Pelan Pelaburan

ADAM50 : Amanah Dana Anak Malaysia 2050

Semasa pembentangan Bajet 2018 yang lalu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, telah mengumumkan mengenai Amanah Dana Anak Malaysia 2050 atau lebih ringkas disebut sebagai ADAM50.

Secara ringkasnya, ADAM50 ialah insentif yang diberikan kepada semua bayi warganegara Malaysia yang lahir bermula pada 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2022.

Insentif ini adalah dalam bentuk dana berjumlah RM200 yang diberi secara percuma sebagai dana permulaan tabungan sama ada di dalam dana Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi bayi Bumiputera atau dana Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) bagi bayi bukan Bumiputera.

Objektif utama insentif ini adalah untuk menggalakkan ibu bapa memulakan dana tabungan untuk anak-anak mereka.

Insentif yang diberikan ini, berserta agihan pendapatan dividen atau bonus ke atasnya, tidak boleh dikeluarkan atau ditebus sehingga tempoh matang bayi berumur 18 tahun.

Kriteria kelayakan ADAM50

ADAM50 layak diberikan kepada:

  • Bayi yang lahir pada 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2022
  • Bayi merupakan warganegara Malaysia
  • Ibu atau bapa atau penjaga berdaftar merupakan warganegara Malaysia dan berumur 18 tahun ke atas
  • Ibu atau bapa atau penjaga berdaftar tidak diisytiharkan muflis semasa pendaftaran ADAM50 dilakukan

Cara permohonan ADAM50

Bagi yang memenuhi kriteria-kriteria di atas, anda boleh memohon ADAM50 bagi anak yang baru dilahirkan.

Tempoh permohonan adalah bermula dari kelahiran bayi sehinggalah setahun dari tarikh kelahiran bayi tersebut.

Sebagai contoh, jika bayi lahir pada 20 Januari 2018, maka tempoh kelayakan untuk memohon ADAM50 bagi bayi tersebut adalah sehingga 20 Januari 2019.

Selepas tempoh setahun tersebut, maka kelayakan untuk mendapatkan insentif percuma ADAM50 adalah terbatal.

Untuk memohon ADAM50, ibu atau bapa atau penjaga berdaftar warganegara Malaysia hanya perlu datang ke mana-mana cawangan ASNB atau ejen ASNB di seluruh negara seperti Maybank, CIMB Bank, Pos Malaysia, RHB Bank, AmBank, Affin Bank atau Alliance Bank dengan membawa dokumen-dokumen berikut:

  • Dokumen pengenalan diri (MyKad) ibu atau bapa atau penjaga berdaftar.
  • Dokumen pengenalan diri (MyKid) bayi atau Sijil Kelahiran (sekiranya MyKid masih belum diterima).
  • Sebarang dokumen sokongan seperti Surat Pertalian Darah, perintah mahkamah dan lain-lain jika penjaga berdaftar bukan dalam kalangan ibu atau bapa bayi.

Isi borang pendaftaran dan serahkan dokumen-dokumen tersebut. Jika semuanya memenuhi syarat, maka permohonan akan diluluskan.

Akaun untuk bayi akan dibuka dengan jumlah permulaan sebanyak RM200 yang diberi percuma.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 95/Mac 2018

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button