Pengguna

Akta Perlindungan Data Peribadi 2010

Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) telah dikuatkuasakan pada 15 November 2013 yang lalu. Syarikat dan sektor yang termaktub di bawah akta ini mempunyai masa selama 3 bulan bagi memastikan bahawa mereka mengambil langkah yang sewajarnya dan notis pematuhan perlu diberikan kepada pengguna sedia ada bagi mematuhi peruntukan di bawah akta tersebut.

Fungsi utama akta ini adalah bertujuan untuk menjaga maklumat peribadi pengguna di samping mengelakkan syarikat-syarikat swasta daripada mengambil kesempatan atau mengaut keuntungan dengan menyalurkan data-data tersebut kepada pihak ketiga.

Mengikut PDPA, data peribadi yang diperuntukkan di bawah akta ini adalah data peribadi yang digunakan bagi tujuan transaksi komersial. Contohnya, data peribadi yang diperoleh semasa proses jual dan beli sesuatu komoditi atau perkhidmatan merupakan data yang perlu dilindungi oleh syarikat yang berkenaan. Penerangan ini juga merangkumi data sensitif seperti, pendapat mengenai politik, kepercayaan agama, keadaan kesihatan fizikal atau mental dan data peribadi lain yang ditentukan oleh Menteri melalui perintah yang diwartakan.

Persetujuan pengguna merupakan syarat paling penting bagi syarikat untuk menjalankan aktiviti atau transaksi perniagaan mereka. Persetujuan ini mesti diberikan secara nyata seperti persetujuan bertulis dan bukannya persetujuan berdasarkan andaian semata. Selain itu, pengguna juga diberikan hak untuk mengakses kembali data-data yang telah diberikan

kepada syarikat yang terlibat. Apabila pengguna telah memberikan persetujuan bagi menggunakan data mereka, pengguna perlu diberikan pilihan untuk memilih cara bagi mendapatkan maklumat baru daripada syarikat tersebut sama ada melalui panggilan telefon, SMS ataupun e-mel.

Untuk makluman, terdapat 11 sektor swasta yang wajib mematuhi PDPA iaitu:

  1. Sektor Komunikasi;
  2. Sektor Perbankan dan Institusi Kewangan;
  3. Sektor Insurans;
  4. Sektor Kesihatan;
  5. Sektor Pelancongan dan Hospitaliti;
  6. Sektor Pengangkutan;
  7. Sektor Pendidikan;
  8. Sektor Jualan Langsung dan Pemasaran Langsung;
  9. Sektor Perkhidmatan;
  10. Sektor Hartanah;
  11. Sektor Utiliti

PDPA telah memperuntuk bahawa syarikat yang melanggar akta ini boleh dikenakan denda atau penjara atau kedua-duanya sekali. Selain itu, pengguna juga boleh menuntut pampasan jika mereka mendapati data peribadi mereka digunakan tanpa kebenaran oleh syarikat yang terbabit. Namun harus diingatkan bahawa, walaupun Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia merupakan pengawal selia akta ini, namun sebarang tindakan untuk menuntut pampasan mestilah melalui proses mahkamah dan bukan melalui JPDP. Namun begitu, pengguna digalakkan supaya membuat aduan kepada JPDP melalui e-mel, iaitu aduan@pdp.gov.my jika data mereka disalahgunakan supaya tindakan dapat diambil ke atas syarikat yang melanggar PDPA.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) di talian 03-7877 9000 atau myAduan@nccc.org.my.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 46/Februari 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button