PenggunaPengurusan KewanganPerancangan Kewangan

Adakah Kedudukan Kewangan Anda Kukuh?

Ramai orang yang berasa kurang selesa apabila bercakap mengenai wang. Bagaimana dengan anda? Adakah anda berasa kurang senang dan risau apabila isu wang dibicarakan? Jika ya, ia mungkin disebabkan anda tidak tahu bagaimana untuk menguruskan wang dan cara mencapai matlamat kewangan anda.

Sebenarnya, untuk menjadi orang yang bijak menguruskan kewangan, anda perlulah menetapkan matlamat kewangan yang S.M.A.R.T. (Khusus, Boleh Diukur, Boleh Dicapai, Realistik, Ada Tempoh Masa)

Kedudukan Kewangan Anda yang Lengkap

Untuk mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh, anda perlu bertanggungjawab ke atas masa hadapan anda dan membina disiplin serta komitmen yang diperlukan dalam membuat perancangan untuk setiap peringkat umur. Kebanyakan orang hanya membuat perancangan untuk perkara-perkara yang sudah boleh dijangka, seperti berkahwin, memiliki rumah dan kereta, serta membiayai pendidikan anak-anak mereka. Malangnya, masih ramai yang gagal menyedari bahawa mereka juga perlu bertanggungjawab untuk membuat perancangan bagi persaraan, penjagaan perubatan jangka panjang dan perancangan pewarisan mereka sendiri.

Jika anda mula berfikir mulai sekarang mengenai bagaimana untuk menangani hal-hal ini pada masa akan datang, ia akan memastikan kedudukan kewangan anda kekal kukuh sepanjang hidup. Selaras dengan itu, pastikan berapa banyak sebenarnya wang yang diperlukan untuk mencapai matlamat anda. Dalam merancang matlamat anda, pastikan ia KHUSUS (Apa, Kenapa dan Bagaimana).

Jangan lupa bahawa anda perlu membuat perancangan secara teliti mengenai berapa banyak wang yang anda mahu! Bak kata pepatah Inggeris, “Jika anda tidak boleh mengukurnya, anda tidak boleh mengurusnya.” Anda perlu menetapkan matlamat kewangan supaya anda menjadi lebih berdisiplin, di samping anda akan berasa puas apabila mencapai matlamat tersebut. Inilah yang dimaksudkan dengan BOLEH DIUKUR dalam proses menetapkan matlamat anda. Anda boleh menetapkan pelbagai matlamat, contohnya membiayai persaraan dan pendidikan anak-anak anda.

Selain daripada mempunyai idea yang jelas mengenai perancangan kewangan yang kukuh, anda haruslah sedar tentang kedudukan kewangan anda pada setiap masa. Ini boleh dilakukan dengan memeriksa secara berterusan setiap komponen kewangan anda seperti pinjaman yang perlu dibayar, baki kad kredit, serta pendapatan dan perbelanjaan bulanan anda. Walaupun anda tidak perlu melakukan semua ini setiap hari, namun anda perlu membuatnya kerana ia akan memberikan gambaran yang lebih luas mengenai kedudukan kewangan anda. Maka, ketahui gambaran sebenar kewangan anda bagi memastikan matlamat kewangan yang BOLEH DICAPAI.

Mulakan Latihan Mengukuhkan Kewangan Anda

Seperti latihan litar di gim, anda perlu membuat beberapa siri latihan untuk memastikan anda mencapai kedudukan kewangan yang lengkap. Ini bermakna, anda bukan sahaja perlu mengetahui kedudukan kewangan anda, malah mengetahui bagaimana untuk mengawal kewangan anda.

Menurut Thomas J. Stanley dan William D. Danko dalam buku mereka bertajuk The Millionaire Next Door, kebanyakan jutawan berpendapat bahawa tidak kira berapa banyak pendapatan anda, apa yang lebih penting ialah kekayaan anda. Para jutawan percaya bahawa mereka perlu ‘mengumpul duit, menyimpan duit dan mengembangkan duit tersebut’, bukanhanya ‘mengumpul duit dan membelanjakannya’.Mereka percaya bahawa cara untuk menjadikaya adalah dengan mengurangkan penggunaan/perbelanjaan dan mendapatkan nilai yang paling tinggidaripada semua pembelian mereka. Maka, untuk menambahkan kekayaan, anda juga perlu mengawal perbelanjaan anda.

Sebagai tambahan, anda perlu komited kepada pelan anda untuk melengkapkan mana-mana rejim latihan. Ini memerlukan ketabahan dan ketekunan anda. Anda juga perlu mendapatkan sokongan daripada seluruh ahli keluarga kerana kebanyakan perancangan gagal jika ahli-ahli keluarga tidak memahaminya. Ia menjadi tanggungjawab anda untuk memastikan mereka sedar akan komitmen dan sasaran anda dalam mencapai matlamat kewangan tersebut. Dengan itu, pastikan matlamat kewangan dan sokongan orang lain terhadap anda adalah REALISTIK.

Lakukannya Sekarang!

Matlamat kewangan anda harus ADA TEMPOH MASA. Anda perlu tahu secara tepat bila anda ingin mencapai matlamat tersebut. Dengan adanya satu tarikh akhir yang anda ingin mencapai matlamat terbabit, ia akan memberi sasaran yang jelas untuk dicapai dan anda dapat mengetahui sama ada anda di landasan yang betul untuk mencapai matlamat itu. Tanpa satu tempoh masa, anda tidak akan merasa kepentingan untuk mula mengambil tindakan tanpa berlengah-lengah lagi.

Jadi apa yang anda tunggu lagi? Tetapkan satu matlamat kewangan yang S.M.A.R.T. hari ini dan mulakan perjalanan anda ke arah kedudukan  kewangan yang kukuh!

Artikel perancangan kewangan dan pelaburan ini merupakan salah satu usaha berterusan SIDC dalam melahirkan pelabur yang arif dan berpengetahuan dalam pasaran modal. Selain itu, SIDC turut meningkatkan tahap kesedaran mengenai pelaburan bijak dan pengurusan kewangan melalui seminar dan bengkel pendidikan pelabur yang disasarkan untuk pelbagai lapisan masyarakat, seperti pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi, ibu bapa, wanita dan pekerja kolar putih dan biru. Untuk maklumat lanjut, layari ww.min.com.my, hubungi 03-62048889 atau lawati Facebook kami di ww.facebook.com/BMWSIDC.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 39/Julai 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button