Skip to toolbar
Pelan Pendapatan

Jadikan Minat Membeli-Belah Sebagai Peluang Peniagaan

Istilah personal shopper atau pembeli-belah peribadi mungkin kedengaran asing kerana perkhidmatan ini masih lagi baharu dalam pasaran. Secara amnya, ia merupakan perkhidmatan berbayar yang akan membantu pelanggan membeli barangan yang diingini, daripada proses perundingan peribadi, pembelian hingga kepada penghantaran barang.

Bagi mereka yang gemar membeli-belah, ini seperti kerjaya impian! Namun, untuk menjadi pembeli-belah peribadi yang berjaya, anda memerlukan kemahiran dan ilmu yang betul.

Di Malaysia, semakin banyak tawaran perkhidmatan pembeli-belah peribadi yang disediakan, sama ada secara sepenuh atau separuh masa, dengan sokongan media sosial serta permintaan pelanggan yang meningkat.

Cari Kategori yang Sesuai

Sebelum menjadi pembeli-belah peribadi, anda perlu mengenal pasti produk di pasaran seperti pakaian wanita, pakaian lelaki, perabot, barangan runcit, dan lain-lain, serta jenis permintaan yang wujud. Jika produk boleh dibeli dengan mudah dari laman sesawang seperti Lazada atau Zalora, agak sukar untuk anda fokus terhadap produk atau kategori tersebut.

Anda juga perlu mengkaji permintaan produk tersebut serta lokasi yang bakal menjadi sasaran perkhidmatan anda. Jika anda berada di kawasan pinggir bandar dengan permintaan tinggi untuk produk dan jenama tertentu, ia merupakan strategi yang baik untuk menjadi pembeli-belah peribadi di kawasan tersebut.

Pada masa ini, terdapat dua jenis pembeli-belah peribadi di Malaysia, iaitu mereka yang memberi tumpuan terhadap produk tempatan, dan pembeli-belah produk antarabangsa. Bagi fokus dalam negara, syarikat seperti Helpr.my dan GoGet merupakan antara yang terkemuka dalam menawarkan perkhidmatan ini, di samping pembeli-belah peribadi lain yang menjadikannya sebagai pekerjaan sampingan mereka seperti jurusolek dan perunding kecantikan.

Kebanyakan pembeli-belah peribadi ini mengambil peluang menggunakan kuasa media sosial sepenuhnya seperti Instagram, Facebook, dan YouTube untuk mempromosi dan menawarkan perkhidmatan mereka.

Namun, anda jangan terkeliru dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pembeli-belah peribadi dan peniaga dalam talian. Pembeli-belah peribadi memberikan pendapat pakar untuk memastikan produk yang anda beli sesuai dan berbaloi, dengan menawarkan perkhidmatan khusus untuk pelanggan, berdasarkan prinsip setiap pelanggan adalah unik dan memiliki keistimewaan tersendiri. Peniaga dalam talian pula hanya menjual produk kepada pembeli.

Berapa Bayaran yang Diterima?

Bergantung kepada perkhidmatan yang anda tawarkan, sama ada secara sambilan atau sepenuh masa, bayaran bagi perkhidmatan pembeli-belah peribadi berbeza antara satu kategori produk dengan kategori yang lain. Untuk pembeli-belah peribadi sepenuh masa yang bekerja dengan syarikat, gaji permulaan (untuk pekerja tanpa pengalaman) adalah daripada RM1,500 – RM2,500 sebulan.

Sesetengah syarikat mula niaga (startup) turut menawarkan peluang pekerjaan pembeli-belah peribadi secara sambilan, terutamanya kepada suri rumah dan pelajar. Bayaran yang diberikan sekitar RM15 – RM25 sejam.

Bagi pembeli-belah peribadi perseorangan pula, bayaran yang bakal diterima bergantung kepada kemahiran untuk berunding dengan pelanggan serta nama baik perkhidmatan. Setakat ini, belum ada lagi maklumat mengenai kadar bayaran semasa untuk pembeli-belah peribadi. Helpr.my mengenakan caj perkhidmatan antara 8% – 12% daripada harga barang kepada pelanggan. Jika anda berhasrat untuk menjadi pembeli-belah peribadi, kadar ini boleh dijadikan sebagai rujukan.

Walaupun pekerjaan ini mempunyai skop kerja yang menarik, namun terdapat cabaran utama dalam industri ini, iaitu menyediakan katalog perkhidmatan dan menawarkan caj yang berpatutan. Untuk cabaran yang pertama, anda perlu menyediakan katalog yang mesra pengguna dengan maklumat yang tepat, kerana maklumat bagi sesetengah jenama adalah banyak dan mudah berubah.

Malah, pembeli-belah peribadi juga perlu mengkaji caj untuk kos operasi dan caj yang bersesuaian untuk dikenakan kepada pelanggan. Jumlah belian minimum dan caj perkhidmatan perlu dihuraikan dengan jelas agar pelanggan merasakan perkhidmatan anda berbaloi untuk digunakan.

Jika anda berhasrat untuk menceburi industri pembelibelah peribadi, berikut ialah langkah-langkah yang perlu anda ambil:

1. Tubuhkan perniagaan anda

Pilih kategori yang anda rasakan sesuai (perabot, fesyen, gajet), dan reka platform untuk memasarkan perkhidmatan anda (laman sesawang, akaun media sosial). Pilih kategori dan produk yang memiliki permintaan yang tinggi.

2. Sertai syarikat yang menawarkan perkhidmatan ini

Anda boleh mencari syarikat yang menawarkan kerjaya pembeli-belah peribadi profesional sepenuh masa. Hantar resume ke syarikat-syarikat seperti Helpr.my, HonestBee, atau HappyFresh Malaysia dan menjadi pembeli-belah peribadi dalam kategori yang anda gemari.

3. Pekerjaan sambilan sewaktu melancong

Anda merancang untuk melancong ke luar negara? Ambil peluang untuk menjana pendapatan sampingan. Lakukan kajian mengenai produk negara tersebut yang popular di Malaysia ataupun jenama-jenama antarabangsa yang dijual murah (biasanya aksesori dan pakaian). Namun anda perlu mengetahui tentang cukai yang dikenakan untuk membawa masuk barang tersebut ke dalam negara.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 102/Oktober 2018

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button