Pengurusan Hutang

Akibat Skim Cepat Kaya

Seseorang kakitangan yang berpengalaman di sesebuah industri yang memerlukan kepakaran tertentu sememangnya dibayar gaji lumayan setiap bulan. Dengan pendapatan sedemikian, mereka mampu untuk memiliki aset yang diingini di samping taraf kehidupan yang lebih baik berbanding kebanyakan orang lain. Apatah lagi jika mereka ini pandai menguruskan aset-aset yang mereka miliki. Namun begitu, disebabkan sifat tamak haloba yang bersarang di hati, kesenangan yang dikecapi akan hilang sekelip mata.

Seorang pegawai teknikal yang dikenali sebagai Amran (bukan nama sebenar) sebelum ini mendapat pendapatan yang lumayan antara RM10,000 hingga RM15,000 sebulan. Dengan pendapatan tersebut, beliau mampu memberi kebahagiaan kepada keluarganya. Semua anaknya dihantar belajar di sekolah swasta. Namun, disebabkan terpikat dengan skim pelaburan emas yang dijalankan oleh seorang rakannya, yang kononnya menjanjikan pulangan menarik, ditambah dengan contoh rakan yang telah berjaya mendapat habuan, maka tanpa berfikir panjang dan merujuk mana-mana pihak, Amran telah melabur dengan skim tersebut.

Pada mulanya dia melabur sebanyak RM50,000. Setelah yakin dengan pulangan menarik, malah lebih tinggi daripada yang ditawarkan oleh agensi pelaburan lain, beliau membuat pinjaman peribadi bagi membolehkannya melabur sebanyak RM155,000. Walaupun kontrak pekerjaannya akan tamat selepas itu, Amran yakin pulangan yang akan diperoleh pada setiap bulan daripada pelaburan berkenaan akan dapat menampung kos kehidupan keluarganya, termasuk menjelaskan bayaran ansuran bulanan bagi semua hutang bank.

Beberapa bulan kemudian, Amran mendapati pihak penganjur mula gagal membayar pulangan seperti yang dijanjikan, dan ada ketikanya tertangguh. Apabila ditanya kepada rakan penganjur berkenaan, mereka juga gagal membantu dan memintanya menghubungi terus syarikat berkenaan yang berpusat di utara Semenanjung. Disebabkan tertekan dengan pelbagai masalah, termasuk panggilan daripada bank dan juga agen kutipan disebabkan kegagalan menjelaskan ansuran pinjaman, Amran berusaha untuk mendapatkan bantuan. Dia kemudiannya terlihat iklan mengenai Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di kaca televisyen.

Tanpa membuang masa, dia terus ke cawangan AKPK Kuala Terengganu dan berbincang masalah dengan kaunselor AKPK. Setelah berunding, kaunselor AKPK menstruktur pinjaman-pinjamannya kembali dan mengurangkan komitmen bulanan kepada bank.

Sumber: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button