Skip to toolbar
Pelan PerbelanjaanPelan PerlindunganPenggunaPengurusan HutangPengurusan Kewangan

Akibat Meminjam Dengan Pemberi Pinjaman Wang Tidak Berlesen

Anda mungkin pernah mendengar perkataan Pemberi Pinjaman Wang Tidak Berlesen atau sering dikenali sebagai ‘along’, akan terbayang simbahan cat merah di rumah/kereta, samseng dan iklan-iklan ditampal pada tiang lampu, pondok telefon dan sebagainya. Ini adalah modus operandi along yang terdahulu dan sekarang ia sudah bertukar modus operandi. Mereka mula menjalankan kegiatan haram  melalui platform media sosial dengan taktik pinjaman ‘mudah lulus’.

Walaupun ramai yang mengetahui akan pelbagai risiko apabila meminjam wang dengan along ini, namun masih ramai yang sanggup berurusan dengan mereka kerana terdesak untuk mendapatkan wang. Tambahan pula proses pinjaman oleh along ini mudah dan tidak memerlukan dokumen yang banyak seperti yang diperlukan oleh pihak bank.

Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh The Star pada Jun 2019, sebanyak 170,000 daripada 1.6 juta kakitangankerajaan atau 11% daripada keseluruhan kakitangan kerajaan yang meminjam terbabit dengan penipuan pinjaman dengan jumlah kerugian sebanyak RM340 juta dengan alasan terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Jika kakitangan kerajaan terbeban, bagaimana dengan yang lain?

Pinjaman yang diberi oleh pihak along adalah sangat mudah untuk mendapat kelulusan kerana ia akan diluluskan dalam masa sehari sahaja. Malahan, ia tidak perlu berurusan dengan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) atau agensi pelaporan kredit yang lain seperti CTOS dan tiada sebarang dokumen yang diperlukan.

Hal ini menunjukkan walaupun individu itu tidak mempunyai latar belakang kredit yang memuaskan, ia masih boleh mendapatkan pinjaman. Jika anda terfikir untuk meminjam daripada along, fikir seketika  kerana terdapat banyak akibat yang bakal menimpa anda jika meminjam dengan along.

1. Adakah anda pernah mendengar ‘sepuluh tiga’?

Maksud sepuluh tiga merujuk pada kadar faedah yang dikenakan oleh along iaitu kadar faedah yang  dikenakan adalah sebanyak 3 sen daripada setiap 10 sen. Ia seolaholah anda perlu membayar jumlah yang sedikit. Jangan terpedaya! 3 sen daripada setiap 10 sen bermaksud 30% kadar faedah yang sebenar. Kadar faedah yang dikenakan bukan mengikut tahun akan tetapi ia adalah untuk setiap bulan.  Katakan anda ingin meminjam RM1,000, kadar faedah yang dikenakan pula adalah sebanyak RM300 setiap bulan.

Jika kadar ‘sepuluh tiga’ tidak membuat anda cukup takut, terdapat juga kadar sepuluh empat dan sepuluh lima, bergantung pada amaun yang dipinjam dan status kredit peminjam. Tidak mustahillah kadar faedah yang tinggi ini akan mendatangkan huru-hara ke atas hidup peminjam.

2. Anda tidak dibenarkan untuk membuat bayaran penuh.

Jika anda fikir anda boleh menyelesaikan hutang along dengan mudah, anda silap! Baru-baru ini, terdapat berita berkenaan seorang lelaki yang masih diganggu oleh along walaupun telah membayar sebanyak RM120,000 untuk menjelaskan sebahagian hutangnya. Mengapa boleh jadi begini?

Tidak kisahlah jika anda mempunyai sejumlah wang yang banyak untuk menyelesaikan hutang sekalipun, kebanyakan along tidak menerimanya kerana ia tidak membawa sebarang keuntungan kepada mereka. Seperti bank, along mendapatkan keuntungan daripada kadar faedah yang mereka kenakan. Realiti yang anda perlu tahu ialah along tidak peduli akan kesusahan hidup anda. Mereka hanya ingin mengambil kesempatan dalam kesempitan anda untuk mengaut keuntungan.

3. Barang peribadi anda akan dijadikan wang jaminan

Bagi memastikan anda tidak lari dan sentiasa membayar hutang, along akan mengambil barang peribadi yang penting seperti pasport, kad bank, bahkan kad pengenalan untuk dijadikan wang jaminan atau cagaran. Mungkin ada yang bertanya, “Bolehkah mereka buat sedemikian?”. Mengikut undang-undang, mereka tidak boleh berbuat demikian. Namun memandangkan perniagaan mereka sendiri adalah tidak berlesen, mereka memang tidak peduli akan tindakan undang-undang dan akan memastikan anda sentiasa terikat dengan mereka.

Ini boleh menimbulkan masalah lain dan ada kemungkinan bahawa along ini akan menyalahgunakan butiran peribadi anda tanpa pengetahuan anda. Sebagai contoh, along mungkin akan menggunakan maklumat anda untuk memohon pinjaman lain atau memanfaatkannya untuk kegunaan sindiket lain seperti kecurian identiti dan menjadikan akaun bank anda sebagai keldai akaun.

4. Terma dan syarat sering berubah

Cara along melakukan kerjanya lain daripada cara operasi bank dan institusi kewangan yang lain.  pelbagai dokumen yang anda perlu sediakan jika berurusan dengan bank dan institusi kewangan. Tetapi jika berurusan dengan along, anda hanya perlu menelefon mereka dan menandatangani perjanjian tanpa terma dan syarat yang jelas dan terus boleh memperoleh wang!

Along boleh menukar terma dan syarat perjanjian sesuka hati. Contohnya, mungkin hari ini mereka menawarkan 10% kadar faedah tetapi selepas dua bulan, mereka boleh mengenakan kadar faedah yang lebih tinggi dan memaksa peminjam untuk percaya bahawa ia termasuk dalam yuran pemprosesan. Bukan itu sahaja, peminjam yang lewat membuat bayaran akan dikenakan caj sebanyak RM500 bagi setiap 30 minit lewat bayaran.

5. Tidak mampu untuk membayar? Pinjam dengan along lain untuk menyelesaikan hutang

Terdapat banyak tipu muslihat yang digunakan oleh along yang anda mungkin tidak sedar. Jika anda mempunyai alasan tidak mampu membayar hutang, mereka bukan sahaja akan mengacau dan mengugut secara fizikal dan mental, malah mereka akan memaksa anda untuk membuat pinjaman dengan along yang lain untuk anda membayar balik hutang mereka. Kaedah yang digunakan oleh pihak along tidak sama seperti kaedah penyatuan hutang dengan bank, sebaliknya anda perlu membayar lebih banyak kadar faedah.

Pinjamlah daripada institusi kewangan yang berlesen

Jangan menjadi mangsa dalam skim pinjaman mudah ini kerana ia akan memudaratkan anda. Anda dinasihatkan agar tidak membuat pinjaman daripada along dalam apa jua keadaan sekalipun.

Sumber: loanstreet.com.my/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 108/April 2019

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button