anda berjimat.

Penulis menyatakan telah menonton satu program memasak Rachael Ray, tentang sebuah keluarga yang mempunyai lapan orang anak pergi ke pasar raya bersama-sama dengan menu mingguan dan kalkulator. Si ibu telah meminta tip untuk mempelbagai menu hariannya supaya anak tidak bosan dengan apa yang dihidangkan berdasarkan kemampuan keluarga. Ibu ini mengambil kira sehingga kepada sen terakhir, berapakah harus dibelanjakan supaya mencukupi keperluan asas keluarga.

Sumber: Cukupkah Wang Anda?, Hajah Rohani Datuk Mohd Shahir, Galeri Ilmu Sdn Bhd.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button