Skip to toolbar
Pelan PendapatanPerangkap Kewangan

Akaun Keldai

Buletin Ringgit

Seorang gadis mendakwa menjadi mangsa ‘akaun keldai’ yang membabitkan transaksi wang lebih RM100,000.

“Aqila (bukan nama sebenar), 21, mencari iklan kerja melalui Facebook dan tertarik dengan satu iklan jawatan kosong. Beliau menghubungi nombor telefon yang tertera dalam iklan itu dan diterima bekerja. Beliau diminta untuk memberikan semua butiran peribadi termasuk nombor akaun bank dan dimaklumkan bahawa gajinya dikira sebanyak RM50 setiap kali membuat pemindahan wang secara online. Ratusan transaksi masuk ke akaunnya dalam pelbagai jumlah (RM10,000, RM7,000, RM16,000 dan RM22,879), sehinggalah namanya tular di media sosial kerana menipu sebagai penjual topeng muka. Beliau akhirnya tersedar segala butiran peribadinya digunakan untuk tujuan penipuan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.”

Kisah Aqila ini boleh dijadikan sebagai pengajaran kepada pengguna supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah tertipu.

Apa itu Akaun Keldai

Akaun bank yang digunakan oleh orang lain tanpa disedari ataupun secara sukarela oleh pemilik akaun tersebut bagi mendapatkan habuan mahupun dengan cara penipuan untuk transaksi kewangan yang tidak sah atau menyalahi undang-undang.

Kumpulan sasaran Sindiket biasanya mendapatkan akaun keldai (juga dikenali sebagai akaun tumpang) ini dengan memperdaya golongan yang memerlukan pendapatan lebihan serta mempunyai tahap celik kewangan yang rendah. Antara golongan yang sering menjadi mangsa termasuklah:

  • Suri rumah
  • Penganggur
  • Pelajar
  • Warga emas

Bagaimanakah orang terpedaya?

  • Tawaran upah lumayan mencecah ribuan ringgit untuk membuka atau menyerahkan akaun bank bagi kegunaan pihak ketiga.
  • Modus operandi yang menggunakan tawaran peluang pekerjaan sebagai cara bagi mendapatkan akses kepada akaun bank mangsa. Mangsa dikehendaki menyerahkan butiran akaun bank termasuklah nombor PIN kad ATM sebagai syarat diterima bekerja dengan pihak sindiket akaun keldai.
  • Terdapat juga syarikat peminjam wang tidak berlesen yang memperdaya peminjam untuk menyerahkan akaun bank mereka sebagai cagaran pinjaman tersebut. Namun pada hakikatnya, pihak sindiket menggunakan akaun bank sebagai akaun keldai.

Tanggungjawab sebagai pemegang akaun bank Setiap pemegang akaun bank bertanggungjawab sepenuhnya ke atas apa jua transaksi dan maklumat perbankan peribadi mereka. Pemegang akaun tidak sepatutnya mendedahkan atau berkongsi apa jua maklumat perbankan peribadi dengan orang lain. Juga, pemegang akaun tidak seharusnya memberi maklumat perbankan peribadi mereka sewenang-wenangnya untuk apa-apa tujuan sekalipun, walaupun untuk tujuan permohonan pekerjaan mahupun pinjaman dengan mana-mana pihak. Selidik terlebih dahulu latar belakang dengan siapa kita berinteraksi.

Implikasi terhadap pemegang akaun keldai

Sekiranya seseorang terjebak menjadi pemegang akaun keldai, individu tersebut boleh disekat daripada menggunakan akaun bank tersebut dan akaun berkenaan boleh ditutup oleh pihak bank. Individu tersebut akan mengalamai kesukaran berurusan dengan bank di masa hadapan.

Malah, pemegang akaun keldai boleh disabitkan dengan kesalahan jenayah sekira terbukti dengan sengaja menjadikan diri alat untuk melakukan transaksi menyokong aktiviti yang menyalahi undang-undang. Antara implikasi lain termasuklah:

  • Kesukaran untuk menerima pendapatan seperti gaji bulanan melalui akaun bank.
  • Kemungkinan kehilangan pekerjaan yang sedia ada atau sukar mendapat peluang pekerjaan lain.
  • Kesukaran untuk menjalankan perniagaan memandangkan reputasi telah tercemar.

Justeru itu, amatlah penting untuk orang ramai mengelakkan diri daripada membiarkan pihak sindiket menggunakan akaun bank mereka sebagai akaun keldai. Pesanlah kepada rakan taulan dan sanak saudara supaya kita tidak terjebak dengan akaun keldai ini sama sekali.

Sekiranya ada sebarang pertanyaan, sila hubungi Bank Negara Malaysia melalui:
Telefon: 1-300-88-5465 (BNMTELELINK)
Webform: https://telelink.bnm.gov.my/

Sumber: Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 112/Julai 2020

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button