Pengurusan HutangPengurusan KewanganPinjaman

Akibat Menangguh Bayaran Balik Pinjaman

 

Ada masanya anda terlewat membuat bayaran untuk pinjaman anda. Mungkin anda beranggapan ia bukan sesuatu perkara yang besar. Anda perlu membuang tanggapan tersebut. Sama ada pinjaman peribadi, pinjaman perumahan, kad kredit ataupun pinjaman pendidikan, anda bakal berhadapan akibat buruk jika anda lewat membayar balik pinjaman. Anda perlu membayar lebih sama ada pembayaran balik untuk pinjaman peribadi ataupun kad kredit, anda akan dikenakan caj penalti bayaran lewat dan juga caj-caj lain. Selain itu, anda juga perlu tahu tentang sistem bayaran berperingkat yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia. Akibat daripada lewat membayar balik pinjaman, pihak bank berhak untuk meningkatkan kadar faedah yang dikenakan kepada anda. Kadar faedah berperingkat ini adalah untuk kad kredit. Contohnya jika anda mempunyai kad kredit yang dikenakan kadar faedah 15% setahun, caj untuk kadar faedah akan dinaikkan jika anda kerap lewat membayar balik pinjaman. Sistem yang dilaksanakan pada Jun 2008 itu bertujuan untuk meningkatkan disiplin kewangan serta penggunaan berhemah dalam kalangan pengguna kad kredit. Kadar faedah berperingkat untuk kad kredit adalah seperti berikut:

  • Peringkat 1 – Kadar faedah maksimum 15% setahun (untuk pemegang kad kredit yang melangsaikan bayaran minimum bulanan bagi 12 bulan berturut-turut)
  • Peringkat 2 – Kadar faedah maksimum 17% setahun (untuk pemegang kad kredit yang melangsaikan bayaran minimum bulanan sekurang-kurangnya 10 bulan dalam tempoh 12 bulan)
  • Peringkat 3 – Kadar faedah maksimum 18% setahun.

Untuk pinjaman rumah dan pinjaman peribadi, bank turut berhak meningkatkan kadar faedah jika anda sering lewat membuat bayaran balik. Oleh yang demikian, lebih selamat jika anda berdisiplin dalam pembayaran balik pinjaman anda.

Risiko Kehilangan Aset Anda

Untuk pinjaman perumahan dan pinjaman kenderaan, selain risiko bayaran balik yang lebih tinggi seperti yang telah dibincangkan di atas, aset yang anda beli melalui pinjaman tersebut (rumah atau kereta) juga boleh ditarik oleh pihak bank jika anda kerap lewat atau tidak membuat bayaran balik. Oleh itu, pastikan anda membayar balik tepat pada masanya untuk mengelakkan aset anda ditarik.

Selain daripada perlu melangsaikan caj tambahan kerana lambat membayar pinjaman, anda juga perlu menanggung kos tambahan jika kereta anda ditarik. Walaupun anda telah melangsaikan bayaran tersebut, anda terpaksa menunggu surat pengesahan dari bank sebelum anda boleh menuntut kembali kereta anda. Anda harus sedar bahawa lewat membayar balik pinjaman akan menambah kos dan juga menyusahkan anda pada kemudian hari.

Bagi pinjaman rumah pula, jika anda lewat atau tidak melakukan bayaran balik, ia boleh mendatangkan risiko rumah anda dilelong oleh bank. Pastikan anda membuat bayaran balik segera dan jangan panik terutamanya apabila telah menerima perintah mahkamah yang rumah anda akan dilelong. Pastikan anda tidak terlepas jadual pembayaran, kerana kesannya adalah lebih buruk. Ingat, selagi anda belum melangsaikan bayaran balik sepenuhnya, rumah anda masih lagi milik bank.

Anda Sukar untuk Memohon Pinjaman atau Perkhidmatan Kewangan Lain pada Masa Akan Datang

Jika kerap lewat atau tidak membayar balik pinjaman, anda bakal berhadapan dengan kesukaran untuk mendapat akses kepada kemudahan perkhidmatan kewangan yang lain pada masa akan datang. Corak pembayaran anda itu akan direkod dalam skor atau laporan kredit anda yang menjadi panduan bagi bank, pemberi pinjaman malah juga segelintir tuan rumah sebelum mereka meluluskan permohonan anda.

Dengan skor atau laporan kredit yang buruk akibat corak pembayaran yang tidak menentu, bank bakal mengenakan kadar faedah yang lebih tinggi untuk anda, permohonan pinjaman akan ditolak, dan tuan rumah mungkin keberatan untuk menyewakan hartanahnya kepada anda. Malah, skor atau laporan kredit juga boleh menjadi penentu sama ada anda bakal diambil bekerja ataupun tidak, terutamanya untuk pekerjaan dalam sektor kewangan. Seperti yang telah dimaklumkan, skor atau laporan kredit memainkan peranan penting dalam aspek kewangan dan kehidupan anda. Cara untuk menambah baik skor atau laporan kredit anda amat mudah, iaitu berdisiplin dalam pembayaran balik pinjaman anda.

Sumber: comparehero.my/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 107/Mac 2019

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button